PENGASAS, Jeju Muslim Travel, Adi Sakinah Omar, 28 bersama suami, Muhd Syafiq Idris, 30. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


MENJADI satu-satunya rakyat Malaysia yang menetap di Pulau Jeju, Korea pada 2014, Adi Sakinah Omar, 28, yang ketika itu sedang menuntut di Universiti Antarabangsa Jeju dalam Ijazah Sarjana Seni Halus menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi sesama pelajar lantaran tidak tahu berbahasa Korea.

Menurut Sakinah, walaupun mengetahui cabaran yang bakal dilalui namun Jeju dipilih sebagai lokasi pengajian disebabkan dia menjadi salah seorang pelajar yang menerima biasiswa pengajian di sana dan satu-satunya universiti yang memberi kebenaran menulis dalam bahasa Inggeris.

“Jeju satu-satunya universiti yang memberikan biasiswa kepada pelajar. Saya pula ketika itu hanya berkunjung ke pejabat pensyarah dan menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Antarabangsa Jeju, Korea.

“Selepas melihat hasil kerja saya, pensyarah terus menawarkan biasiswa manakala kos lain harus ditanggung sendiri,” katanya.

Oleh kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa, wanita kelahiran Johor ini mula merancang mencari sumber kewangan bagi menampung kos sara hidup di Jeju. Langsung tidak tahu berbahasa Korea, apa yang boleh dilakukan adalah menjadi guru sambilan.

“Saya berjimat cermat dengan makan nasi dan sayur selama enam bulan. Lagi pun di Jeju ketika itu sukar mencari makanan halal. Oleh kerana hanya memiliki kemahiran berbahasa Inggeris, jadi saya iklankan diri sebagai guru bahasa Inggeris.

“Dalam masa dua minggu ada seorang pensyarah Korea menghubungi saya dan menyatakan keinginannya belajar bahasa Inggeris.

“Saya menetapkan kelas dua kali seminggu dengan bayaran RM100. Dalam masa dua bulan, pelajar saya bertambah kepada dua orang dan sudah tentu pendapatan saya juga turut bertambah,” katanya gembira.

Pada masa yang sama, Sakinah turut mengambil kelas bahasa Korea selama enam bulan bagi memudahkannya berhubung dan berkomunikasi dengan rakan-rakan yang kebanyakannya adalah rakyat Korea.

Memandangkan ketika itu dia memerlukan duit untuk melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan hati, Muhd Syafiq Idris, otaknya terus ligat berputar untuk mencari duit tambahan.

Bermula dengan menjadi pembeli peribadi untuk produk kecantikan Korea yang diiklankan menerusi Facebook, lama-kelamaan ada beberapa kumpulan rakan menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Jeju.

“Saya terfikir mengapa tidak menjadi pemandu pelancong kepada mereka memandangkan untuk ke Pulau Jeju, beberapa masalah perlu diatasi termasuk mencari makanan halal, bahasa Korea dan kenderaan.

“Lalu saya iklankan diri sekali lagi tetapi kini sebagai pemandu pelancong. Tidak sangka ia mendapat sambutan kerana dalam satu masa saya mendapat ramai pelanggan yang ingin ke Jeju terutama pelajar Malaysia,” katanya gembira.

MULA BELAJAR MENGENAI PERNIAGAAN

Selepas membawa beberapa kumpulan pelancong ke Jeju, Sakinah semakin yakin dengan masa depan dalam bidang pelancongan. Bermula dengan hanya menjadi pemandu pelancong, dia mula menyedari bisnes dalam bidang ini sangat besar serta mempunyai masa depan yang cerah.

“Dalam masa dua bulan pendapatan saya meningkat kepada RM10,000 dan mula terfikir untuk menjual pakej lengkap termasuk penerbangan dan juga penginapan. Ia juga dapat menjimatkan kos kerana mereka tidak perlu memikirkan mengenai hotel dan juga penerbangan kerana semuanya sudah disediakan.

“Pada 2015, selepas enam bulan saya terus mendaftarkan nama syarikat, Jeju Muslim Travel (JMT) dan menyediakan pakej pelancongan Muslim ke Jeju,” imbasnya.

Pengalaman menetap di Jeju sememangnya memberikan peluang kepada wanita manis ini meneroka makanan halal, hotel terbaik terutama untuk pelancong Muslim dan juga menyediakan jadual harian. Dia mengakui masyarakat Korea yang kaya dengan adab dan disiplin sangat sukar mempercayai orang luar terutama dalam bidang perniagaan.

“Pada mulanya saya bertemu dengan beberapa pemilik hotel dan juga restoran bagi mendapatkan harga istimewa untuk pelancong yang mengikuti pakej kami. Tetapi mereka tidak menerimanya sehinggalah selepas setahun apabila saya menunjukkan data terkini, barulah mereka yakin dan ingin menjalinkan kerjasama,” katanya.

Sebagai pengusaha syarikat pelancongan, dia perlu berdepan dengan pelbagai kerenah. Jika dulu dia menguruskan semuanya tetapi kini dia mempunyai lima kakitangan di Jeju dan empat orang di Malaysia.

“Sekarang saya menetap di Malaysia dan memiliki cahaya mata berusia tujuh bulan. Saya menguruskan bahagian pemasaran di media sosial terutama di Facebook, Instagram dan laman sesawang disebabkan sasaran pelanggan terdiri daripada orang muda manakala suami di bahagian pentadbiran. Ia agak mudah kerana saya boleh melakukan tugas dari rumah,” katanya.

BAKAT MELUKIS

Selain menguruskan perniagaan, Sakinah yang membesar di luar negara kerana mengikut ibu melanjutkan pelajaran di Glasgow, Scotland, turut berkebolehan sebagai pelukis. Bermula sebagai hobi akhirnya menjadi komersial apabila karya portfolio lukisan Sakinah untuk peperiksaan terpilih antara 12 portfolio terbaik di Scotland. Lebih membang­gakan, dia satu-satunya warga asing terpilih manakala 11 calon lain adalah masyarakat tempatan.

Hasil lukisannya juga turut dipaparkan dalam Katalog Scottish Qualification Authority Inspiring dan sebahagiannya dipamerkan di National Art Gallery of Scotland di Edinburgh, bangunan Parlimen Scotland dan People’s Palace, Edinburgh.

“Alhamdulillah. Ia kejayaan besar yang tidak dijangkakan. Sehingga sekarang, satu lukisan kekal digantung di bangunan Parlimen, Edinburgh sebagai koleksi mereka. Kejayaan lain termasuklah dipilih sebagai pelajar terbaik seni, Holyrood Secondary, terpilih menyertai Summer Art School di Castle Toward, Dunoon, Scotland yang hanya disertai pelajar seni terbaik seluruh Scotland dan dipaparkan dalam berita mingguan Glasgow School of Arts ketika mengadakan pameran di sana,” katanya yang turut menyertai lebih 20 pameran dan menjual kira-kira 30 lukisan yang dianggarkan berharga RM10,000.

Menurut Sakinah, dia mewarisi bakat melukis daripada bapa saudaranya. Walaupun sudah menceburi perniagaan, minat dalam seni halus tidak pernah pudar. Dia menanam impian ingin mengadakan pameran solo di Malaysia.

“Saya memang rindu untuk melukis lagi tetapi disebabkan sibuk dengan perniagaan, hasrat ini terpaksa ditangguhkan seketika,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 8:30 AM