LEE ketika menerangkan asas wangian.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Majoriti kita mudah tertarik pada jenis wangian yang menyerlahkan keperibadian diri, memiliki nilai sentimental, berkait dengan hubungan istimewa dalam hidup atau mungkin saja membuai kenangan dan memori zaman kecil dulu.

Bagaimana agaknya jika diberi peluang mengadun wangian sepadan keinginan, sekali gus menyerlahkan tarikan diri? Tentu ia menjadi haruman paling unik dan berharga kerana dihasilkan dengan formula sendiri.

Pilih saja sama ada haruman bunga, kayu, sitrus, buah atau apa saja yang menonjolkan keperibadian diri, emosi serta keinginan. Hasilnya bergantung kepada kreativiti memadankan setiap haruman, menjadikan ia benar-benar sepadan dengan personaliti dan menyenangkan.

Menghabiskan petang bersama Demeter Fragrance Library baru-baru ini memang menyeronokkan. Teruja hendak meneliti tiap aroma, menguji kreativiti diri, membancuh, mengadun, membotolkan, kemudian melabel.

Umpama terlepas daripada bebanan dan komitmen kerja, seluruh perhatian terarah pada sesi lakukan sendiri (DIY) hari itu. Aroma pati wangian memenuhi ruang majlis, menerjah ke deria bau. Mengujakan, membuai perasaan.


SEKITAR pelancaran Demeter Fragrance Library baru-baru ini

Setiap individu diberikan dua botol semburan yang kosong, masing-masing bersaiz 10 mililiter (ml) dan 30ml. Ruang meja pula dipenuhi pilihan pati aroma mengikut tema khusus iaitu Floral, Party dan Outdoor. Semuanya menanti untuk dipadankan sebelum terhasilnya wangian tanda pengenalan diri buat setiap tetamu yang hadir.

Selesai membotolkan wangian mini, botol saiz normal (30ml) pula menanti untuk adunan wangian seterusnya. Terpulang sama ada mahu membotolkan haruman menggunakan formula sama dengan saiz mini atau mengadun wangian baru.

Apa yang pasti, aktiviti DIY wangian memang mencabar kreativiti dan tahap kepekaan deria bau. Pada masa sama, ia juga menyeronokkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Demeter Asia Pacific James Lee, asas untuk mengembangkan wangian jenama itu sebenarnya bermula daripada memori.

“Saya percaya, otak manusia mengingati setiap babak dalam hidup, nilai bahagia, kegembiraan, perkara baru yang dipelajari, emosi dan susah senang mereka menjalani rutin harian.

“Oleh itu, kita bergerak seiring dengan Watsons untuk mengembalikan setiap momen indah dan kenangan berharga buat pengguna wangian ini.

“Untuk permulaan, mereka boleh mencuba haruman asas yang bersesuaian dengan personaliti diri. Jika mahukan kelainan adun semburan untuk mencipta wangian lebih menonjol selain jelas menampilkan diri atau mood sebenar,” katanya.

Kunjungi Watsons dan dapatkan enam pilihan haruman klasik antaranya, White Musk, Icelandic Aurora dan Baby Powder. Melengkapkan koleksi haruman, jenama itu turut menampilkan The City Version. Ia mendapat inspirasi daripada nama bandar iaitu Ipoh, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 12:00 PM