BERKHITAN bayi perempuan tidak dilakukan secara berlebih-lebihan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

“Kaedah yang betul adalah hanya dengan membuang prepuce atau lebihan kulit pada bahagian klitoris saja dan tiada jahitan dilakukan pada kemaluan, malah prosesnya juga sangat ringkas dan sepatutnya tidak menyakitkan.

Bagi ibu bapa yang baru saja memperoleh cahaya mata perempuan pasti persoalan berkenaan berkhatan bermain dalam fikiran mereka.

Antara yang sering diutarakan adalah usia sesuai berkhatan, bagaimana proses ini dilakukan, penyembuhan dan tidakkah ia menyakitkan bayi?

Berkhatan, bersunat atau berkhitan bayi perempuan, adalah amalan biasa bagi masyarakat Melayu Islam di negara ini. Sama ada ia dilakukan secara tradisional oleh bidan terdahulu atau secara moden oleh pegawai perubatan namun, ia membabitkan prosedur yang selamat, tidak menyakitkan serta tidak menjejaskan perkembangan bayi.

Apa yang perlu difahami oleh ibu bapa berkhitan anak perempuan berbeza dengan anak lelaki. Ini kerana prosesnya lebih mudah dan cepat hanya membabitkan pemotongan sebahagian kecil selaput daging pada bahagian atas saluran kencing yang menutupi klitoris. Ia sepatutnya dilakukan sedikit saja dan tidak mencacatkan mahupun mencederakan bayi.

Menurut Pegawai Perubatan Poliklinik MyNur, Dr Phia Mujer bayi selepas dilahirkan sehingga berusia dua tahun adalah tempoh paling sesuai dikhatankan. Ada juga pendapat mengatakan ia sesuai dilakukan selepas bayi berusia tiga bulan.

“Sama ada proses berkhatan ini sesuai ketika bayi atau tidak, bergantung kepada pengamal perubatan yang biasa melakukannya. Limitasi umur sehingga dua tahun juga bergantung kepada mereka dan keadaan anak terbabit kerana ia dipengaruhi faktor fizikal anak perempuan itu,” katanya.


BAYI berada dalam keadaan sihat sebelum melakukannya.

Apa yang membuatkan berkhitan lebih mudah dilakukan ketika bayi kerana proses penyembuhan sangat cepat. Pada masa sama bayi masih belum mempunyai rasa takut atau malu berbeza sekiranya mereka sudah besar tentu perasaan itu mulai ada untuk menjalani prosedur ini.

Menurut Dr Phia terdapat tiga cara yang biasa dilakukan pakar perubatan untuk berkhitan iaitu menggunakan peralatan tajam seperti pisau, gunting dan jarum disterilkan.

“Ketiga-tiga kaedah ini tidak sehingga mencederakan secara keterlaluan. Ia hanya membabitkan pemotongan sebahagian kecil daging berbentuk balung ayam di atas saluran kencing, iaitu pada bahagian kelentit atau klitoris.

“Kaedah yang betul adalah hanya dengan membuang prepuce atau lebihan kulit pada bahagian klitoris saja dan tiada jahitan dilakukan pada kemaluan, malah prosesnya juga sangat ringkas dan sepatutnya tidak menyakitkan,” katanya.

Proses penyembuhan mengambil masa dua hingga lima hari saja. Tetapi jika menggunakan teknik menggunakan pisau dan gunting pemulihan adalah lebih cepat malah tiada kesukaran penjagaan luka yang diwartakan dengan menggunakan kaedah betul setakat ini.


PROSES berkhatan bayi perempuan.

PERSEDIAAN IBU BAPA KHITAN ANAK PEREMPUAN

Sebelum ibu bapa membawa anak perempuan berkhitan, mereka harus memastikan si kecil dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang jangkitan sistemik seperti demam, respiratori atau gastrousus juga jangkitan setempat iaitu di kawasan genital.

“Untuk ibu bapa yang bercadang membawa anak perempuan bersunat dapatkan nasihat doktor terlebih dulu terutama berkaitan kesesuaian umur dan keadaan kesihatan semasanya. Sebaiknya, carilah doktor berpengalaman dan mahir mengendalikan proses ini.

“Selain itu, biasanya pihak klinik akan memberitahu ibu bapa supaya memakaikan lampin baru sebelum memulakan. Untuk lebih mudah bolehlah menukar lampin di rumah sebelum bertolak ke klinik bagi memastikan kebersihan si kecil terjaga,” katanya.

Tambahnya lagi walaupun daripada sudut perubatan tradisional mungkin ada yang menyatakan kebaikan berkhitan namun tiada kajian menunjukkan khitan perempuan memberikan manfaat kesihatan atau daripada sudut perubatan.


PEGAWAI Perubatan Klinik Mynur Bangi, Dr Phia Mujer, Proses berkhatan bayi perempuan. NSTP/EMAIL

Menghuraikan lebih lanjut mengenainya jelas Dr Phia, menurut Majlis Fatwa Kebangsaan berdasarkan pendapat Imam Shafie memutuskan berkhitan hukumnya wajib bagi perempuan. Tetapi sekiranya boleh membawa kemudaratan pada diri maka ia perlu dielakkan. Namun begitu tiada ayat al- Quran atau hadis yang mewajibkan khitan kepada perempuan secara khususnya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor 2013 pula mengambil hukum harus bagi anak perempuan dalam berkhatan manakala Jawatankuasa negeri Perlis 2017 memutuskan hukum berkhitan bagi wanita berdasarkan keperluan yang dinilai pakar. Sekiranya didapati tiada keperluan untuk berkhitan, maka tidak perlu untuk anak perempuan bersunat.

“Namun begitu sekiranya ibu bapa menolak melakukan khitan ketika kecil, ia boleh dilakukan ketika dewasa selagi tidak menghadapi kesukaran atau mengambil kira keperluan berkhitan di mana ia tidak perlu jika tiada keperluan,” jelasnya.


KAEDAH berkhatan untuk perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 4:00 AM