DUNIA sukarelawan sebati dengan jiwanya.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


BERTUBUH kecil molek namun dia memiliki semangat luar biasa dalam memastikan nikmat kehidupan dirasai dapat dikongsi bersama insan lain terutama yang memerlukan.

Mungkin daripada luarannya wanita berhati murni ini kelihatan sama seperti individu lain. Hakikatnya dia mempunyai sesuatu yang layak dikagumi dan dijadikan inspirasi terutama kepada generasi muda masa kini.

Dilahirkan di London, United Kingdom, pemilik nama Nurul Atiqah Mohd Hiffni, 28, gembira dengan kehidupannya sebagai sukarelawan khususnya dalam membawa kebahagiaan sesama manusia.

Memulakan bicara, Nurul Atiqah berkata, dia mula terbabit dalam aktiviti sukarelawan sejak 2015 apabila menjadi tenaga pengajar di bawah kelolaan program amal Tuisyen Sayang, Projek Ihsan di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor.

“Ketika itu, saya amat tertarik untuk turut membantu kanak-kanak dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan di sekitar Shah Alam menimba ilmu di kelas tuisyen amal yang diadakan pada sebelah malam.

“Program itu menjadi detik permulaan saya menjejakkan kaki ke dunia ini, dunia yang penuh keseronokan, keikhlasan dan perkongsian dengan individu yang tidak dikenali. Dari situ, saya belajar erti sebenar kehidupan dan sangat menghargainya. Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata betapa rasa bertuahnya diri terpilih untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Nurul Atiqah yang kini menetap di Klang, Selangor berkata, tidak terhenti di situ, dia kemudian semakin rancak mengikuti pelbagai program amal dan sukarelawan.

“Jika ditanya mengapa saya memilih bidang ini sedangkan ia memerlukan banyak pengorbanan terutama dari segi masa dan tenaga, bagi saya nikmat kehidupan sebenar adalah dengan cara memberi juga berkongsi.

“Kita hidup dalam bermasyarakat, bukannya hidup seorang diri. Saya sentiasa berpegang dengan prinsip setiap apa yang kita miliki terutama berkaitan rezeki bukan semuanya adalah hak kita kerana ada sebahagiannya milik orang lain,” ujarnya.

Menurut Nurul Atiqah, walaupun perlu menyusun jadual hariannya sebaik mungkin bagi memastikan kerjaya tetapnya sebagai seorang juruukur bahan tidak terganggu namun semua itu tidak menjadi halangan untuknya.

“Saya bekerja setiap hari termasuk Sabtu. Kebanyakan program amal diadakan pada hujung minggu yang memerlukan saya sering mengambil cuti pada hari Sabtu. Syukur semuanya dipermudahkan dan apa yang penting saya perlu bijak membahagikan masa juga menyelesaikan tugasan harian supaya ia tidak tertangguh.

“Jika mengajar tuisyen amal pula, saya akan terus pergi ke kelas sebaik saja habis waktu bekerja setiap hari kerana ia diadakan pada waktu malam. Penat tentu saja terasa namun semua itu terbalas sebaik saja melihat kesungguhan dan kegembiraan semua individu yang terbabit terutama kanak-kanak yang dahagakan ilmu,” katanya.

Katanya, atas sebab itu juga, dia perlu bijak dalam memastikan rutin kehidupannya berjalan lancar terutama membabitkan soal kerjaya, aktiviti sukarelawan, keluarga, rakan dan waktu rehat.

“Ada yang bertanya mengapa saya sanggup, jawapannya mudah kerana akan merasai satu kepuasan yang tidak dapat dijual beli apabila melihat insan lain tersenyum bahagia. Itulah antara kebahagiaan saya yang tidak boleh dinilai dengan duit.

“Ini adalah jiwa saya dan atas sebab itu juga saya bertekad untuk tidak akan berhenti dalam membantu bagi membawakan kegembiraan kepada insan memerlukan,” katanya.

TUBUHKAN PB HOPE

Nurul Atiqah berkata, demi merancang lebih banyak aktiviti sukarelawan dan program amal, dia bersama beberapa kenalannya menubuhkan sebuah kumpulan sukarelawan PB Hope dalam membantu insan memerlukan sejak tahun lalu.

