OTHMAN Affan (tengah) berpoligami pada usia muda bersama Norhashimah Doldiri (kiri) dan Ummu Juwairiah Mohd Kamal Jalani. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


KEDUA-DUA wanita ini tenang berada di samping suami, Othman Affan Mohd Rom, 35. Nyata kemesraan ditunjukkan pasangan madu ini apabila mereka mengenakan jubah sedondon merah pulasan yang kedua-duanya dijahit isteri kedua, Ummu Juwairiah Mohd Kamal Jalani, 23.

Seakan-akan berjanji, suami turut mengenakan pakaian warna yang sama. Kelihatan kemesraan ditunjukkan pasangan poligami ini apabila masing-masing ramah berbual dan bergurau senda antara satu sama lain.

Melangsungkan perkahwinan dengan Norhashimah Doldiri, 32, pada 2006 mereka kini dikurniakan enam cahaya mata yang semuanya menetap di Sarawak.

Menurut Othman perkenalannya dengan isteri pertama disusun syarikat tempatnya bertugas iaitu Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB). Ketika itu dia berusia 23 tahun manakala Norhashimah pula 20 tahun.

“Memandangkan saya sudah mampu melaksanakan tanggungjawab dalam syarikat, pihak pengurusan mencadangkan saya mendirikan rumah tangga. Selepas mengetahui maklumat calon isteri dan melihatnya dari jauh saya terus bersetuju,” katanya.

Katanya, menjadi kebiasaan anak muda di syarikat itu melangsungkan perkahwinan yang diatur pihak pengurusan. Ia bagi menjaga nilai-nilai murni dan mengelak daripada fitnah. Malah, itu yang menjadi amalan dan pegangan syarikat itu sehingga sekarang.

Begitu juga dengan perkahwinan kedua yang berlangsung di Manchester, United Kingdom. Ketika itu Othman ditugaskan menguruskan restoran yang baru saja dibuka manakala Ummu Juwairiah diberi peluang mengendalikan bidang masakan di sana.

“Hampir tujuh bulan di Manchester pihak syarikat mencadangkan kami berdua melangsungkan perkahwinan bagi mengelak fitnah. Alhamdulillah dengan izin Allah akhirnya saya dan Ummu yang ketika itu berusia 17 tahun selamat diijabkabulkan dalam suasana sederhana dengan kehadiran keluarga

kedua-dua pihak,” kata Othman.

TIADA SISTEM GILIRAN

Ketika kali pertama bertemu madu yang dibawa pulang suami ke Sarawak, Norhashimah mengakui dia agak terkejut namun memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dipilih untuk mengamalkan sunnah Rasulullah.

Lebih mematangkan dirinya apabila dia sendiri datang daripada keluarga poligami. Jadi sedikit sebanyak kehidupan madu yang tinggal bersama banyak membentuk keperibadian dirinya untuk melakukan apa yang menjadi amalan ibu bapanya.

“Tidak wujud rasa cemburu atau iri hati kerana sejak remaja saya sudah sematkan dalam diri untuk hidup bermadu. Apabila ia menjadi kenyataan sudah semestinya saya sangat bersyukur,” katanya.

Perkara sama turut disokong Ummu Juwairiah apabila dia turut memasang impian untuk hidup bermadu. Tambahan pula ayahnya juga pengamal poligami dan hidup dalam keadaan aman dan bahagia bersama kedua-dua isterinya.

“Ketika kecil saya banyak belajar daripada ibu mengenai kesabaran dan ketakwaan kepada Allah. Saya bersyukur kerana bapa bijak merencana keluarganya. Dia pandai mengatur keutamaan dan tidak berpegang kepada giliran semata-mata.

“Sekiranya isteri pertama berasakan dia tidak memerlukan giliran maka akan dihadiahkan kepada madunya. Sifat bertolak ansur ini sangat indah kerana masing-masing berpegang kepada Allah,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut menurut Othman dalam poligami kebiasaannya wanita alah dengan sistem giliran yang akan menjadikan mereka bermasam muka disebabkan rasa tidak adil.

“Oleh kerana saya banyak belajar daripada kepemimpinan terdahulu yang turut berpoligami jadi perkara yang membawa kebaikan akan diterapkan dalam rumah tangga begitu juga dengan giliran.

