Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Setiap lelaki pasti kelihatan segak dan bergaya jika menyarung sut di badan. Sama ada untuk acara formal, makan malam atau perkahwinan, padanan ini membuatkan mereka tampil berkarisma. Sebab itu sut lelaki diibaratkan adi busana wanita dan menjadikan penampilan jejaka lebih memukau.

Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ketika memilih sut. Ini bagi mengelak ia kelihatan lebih besar daripada ukuran badan si pemakai.

Menurut pemilik Farid Ibrahim Weddings (FIW), Farid Ibrahim, jika dulu pasangan mempelai lebih selesa menggayakan busana tradisional untuk persandingan, tetapi kini semakin ramai memilih sut lengkap digandingkan gaun moden. Ia tampak lebih kemas terutama untuk persandingan dalam taman atau dewan.

“Pada masa kini permintaan untuk persalinan sut semakin tinggi. Mungkin disebabkan pengaruh media juga ketampanan jejaka lebih terserlah apabila bergandingan ketika berjalan bersama,” katanya.

Tambah Farid, jika dulu lelaki hanya menginginkan rona hitam dan putih saja, tetapi kini mereka lebih terbuka dan mudah menerima pelbagai warna seperti biru, perak, coklat, krim dan kelabu.


RONA terang biru diraja sesuai untuk persandingan dalam taman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Ini tidak bermaksud pengantin perempuan juga seharusnya memakai warna sedondon, sebaliknya boleh menggayakan warna kontras dengan pasangan. Ia tidak menampakkan kejanggalan kerana warna pada pakaian lelaki ini diterapkan dalam busana wanita walaupun tidak secara keseluruhannya.

“Mungkin dari segi penggunaan pada bahagian tertentu seperti perincian pada pinggang, dada atau kain,” katanya yang turut memberikan sewaan kepada pelajar yang akan menghadiri majlis konvokesyen, makan malam atau acara permaidani merah.

Bagi menampakkan kekemasan pada padanan, terdapat beberapa perkara yang perlu diikuti si pemakai terutama mengenai potongannya yang perlu tepat dan mengikut bentuk badan.

“Memadankan sut dengan bentuk badan amat penting. Sut seharusnya ditempah dengan mengambil ukuran bahu, dada dan pinggang. Selain itu, panjang tangan jaket sut perlu tepat untuk membolehkan pemilihan pada kemeja. Ini bermakna tangan sut harus mempunyai lebihan satu hingga dua inci di hujung tangan kemeja atau manset berada di luar tangan sut,” katanya.


INGINKAN kelainan untuk acara makan malam boleh memilih sut rona coklat menggunakan fabrik bercorak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Poket berbentuk segi empat mampu menyempurnakan penampilan seseorang manakala pastikan warna dan corak kain tidak sepadan dengan tali leher.

Lebar tali leher pula perlu sama dengan lebar lapel iaitu kelepet di dada sut atau jaket yang bersambung dengan kolarnya. Terdapat dua jenis lapel yang biasanya terdapat pada jaket iaitu peak lapel dan pointed lapel.

Ini bagi menampakkan kekemasan dan memberi keselesaan kepada si pemakai. Pakai juga stoking panjang bagi mengelak daripada mendedahkan kulit kaki ketika duduk. Warna tali leher perlu lebih gelap daripada baju kemeja.

Selain busana, Farid turut menyediakan pakej lengkap termasuk pelamin, solekan, katering, kanopi, sistem audio dan tempahan kad jemputan yang beroperasi di Johor Bahru.


MEMPELAI kacak dan tampan menggayakan sut rona krim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Kesalahan ketika memilih sut:

• Salah pilih ukuran

Pastikan pereka mengambil ukuran yang tepat terutama bahu dan juga panjang baju.

• Lengan terlalu panjang

Lengan yang terlalu panjang membuatkan anda berasa tidak selesa. Melipat lengan baju akan membuatkan penampilan kelihatan kurang kemas.

• Aksesori tidak sesuai atau salah warna

Ini termasuk tali leher. Pastikan warnanya kontras dengan busana anda.

• Pastikan kepanjangan tali leher

Ukuran terbaik adalah apabila hujung tali leher mencecah kepala tali pinggang. Jangan atas daripada tali pinggang dan jangan melepasi tali pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 1:14 PM