“Saya semakin bersemangat dalam dunia sukarelawan ini. Bagi saya walaupun kadang-kala berdepan pelbagai dugaan apabila menganjurkan program terutama dari segi dana namun semua itu tidak menjadi halangan.

“Saya yakin niat yang baik akan dipermudahkan. Pelbagai program dirancang bermula daripada program amal pendakian Bukit Broga bersama kanak-kanak kurang upaya dan banyak lagi program berkaitan dilaksanakan juga dirancang.

“Saya juga amat berbesar hati apabila turut terpilih menjadi salah seorang sukarelawan MyCorps yang ditempatkan di Kassala, Sudan selama dua bulan tahun lalu dalam menjalankan aktiviti sukarelawan di sana. Ketika itu saya mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan bagi memberi sepenuh komitmen untuk program itu,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga amat bersyukur kerana keluarga tercinta terutama ibu tersayang sangat memberi sokongan untuk dia terus bergiat aktif dalam bidang itu.

“Setiap kali saya menyertai apa juga program dan misi bantuan terutamanya di luar negara, tentu saja saya perlu meminta keizinan mama. Syukur, dia sangat memberi galakan dan membenarkan saya terus aktif dalam bidang ini.

“Bagi saya dalam apa juga perkara atau bidang diceburi, restu dan doa seorang ibu adalah perkara paling penting bagi memastikan semuanya dapat berjalan lancar dan dipermudahkan,” ujarnya.

Nurul Atiqah berkata, kini selepas lebih tiga tahun berkecimpung dalam bidang itu, dia sudah menyertai lebih 20 program amal di pelbagai lokasi termasuk di luar negara.

“Seronok, puas dan sebak. Semuanya bercampur baur apabila terbabit dalam aktiviti seperti ini. Antara yang tidak dapat saya lupakan sepanjang terbabit dalam aktiviti ini adalah melihat kesungguhan adik-adik kurang upaya yang berjaya menawan puncak Bukit Broga.

“Pada awalnya kami menjangkakan tidak ramai yang berjaya sampai ke puncak namun ternyata tanggapan itu meleset kerana semua peserta berjaya menawan puncak walaupun ada yang mengalami masalah kaki. Di situ kami dapat melihat kesungguhan setiap peserta untuk berjaya,” katanya.

Tambahnya, terbaru, dia dan beberapa rakan di bawah Outbox Malaysia yang bekerjasama dengan Rumah Zakat Indonesia akan ke Palu, Indonesia untuk menyantuni masyarakat di sana sempena misi #Ihsan4Palu2.0 #Home4Palu yang dijangkakan pada hujung bulan ini atau awal tahun depan.

“Untuk misi kali ini, kami fokus menyediakan kediaman sementara untuk setiap mangsa terbabit yang mana rancangannya kediaman itu akan dibina sebanyak 50 unit iaitu seunit untuk satu keluarga.

“Disebabkan jumlah keseluruhan dana diperlukan agak besar iaitu RM250,000 menyebabkan kami membahagikan misi ini kepada tiga fasa. Saya amat berharap misi ini berjaya dan dipermudahkan. Orang awam atau syarikat yang berminat untuk bersama-sama menyalurkan bantuan amat dialu-alukan,” ujarnya.

Menurut Nurul Atiqah, kini selepas terbabit dalam bidang ini, terlalu banyak yang dapat dipelajarinya terutama bersyukur dengan setiap nikmat dianugerahkan.

“Saya juga mengharapkan semakin ramai individu turun padang untuk sama-sama berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan insan kurang bernasib baik. Ibu bapa yang mempunyai anak kecil juga disaran supaya memupuk minat serta sikap membantu dan berkongsi sejak kecil.

“Bidang ini perlukan kekuatan jiwa. Jiwa yang sanggup berkongsi seikhlas hati tanpa mengharapkan sanjungan, balasan atau ganjaran namun percayalah kehidupan kita akan lebih bermakna apabila kita berkongsi kegembiraan dengan insan lain,” katanya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 8:00 AM