ADLIL Rajiah.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Terbit rasa kagum setiap kali penulis mengikuti perkembangan wanita ini berkongsi pendapat, pengetahuan, memuat naik cerita di laman Facebook, blog dan membaca buku hasil tulisannya. Adlil Rajiah Mohd Nasir, 31, mungkin bukan nama asing dalam kalangan ibu yang aktif menggali ilmu keibubapaan.

Buktinya, wanita ini mempunyai lebih 15,000 pengikut di Instagram, lebih 50,000 di Facebook dan sejumlah besar lagi di blog. Mengenali ibu muda ini menerusi tabir media sosial sejak hampir dua tahun lalu, Adlil Rajiah memang bukan wanita biasa.

Berbanding umurnya yang masih muda, wanita ini cukup matang setiap kali membicarakan isu keibubapaan dan hal berkaitan mendidik anak. Dia juga kerap dipelawa menjadi tetamu di pelbagai majlis dan pernah menjadi panel jemputan dalam rancangan Wanita Hari Ini.

Berkongsi latar belakang diri, kata Adlil Rajiah, dia berkahwin dengan pilihan hati, Hafify Zulhaimy Hashim, 35, dan mempunyai seorang anak, Ashraf Haikal yang kini berusia tujuh tahun.

“Saya anak kedua daripada enam beradik dan berasal daripada keluarga kacukan Filipina-Malaysia. Ibu saya berasal dari Manila, Filipina manakala ayah orang Negeri Sembilan. Saya pula dilahirkan di Kuala Terengganu dan dibesarkan di Shah Alam.

“Selepas mendirikan rumah tangga, saya dan suami pernah menetap di Seremban, Pulau Pinang, Teluk Intan, dan kini di Manjung, Perak. Kami suka tinggal jauh dengan ibu bapa untuk belajar lebih berdikari. Malah, saya juga suka berpindah dari satu tempat ke tempat baru untuk meneroka budaya, cara hidup dan cabaran baru.

“Berbeza dengan kebanyakan orang, kami memang tidak suka untuk selesa di satu-satu tempat dan mahu pembaharuan setiap tahun, terutama dari segi mentaliti, hubungan kekeluargaan dan kematangan diri,” katanya.

Bercerita lanjut, rupa-rupanya wanita ini menyimpan kisah duka di sebalik perjalanannya sebagai seorang ibu. Kata Adlil Rajiah, dia menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana pada usia 23 tahun dan terus menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Saat gembira singgah pada tahun kedua apabila saya mengikuti pengajian apabila bergelar ibu kepada Ashraf Haikal. Namun, menjelang tahun ketiga, saya terpaksa mengambil keputusan menarik diri dan membayar semula biasiswa kerana berdepan satu tragedi yang sukar dilupakan.

“Anak saya disahkan menghidap Excessive Screen Exposure oleh pakar psikiatri kanak-kanak berikutan pendedahan skrin dan gajet yang berlebihan. Di situlah bermulanya titik perubahan besar dalam hidup saya dan menjadikan siapa Adlil Rajiah hari ini,” katanya.

Asah bakat menulis

Menurut wanita ini, dia memang seorang yang suka menulis sejak kecil. Cara itu dianggap satu-satunya jalan untuk dia mudah berkomunikasi dengan orang lain, di samping meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Mungkin ramai yang tidak tahu saya sebenarnya seorang pemegang kad OKU pendengaran. Sejak kecil saya memang menggunakan alat bantu dengar. Tanpa sedar, kekurangan ini banyak membantu saya mengasah bakat menulis.

“Apabila dalam keadaan kurang dengar, saya kurang bergaul dan bercakap. Saya lebih suka bersendiri, membaca buku, dan menulis. Saya mengasah kemahiran bahasa dan kosa kata daripada pembacaan dan penulisan. Bahkan sejak di bangku sekolah lagi saya suka menulis cerpen dan puisi pendek. Ada waktunya, ramai kawan meminjam buku cerpen dan puisi saya untuk dibaca. Jadi, di situlah bakat menulis bermula.

