GUBAHAN coklat yang siap digubah.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Golongan wanita terutama yang bergelar ibu sering berdepan masalah tatkala memikirkan hadiah sesuai untuk diberikan kepada anak mereka.

Mana tidaknya, ada hadiah yang dirasakan sesuai namun harganya agak mahal, tidak kurang juga ramai yang mengalami masalah tidak sempat pergi membeli hadiah di kedai atau pusat beli-belah.

Jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menyediakan sendiri dalam bentuk gubahan. Lebih menarik apabila gubahan itu boleh ditentukan sendiri sama ada menggunakan bunga, coklat atau apa saja bentuk hadiah.

Mungkin ada yang beranggapan menggubah itu adalah satu perkara yang sukar namun jika kena caranya, gubahan hadiah boleh dilakukan dengan mudah dan sangat menjimatkan.

Menggunakan idea dan kreativiti sendiri, gubahan yang dilakukan tentu saja lebih istimewa kerana ia dilakukan dengan keikhlasan hati dan hasil kreativiti seorang ibu.

Si anak tentu saja gembira dan menghargai usaha serta kesungguhan anda menyediakan gubahan hadiah untuknya.

Menurut perancang majlis yang turut menawarkan perkhidmatan menyediakan pelbagai jenis gubahan, Khairul Bariyah Kamaruzaman, membuat gubahan sebenarnya sangat mudah dan boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.

“Kos juga tidaklah terlalu mahal kerana anda boleh memilih jenis coklat yang mahu diberikan sebagai hadiah. Terpulang kepada anda untuk menentukan bajet. Jika ada bajet lebih, tidak salah membeli coklat mahal yang menjadi kegemaran anak.

“Selain menjimatkan, saya yakin gubahan yang dibuat itu lebih bermakna kerana ia dihasilkan sendiri,” katanya.

Khairul Bariyah berkongsi langkah mudah membuat gubahan jambangan coklat sesuai dijadikan sebagai hadiah untuk si kecil tersayang.


1. BAHAN diperlukan adalah kertas pembalut mengikut corak dan warna disukai, bunga dan daun segar, beberapa jenis coklat, lidi, pita pelekat, span basah, reben, gunting dan gam.

2. LANGKAH pertama, lekatkan lidi pada setiap coklat.

3. SETERUSNYA, susun coklat dan bunga segar, cucuk pada span basah.

4. SUSUN semua coklat dan bunga yang sudah disatukan mengikut bentuk jambangan bunga.

5. BALUT jambangan bunga dan coklat menggunakan kertas pembalut yang sudah diukur dengan saiz sesuai.

6. BALUT sekali lagi menggunakan kertas pembalut berbeza.

7. GUBAHAN coklat yang siap digubah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 11:32 PM