“Saya tidak menetapkan sistem giliran secara tetap sebaliknya memberikan pilihan kepada madu untuk saling bertolak ansur. Ia mengikut kesesuaian dan keperluan, malah kedua-dua isteri tidak pernah bermasam muka sebaliknya mereka sanggup menghadiahkan giliran kepada madu sekiranya madu lebih memerlukan,” katanya.

Mengenai bidang tugas pula, Norhashimah mahupun Ummu tidak pernah menetapkan bidang tugas sebaliknya lebih kepada meringankan tugasan.

“Jika melihat kakak sibuk memasak saya akan mengambil alih tugas membasuh pinggan atau mengemas dapur begitu juga sebaliknya. Malah, selepas melahirkan anak kami menjaga madu ketika berpantang. Sudah semestinya ia meringankan bebanan suami,” kata Ummu yang mempunyai empat cahaya mata.

MENGADU KEPADA ALLAH

Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Tipu jika dikatakan tiada pergolakan dalam rumah tangga tambahan pula usia Ummu Juwairiah yang masih muda.

“Pernah isteri kedua buat perangai dan tidak bertegur sapa. Saya tidak memarahinya sebaliknya melihat kembali dosa saya yang lalu. Kemudian saya bertaubat kepada Allah melakukan solat malam dan meminta dengan sepenuhnya keampunan daripada Allah.

“Keesokan harinya hubungan saya dan isteri kembali seperti biasa. Saya percaya Allah yang memegang hati dan dia yang juga membolak-balikkan hati. Jadi sentiasa mengadu dan meminta kepada-Nya,” katanya.

Untuk mengecap kebahagiaan dalam rumah tangga suami perlu mengenal Allah dan yakin dengan kekuasaan-Nya. Di sini letaknya rahsia berpoligami. Hanya Dia saja yang mampu menjadikan urusan poligami ini berjaya atau sebaliknya.

Selain itu, sentiasa menjadikan pemimpin di GISB yang berjaya dalam amalan poligami mereka sebagai panduan. Minta nasihat dan ikuti jalan yang mereka berikan.

“Sebenarnya apa yang berlaku di luar mengenai poligami dan pandangan negatif masyarakat disebabkan kurang ilmu mengenainya. Orang ramai tidak tahu keindahan poligami sehingga memusuhinya sedangkan banyak keindahan yang boleh dipelajari.

“Sebenarnya apa juga yang berlaku dalam rumah tangga Nabi Muhammad untuk dijadikan pengajaran. Ini kerana semua isteri nabi adalah sebaik-baik insan yang seharusnya dijadikan contoh.

“Jangan sewenang-wenangnya bercerita mengenai keburukan poligami kerana apa yang dilakukan Rasulullah seharusnya untuk diperjuangkan semua,” katanya.

TIP HIDUP BERPOLIGAMI:

1. Minta pertolongan Allah dengan berdoa kepada-Nya supaya diberikan kemudahan dan keberkatan dalam hidup berpoligami atau monogami.

2. Minta pertolongan daripada orang yang berilmu dan boleh dipercayai keperibadiannya supaya mereka dapat memberikan nasihat dan teguran. Beri keutamaan kepada mereka yang pernah berpoligami kerana mereka mampu menolong anda berdasarkan pengalaman sendiri.

3. Untuk isteri, jangan sering berprasangka sebaiknya sentiasa meluahkan dengan pasangan ketidakpuasan hati dan minta suami menjadi orang tengah seandainya ada perkara yang menimbulkan rasa kurang enak dalam perhubungan.

4. Bagi yang tinggal serumah bersabar dengan kerenah madu anda kerana mereka manusia biasa. Jangan ada rasa iri hati atau cemburu kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Bertolak ansur dapat menjernihkan kembali kebahagiaan.

5. Suami sebagai ketua keluarga mesti berlaku adil dalam semua perkara. Walaupun sukar, tetapi ia perlu dilakukan dengan sepenuh hati. Jangan sehingga ada pasangan merasakan mereka kurang kasih sayang atau tidak diberikan nafkah zahir dengan sama rata. Rasa ketidakpuasan hati akan menyebabkan perbalahan berlaku.

6. Komunikasi adalah paling utama dalam perhubungan. Sentiasa menghantar mesej dan menelefon pasangan. Begitu juga sesama madu, anggap madu seperti saudara sendiri. Bina kepercayaan dan saling hormat-menghormati sesama sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 7:00 AM