“Bagaimanapun, saya hanya mula berani menulis untuk bacaan umum di laman blog sejak 2010. Ketika itu saya baru mendirikan rumah tangga. Pada awalnya tidak ramai pun yang membaca. Niat asal pula memang untuk bacaan keluarga dan kawan terdekat saja. Di blog, saya bebas berkongsi pengalaman dan pemerhatian peribadi. Namun kerana terikat dengan pengajian, tidak banyak masa dapat saya peruntukkan untuk menulis dengan kerap.

“Hanya selepas anak disahkan mengalami masalah dan saya berhenti daripada pengajian, barulah banyak masa ditumpukan pada blog, terutama untuk membantu meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa mengenai diagnosis Ashraf Haikal. Mana tahu, ketika itu, blog saya mendapat perhatian ramai sehingga mencecah 300,000 pembaca setiap hari. Saya juga dijemput berkongsi pengalaman di akhbar, majalah, kaca televisyen serta diundang ke pelbagai seminar keibubapaan,” katanya.

Jelas Adlil Rajiah, di samping faktor kekurangan diri, minat menulisnya turut didorong ibu bapa yang cukup memahami kesulitan dihadapi akibat masalah pendengaran.

“Merekalah yang menguatkan penulisan saya. Secara peribadi, saya berasakan minat menulis ini mempunyai kuasa penyembuhan untuk diri. Malah, ia juga memberi lebih kefahaman berbanding bercakap. Ini kerana bercakap mempunyai banyak had, adab dan intonasi yang perlu dijaga manakala menulis bergantung kepada cara membaca dan cara berfikir pembaca itu sendiri.

“Alhamdulillah, berbekalkan minat, saya kini sudah menghasilkan dua buku iaitu 3 Kertas 3 Krayon 3 Pensel Warna dan Why So Serious Parents? Jika diizinkan Allah SWT, saya akan menerbitkan dua buku lagi dalam masa terdekat.

“Sejak kisah anak saya hangat diperkatakan dan perkongsian di laman blog diplagiat berkali-kali di laman web tidak bertanggungjawab, beberapa penerbit melamar saya untuk menulis buku. Mereka mahu penulisan saya lebih terpelihara dan dapat memanfaat lebih ramai orang,” katanya.

Biarpun giat menulis dan mengembangkan idea, Adlil Rajiah sedar setiap idea yang dilontar datangnya daripada pengalaman peribadi saja. Lama-kelamaan, lepas mendalami isu pendedahan gajet terhadap anak yang dihadapi kebanyakan ibu bapa, dia mula menghadiri kelas dan berjumpa pelbagai doktor serta pakar psikologi untuk memahami isu berkenaan dengan lebih mendalam.

Semua yang dipelajari dan difahami kemudiannya dikongsikan dalam buku. Ternyata Adlil Rajiah berbakat dalam menyusun lenggok bahasa. Penjelasan dan penceritaan yang dibawa cukup santai dan mudah difahami. Lebih dari itu, mesej yang cuba disampaikan difahami pembaca dengan baik.

“Semua buku adalah buku keibubapaan. Jadi, sasarannya perlulah golongan ibu bapa itu sendiri. Dalam pada saya menulis, Ashraf Haikal juga melalui pelbagai proses pemulihan. Ia banyak menyedarkan saya betapa bahayanya gajet kalau ibu bapa itu sendiri tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang betul.

“Saya berhabis ribuan ringgit untuk memulihkan anak yang dilahirkan normal, namun ‘sakit’ akibat kejahilan diri saya sendiri. Walaupun Ashraf Haikal kini sudah pulih sepenuhnya, saya melihat masih ramai ibu bapa yang jahil seperti saya dulu.

“Menulis buku juga tidak mudah. Untuk memenuhi keperluan ibu bapa kini yang sibuk dan dalam masa sama mahu yang terbaik untuk anak, saya hasilkan buku yang ringkas, mudah difahami dan boleh dibaca dari mana-mana muka surat.

“Saya faham betapa sukarnya ibu bapa untuk mencuri masa membaca buku tetapi saya bangga apabila ada pembaca buku saya memberitahu, mereka letakkan buku di dalam kereta dan baca ketika ada waktu terluang,” katanya.

Dapat sokongan

Kata Adlil Rajiah, ketika mula menulis berkenaan keibubapaan, ramai juga yang mengecam tindakannya. Ada yang mengatakan wanita ini tidak layak, suka memandai-mandai, tiada tauliah dan sebagainya.

