KANAK-kanak di Pulau Mabul.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


BENAR kata pepatah, rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Tidak semua individu sanggup berdepan dugaan demi membawa sinar kebahagiaan kepada insan lain.

Mungkin ramai yang mempunyai niat membantu namun tidak cukup kekuatan atau keberanian terutama apabila ia memerlukan

satu pengorbanan besar dalam hidup.

Kisah wanita hebat kelahiran Bukit Kapar, Selangor ini mengajar penulis erti sebenar satu pengorbanan dalam memberikan kegembiraan kepada golongan memerlukan.

Memulakan bicara, sukarelawan berjiwa besar ini, Nadzira Miskiman, 29, berkata, semuanya bermula pada 2015 ketika dia bersama rakannya bercuti di Pulau Mabul, Sabah.

“Percutian kami ketika itu bukan percutian biasa kerana saya lebih tertarik untuk mendalami budaya dan corak kehidupan harian penduduk pulau di samping menikmati keindahan alam.

“Oleh itu, saya bersetuju untuk tinggal di rumah keluarga angkat rakan saya di sana. Bermula daripada itu, saya mula mendekati penduduk di situ terutamanya kanak-kanak,” katanya.

Menurut Nadzira, sejak itu juga dia mula mengetahui terdapat segelintir penduduk terutama kanak-kanak dan remaja pulau yang tidak mempunyai kad pengenalan diri.

“Disebabkan tiada kad pengenalan mereka tidak boleh bersekolah di sekolah kebangsaan (SK) yang menyebabkan golongan itu terpinggir daripada menuntut ilmu.

“Saya juga diberitahu golongan terbabit bernasib baik apabila seorang pemilik pusat peranginan yang secara sukarela menubuhkan sebuah sekolah khas iaitu Mabul Kids Education Society Sabah untuk kanak-kanak itu sejak 2010,” katanya.

Menurutnya, percutiannya di pulau itu menarik hatinya untuk lebih mendekati penduduk di situ terutama apabila melihat kanak-kanak yang dahagakan ilmu.

“Selepas tamat tempoh percutian, saya kemudiannya meneruskan kehidupan seperti biasa namun hati dan jiwa saya seolah-olah masih berada di Pulau Mabul.

“Memikirkan kanak-kanak di sana, saya akhirnya nekad untuk datang semula ke sana setiap kali mempu­nyai masa terluang atau me­ngambil cuti untuk menjadi sukarelawan separuh masa mengajar di sekolah itu,” ujarnya.

Nadzira berkata, selepas beberapa tahun bergelar sukarelawan separuh masa, dia kemudiannya nekad berhenti bekerja demi menjadi sukarelawan sepenuh masa di sana.

“Bohonglah sekira­nya saya katakan semua­nya berjalan lancar. Saya tinggalkan kerjaya tetap, keluarga dan kehidupan saya untuk berkongsi kegembiraan di sana. Tentu saja pada mulanya ibu dan ayah sedikit berat hati memberi keizinan memandangkan saya seorang wanita dan tinggal jauh di Pulau Mabul.

“Namun lama-kelamaan semuanya berjalan dengan baik dan mereka memberi sokongan kepada apa yang saya lakukan ini,” katanya.

Tambahnya, bermula April lalu, dia bergelar sukarelawan sepenuh masa dan menghabiskan masanya di pulau itu terutama dalam mencurahkan ilmu kepada kanak-kanak di sana.

“Saya menumpang di sebuah rumah penduduk pulau di samping pada masa sama menikmati kehidupan di pulau yang sangat tenang dan mendamaikan.

“Kelas bermula pada jam 8 hingga 9 malam namun kadangkala saya adakan kelas pada waktu pagi bermula jam 8 hingga 10 pagi untuk kelas asas mengenal huruf,” ujarnya.

Berkenaan yuran kelas, Nadzira berkata, setiap murid perlu membayar RM10 sebulan yang mana wang itu digunakan untuk membayar bil elektrik juga gaji seorang guru tetap di situ.

“Jujur saya katakan, hati dan jiwa saya sangat tenang berada di pulau ini. Penduduk di sini sangat jujur dan ketenangan yang saya rasakan sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Di sini, elektrik cuma ada bermula jam 6.30 petang hingga 6.30 pagi saja setiap hari. Kiranya pada waktu siang tiada elektrik dan saya gunakan waktu itu meneroka pulau selain mengadakan kelas tambahan untuk kanak-kanak ini yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya,” katanya.

KEPUASAN SEBENAR

MENURUT Nadzira, dia sememangnya berhasrat untuk terus tinggal di Pulau Mabul tetapi memerlukan perancangan rapi dari segi kewangan.

“Saya melakukan pelbagai perancangan untuk memastikan saya mempunyai wang sendiri untuk menampung kehidupan di pulau ini selain untuk membeli tiket penerbangan apabila pulang ke kampung halaman.

“Ramai yang berta­nya mengapa saya sanggup tinggal di sini dan tinggalkan semuanya. Jawapannya disebabkan kepuasan dan kasih sayang. Saya sangat puas melihat kesungguhan dan kegembiraan kanak-kanak menimba ilmu terutama mereka yang tidak mempu­nyai kad pengenalan diri ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga berusaha sedaya upaya untuk membantu kanak-kanak terbabit supaya suatu hari nanti dapat bersekolah di sekolah kebangsaan supaya mereka berpeluang menimba lebih banyak pengetahuan dan kemahiran seperti rakan sebaya yang lain.

“Saya ada bertanyakan kepada pihak berkaitan mengenai masalah ini dan dimaklumkan, kanak-kanak itu boleh bersekolah namun perlu menyediakan beberapa dokumen berkaitan.

“Besar harapan saya untuk memastikan mereka dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain kerana ilmu begitu besar makna­nya dalam kehidupan setiap individu,” ujarnya.

Menurut Nadzira yang kini sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana dalam jurusan pendidikan, dia juga mengharapkan lebih ramai sukarelawan datang ke situ bagi bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

“Agak sukar sebenarnya terutama dari segi tempat tinggal yang menjadi antara halangan terbesar keba­nyakan sukarelawan untuk tinggal di sini.

“Buat masa ini, saya pulang ke kampung halaman namun pasti akan kembali berbakti untuk kanak-kanak di sana,” katanya.

Tambahnya, selepas melalui kehidupan sebagai sukarelawan sepenuh masa di pulau itu, banyak yang dapat dipelajarinya terutama untuk bersyukur.

“Jika kita rasakan kehidupan kita tidak sempurna dan serba bermasalah, percayalah masih ada ramai lagi golongan yang kurang bernasib baik.

“Pengalaman hidup di pulau banyak mengajar saya supaya sentiasa bersyukur dan berkongsi apa yang kita ada. Keikhlasan kanak-kanak di sana memberi makna yang cukup besar dalam kehidupan saya,” ujarnya.

Nadzira berkata, tunangnya juga kini bekerja di Pulau Mabul yang memudahkan dirinya kerap ke sana.

“Walaupun kini saya tidak berada di pulau kerana mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan, hati saya tetap ada di sana.

“Banyak yang saya harap­kan terutama berkaitan soal pendidikan kanak-kanak di sana dan pada masa sama, saya akan berusaha ke arah itu supaya mereka mempu­nyai masa depan lebih cerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 10:00 AM