Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Penggal persekolahan 2019 sudah bermula, tentu ramai ibu bapa yang teruja melalui detik bersejarah itu terutama apabila si kecil tersayang baru pertama kali memasuki alam pembelajaran di tadika.

Dalam keterujaan menyediakan pelbagai keperluan, ada juga yang bimbang berkenaan tahap kesediaan anak. Adakah mereka sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baru, menerima arahan daripada tenaga pengajar dan bergaul dengan rakan sebaya?

Lebih membimbangkan apabila anak anda individu pendiam, sukar berdampingan dengan orang lain dan sering tidak menjawab apabila ditanya walaupun ketika berada di rumah akibat terlalu banyak terdedah dengan gajet sebelum ini.

Sikap ini lebih ketara apabila berdampingan dengan orang yang jarang ditemui walaupun masih di dalam kelompok keluarga seperti ibu atau bapa saudara juga sepupu.

Situasi ini pastinya membuatkan ibu bapa bimbang apabila memikirkan keupayaan si kecil untuk menyesuaikan dirinya dengan individu lain di tadika. Lebih membimbangkan sekiranya anak anda bukan saja suka bersendiri malah sukar menerima kehadiran orang baru dalam hidupnya.

Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia Ko Teik Yen berkata, kanak-kanak pasif sering kali tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan diajukan sedangkan mereka tahu jawapannya dan ada banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Menurutnya, antara faktor yang mempengaruhi sikap itu ialah genetik, pendedahan ilmu bersosial yang diberikan ibu bapa, persekitaran, gaya hidup dan asuhan penjaga.

“Sebaik-baiknya, ibu bapa perlu berusaha memberi pendedahan positif supaya anak bersedia dan tidak terlalu terkejut dengan alam persekolahan baru. Ibu bapa perlu sering berbual dengan mereka, jelaskan keseronokan di tadika, ajar mereka supaya menjawab setiap soalan.

“Tidak perlu terlalu memaksa, cukup sekadar ingatkan dan ajar mereka dengan kerap supaya jawab apabila ditanya dan beranikan diri bergaul dengan rakan,” ujarnya.

Katanya, sikap kanak-kanak yang tidak mahu bercakap, enggan bergaul dan mempunyai personaliti seolah-olah tidak suka bersosial kebiasaannya disebabkan faktor genetik yang diwarisi daripada keturunannya.

“Kebiasaannya, apabila ibu atau bapa kurang bercakap atau pendiam, anaknya mempunyai potensi lebih besar untuk mewarisi sikap itu.

“Anak mungkin tidak boleh lari daripada memiliki genetik pasif ini, tetapi mereka boleh diasuh dan diberi pendedahan kepada ilmu bersosial. Namun, jika tiada pendedahan diberi kepada anak, mereka akan terus-menerus menjadi pendiam dan inilah sebabnya interaksi sosial sukar untuk diterapkan,” katanya.

DIDIK anak supaya lebih berani.

Katanya, bawa anak keluar bermain di taman permainan di kawasan perumahan anda supaya lama-kelamaan si anak akan mula belajar bergaul dengan rakan sebaya. Mungkin sebelum ini, ibu atau bapa terlalu sibuk sehinggakan kurang waktu bersama, namun yakinlah waktu yang ada ini boleh digunakan supaya anak lebih bersedia.

“Disebabkan itu, dorongan dan didikan ibu bapa serta individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kanak-kanak itu amat penting kerana ia dapat memberikan pengaruh besar dalam pembentukan keperibadiannya.

“Sebaik-baiknya usah dikenang kesilapan diri, fokus untuk mengubah sedikit sebanyak personaliti anak bagi memastikan tidak berlaku masalah yang lebih besar di tadika,” ujarnya.

Menurut Ko, kanak-kanak menjadi pendiam disebabkan asuhan di peringkat tumbesaran dan gaya hidupnya. Kanak-kanak memerlukan rangsangan daripada ibu bapa untuk mengajar mereka berinteraksi dengan persekitaran.

“Inilah sebabnya cara asuhan yang diterima dan pendedahan kepada persekitaran penting dalam menentukan sikap kanak-kanak selain faktor genetik yang memang ada dalam diri mereka.

“Kanak-kanak ini perlu diajar cara berinteraksi dan didedahkan dengan persekitaran yang baru supaya mereka tidak terkejut apabila memulakan hari-hari awal di tadika. Mungkin agak sukar, namun jangan putus asa dan teruslah bermesra dengan anak-anak,” katanya.

BERI lebih masa kepada anak yang akan memulakan alam persekolahan.

Ko berkata, dalam tempoh itu juga, cuba kurangkan penggunaan gajet anak-anak kerana ia dikhuatiri mengganggu fokus mereka untuk berubah.

“Maklumkan juga kepada guru berkenaan sikap anak supaya tenaga pengajar tidak terkejut dan dapat menggunakan cara sesuai dalam mendidik anak anda di tadika nanti. Apa yang penting jangan terlalu memaksa kerana bukan mudah untuk mengubah anak dalam tempoh singkat.

“Sekiranya anak masih tidak menunjukkan perubahan dan tetap dengan sikapnya, jangan sesekali menyalahkan mereka kerana mungkin anak anda perlukan masa. Ini kerana ada di antara kanak-kanak yang bersikap lebih baik dan ceria sebaik memulakan sesi persekolahan,” ujarnya.

Ko berkongsi beberapa kaedah yang boleh dilakukan bagi meningkatkan keyakinan bergaul dan komunikasi kanak-kanak terutama kepada yang baru memasuki alam persekolahan:

• Banyakkan komunikasi, bercerita dan menggalakkan anak bercerita berkenaan apa saja yang berlaku setiap hari. Untuk menggalakkan anak bercerita, anda boleh bertanya mengenai rakan baiknya dan peristiwa menarik pada hari itu.

• Mencari idea untuk memastikan anak gemar mengadu atau bercerita kepada anda.

• Sentiasa menceritakan keseronokan di tadika seperti bergaul dengan rakan dan guru yang baik.

• Kurangkan pemberian telefon pintar atau gajet. Ajak anak keluar berjalan sementara dia menunggu sesi persekolahan bermula untuk menimbulkan rasa keterujaan kepadanya.

• Jangan sesekali memperkecil-kecilkan dirinya kerana ia akan lebih memburukkan keadaan.

• Berikan pujian apabila anda lihat dia mula berinteraksi dengan rakan baru di taman permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 1:18 PM