Begitupun, dia melihat sudut positif. Baginya, Allah SWT sudah memberi pengalaman yang tidak dirasai semua orang. Pengalaman itulah yang benar-benar mendidik dirinya menjadi seorang ibu terbaik. Dia terpaksa mengharungi proses diagnosis dan pemulihan yang penuh dengan ujian.

“Saya tidak mahu ibu bapa lain mengulang kesilapan saya dan diuji dengan tragedi sama. Jadi, mengapa saya harus berhenti? Saya mahu terus menulis dan sebarkan kesedaran ini kepada umum.

“Syukur, berkat kesabaran dan usaha tanpa jemu, saya mula mendapat sokongan daripada mereka yang bertauliah dalam bidang psikologi dan perkembangan kanak-kanak. Terharu apabila mereka mula mengiktiraf penulisan saya. Ada juga yang menjemput saya berkongsi di majlis dan forum. Saat paling bermakna apabila semakin ramai ibu bapa mengucapkan terima kasih. Mereka mula sedar dan berusaha menyelamatkan anak daripada terus ketagih terhadap gajet,” katanya.

BERSAMA anak tersayang, Ashraf Haikal.

Hikmah daripada dugaan besar yang terpaksa dilalui, Adlil Rajiah berjaya menubuhkan syarikat Haikal Parenting Management Sdn Bhd pada 2017. Dia nekad untuk membantu ibu bapa dalam menyelesaikan masalah pendedahan skrin dan gajet terhadap anak mereka.

“Dalam tempoh itu, syarikat tampil dengan tujuh judul buku aktiviti sebagai alternatif kepada gajet. Walaupun ia adalah buku aktiviti, namun kami sedaya upaya mewujudkan ciri-ciri gajet pada buku berkenaan supaya dapat memberi keseronokan serupa buat anak tanpa menjejaskan perkembangan mereka,” katanya.

Tidak lengkap perjalanan karier tanpa dugaan dan cabaran. Kata Adlil Rajiah, pada zaman serba pantas kini, cabaran yang datang menguji jauh berbeza berbanding dulu.

“Apabila pengikut (media sosial) bertambah, ‘hater’ pun bertambah. Pernah juga beberapa kali rasa hendak tutup saja blog dan akaun media sosial. Tapi sokongan pengikut yang baik-baik sentiasa buat kita bertambah kuat.

“Kemudian, apabila semakin dikenali, ke mana saja orang nampak, mereka akan tegur. Privasi semakin kurang. Walaupun sebenarnya saya sekeluarga sangat mementingkan privasi dan pendiam, jadi terpaksa juga terima.

“Jangkaan orang sekeliling juga meningkat dan ada masanya melebihi kemampuan saya. Jadi, suka atau tidak, saya harus sentiasa memperbaiki diri supaya dapat bantu lebih ramai orang.

“Akhir sekali adalah cabaran dalam menulis. Hari ini saya dapati makin susah untuk memadankan penggunaan bahasa untuk penyampaian maklumat bersesuaian dengan semua orang. Untuk itu, saya perlu menulis dengan lebih profesional dan selalu fikirkan pandangan pembaca dan bukan lagi sudut penulis semata-mata,” katanya tersenyum.

Bangga walau OKU

Meneliti banyak perkongsian wanita ini di laman sosial, tampak jelas Adlil Rajiah adalah individu yang kreatif, suka berkongsi ilmu dan memiliki personaliti berbeza dengan kebanyakan penulis di luar sana.

Namun, sebaik soalan berkaitan diajukan, wanita ini lebih senang merendah diri. Katanya, dia selalu mahu menjadi dirinya sendiri. Dia juga tidak pandai menipu untuk tampil lebih jelita atau lebih sopan di depan orang.

“Ada juga yang tegur, perwatakan dan penulisan saya kadang-kadang tidak sesuai dengan perkongsian keibubapaan yang saya bawa. Tapi bagi saya, kita semua individu berbeza dan itulah yang buatkan dunia ini penuh warna warni. Kalau kita mahu semua orang sama saja, jadi bosanlah.

“Walaupun saya seorang ibu yang sentiasa menitikberatkan soal perkembangan anak, saya juga wanita yang mementingkan kebahagiaan diri sendiri. Setiap hari saya akan luangkan masa antara satu ke dua jam untuk diri sendiri. Saya mahu pastikan saya bersedia dan gembira untuk berkhidmat kepada keluarga dan orang lain. Ini penting kerana kita tidak mungkin boleh membahagiakan orang lain, kalau diri sendiri tidak bahagia.

“Jadi, bila ada masa lapang, saya suka membaca dan mendengar ‘podcast’. Saya memang seorang yang ringkas, tidak keterlaluan dalam berhias, suka memberi hadiah, mudah senyum dan kuat ketawa,” katanya.

Sebagai pemegang kad OKU, wanita ini bangga apabila ada yang berkata pada dirinya, ‘kau memang lain’. Padanya, setiap orang memang berbeza dan ada kekuatan masing-masing. Jadi, tidak hairanlah walau apapun label yang diberi orang, atau pengalaman perit yang pernah dilalui, dia percaya semua individu ada jalan dan perlumbaan masing-masing.

“Saya selalu ingatkan diri, bahawa di atas dunia ini, kita tidak berlumba dengan sesiapa pun, melainkan dengan diri sendiri. Sasaran kita setiap hari adalah untuk mengalahkan diri kita yang semalam.

“Jika kita sibuk hendak mengalahkan orang lain, kita akan letih sebab di mata kita, akan sentiasa ada orang yang lebih baik dari kita. Tapi kalau kita dapat kalahkan diri kita yang semalam dengan jadi lebih baik, setiap hari kita menang.

“Satu lagi perkara yang selalu saya pahat dalam ingatan adalah sokongan suami. Salah satu sebab kenapa saya ada banyak ruang dan peluang untuk sentiasa perbaiki diri dan karier, adalah kerana suami yang ringan tulang dalam segala hal pengurusan rumah tangga serta penjagaan anak.

“Dia sentiasa faham, apabila saya perlukan masa bersendiri untuk menulis. Saya sentiasa percaya, suami yang baik adalah suami yang bantu menjahit sayap isteri, dan bukan suami yang mengikat sayap isteri. Suami yang baik sentiasa mahu melihat isterinya berjaya dan bahagia. Selain sokongan suami, saya bertuah kerana dikurniakan keluarga besar yang sentiasa menyokong dari belakang. Mereka banyak membantu saya meneroka potensi diri yang selama ini saya tidak tahu ada pada saya,” katanya.

Tambahnya, ramai orang tidak tahu, menjadi penulis juga membuka banyak peluang kerjaya lain. Mengambil dirinya sebagai contoh terdekat, Adlil Rajiah berkata, kerana menulis buku, dia juga dijemput sebagai penceramah di seminar dan program bual bicara di stesen televisyen. Dia juga membina kredibiliti dalam bidang perkembangan kanak-kanak melalui penulisan.

Paling membanggakan apabila penulisannya turut menjadi rujukan ibu bapa dan mahasiswa yang mengambil jurusan perkembangan kanak-kanak. Lebih dari itu, bukunya juga dilamar Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk menjadi bahan rujukan di 509 cawangan perpustakaan di seluruh negara.

“Kalau orang kata menulis buku tidak boleh buat duit, saya tidak percaya. Segalanya bergantung kepada kreativiti pemasaran dan kualiti penulisan. Kalau kita hasilkan sesuatu yang orang mahu baca, ia pasti mendatangkan hasil yang baik kepada penulis itu juga. JK Rowling umpamanya, beliau penulis siri buku Harry Potter. Beliau menjadi bilionair hanya dengan menulis buku.

“Apapun, bagi saya, setiap wanita perlu jadikan diri sendiri dulu sebagai inspirasi. Bila kita kenal pasti kekuatan diri, ada sistem sokongan yang kuat dan memiliki matlamat besar yang mahu dicapai dalam hidup, sudah pasti kejayaan menanti di depan.

“Sejujurnya, saya terharu bila ramai yang datang kepada saya dan menjadi diri saya inspirasi buat mereka. Saya amat menghargainya dan menjadikannya kekuatan untuk terus menghasilkan karya bermanfaat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 1:00 PM