SAIDATINA Zahra bersama tanaman hidroponik di laman rumahnya.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Cinta wanita ini terhadap dunia perkebunan bukan sembarangan. Minatnya bercambah ketika dia sedar mempunyai banyak masa terluang sebagai suri rumah. Atas sebab sama juga, Saidatina Zahra Zamanuddin, 33, memiliki lebih masa untuk memasak.

Namun, setiap kali hendak memasak, dia terpaksa ke kedai membeli keperluan dan bahan. Lama memikirkan rasionalnya untuk menanam bahan dapur di laman sendiri, dia mula bercucuk tanam.

Sebagai permulaan, Saidatina Zahra menanam bahan asas untuk masakan seperti cili, serai, daun kunyit, pandan, bawang, terung dan bendi. Niatnya hanya satu, menyediakan kemudahan buat diri supaya tidak perlu lagi berulang-alik membeli di kedai, sekali gus menjimatkan wang.


SAWI segar

“Sebenarnya, sebelum bergelar suri rumah, saya bekerja sebagai pensyarah di universiti swasta. Selepas beberapa bulan berkahwin, saya mengambil keputusan berhenti kerja bagi menumpukan perhatian terhadap urusan rumah tangga.

“Kalau hendak cerita mengenai kebun dapur, saya bermula dengan beberapa pokok saja. Apabila berjaya membuahkan hasil, saya tambah kuantiti sayuran dan jenis pokok yang ditanam dari semasa ke semasa.


TANAMAN selasih hidup subur.

“Mungkin sudah rezeki, hasilnya memang menjadi. Memandangkan saya tidak lagi terikat dengan komitmen kerja, saya suarakan pula pendapat untuk terus berkebun secara aktif kepada bapa. Saya mahu membantu suami menambah pendapatan keluarga dengan menanam dan menjual sayur.

“Pada saya, menanam sayur sudah jadi fardu kifayah kerana sebahagian yang ada di pasaran kini banyak dibawa masuk dari luar negara. Ia dicemari dengan kadar racun yang agak tinggi. Sedangkan saya mahu menanam dan menjual sayuran yang bersih, suci, tanpa menggunakan racun kimia mahupun baja dari najis haiwan yang dikhuatiri haram,” katanya.


KEBUN dapur milik Saidatina Zahra Zamanuddin.

Berikutan itulah Saidatina Zahra nekad mengembangkan kebun dapur kecil yang dimiliki. Dia menghadiri kursus pertanian dan mempelajari selok-belok penanaman sayur bebas racun. Baginya, sayuran sepatutnya membekalkan nutrisi yang baik, bukannya memberi ancaman kepada tubuh.

“Selain itu, berkebun juga boleh jadi aktiviti menyihatkan. Ia boleh dianggap sebagai senaman dan terapi untuk menghilangkan tekanan, terutama setiap kali melihat warna hijau merimbun segar.

“Keseronokan pula berganda setiap kali tiba masa menuai. Apabila hasil tuaian habis dijual, ramai pelanggan memuji dan mereka memberi maklum balas yang baik, pastinya hati saya jadi semakin dekat dengan aktiviti perkebunan ini,” katanya.


KEBUN dapur milik Saidatina Zahra Zamanuddin.

Turut bercita-cita untuk menghasilkan sayuran organik, wanita ini memilih kaedah penanaman hidroponik berikutan luas halamannya yang terhad. Setiap pagi selepas sarapan, Saidatina Zahra akan menyiapkan semua kerja rumah sebelum menyapu halaman rumah dan membelek sayur-sayuran. Semuanya perlu dipastikan dalam keadaan baik, dibaja dan disiram.

“Pada sebelah petang, saya akan menghabiskan masa untuk diri sendiri atau keluar bersama suami, menyiapkan tugasan sebagai penterjemah, menyiram pokok, menuai sayur dan membungkus. Sayur ini lazimnya dijual di masjid atau surau.

“Alhamdulillah, saya sudah berkebun kecil-kecilan sejak 2015 dan mula serius dalam perkebunan hidroponik sekitar Disember 2017. Antara tanaman yang ada di kebun kini termasuk pelbagai jenis sawi dan bayam, selasih dan salad. Semuanya ditanam menggunakan kaedah hidroponik.

“Bagi saya, selagi kita ada di muka bumi, selagi itulah permintaan sayuran akan kekal. Dengan saiz kebun mini saya sekarang, hasil tuaian sayur boleh mencecah jualan RM700 ke RM1,400 sebulan. Adakalanya lebih, bergantung kepada jenis sayuran yang ditanam dan dijual,” katanya.


KEBUN dapur milik Saidatina Zahra Zamanuddin.

Jelas Saidatina Zahra, dia sentiasa berasakan aktiviti berkebun memberi ketenangan jiwa. Setiap kali berkebun katanya, dia seolah-olah dapat berasakan aura positif dari tanaman. Bahkan ketenangan yang dirasai juga dipercayai memberi kesan positif kepada tanaman.

“Saya katakan ia sebagai ‘semangat pokok’. Apabila tuannya membelai, tanaman akan tumbuh subur. Selain tanaman sayur, saya juga baru mencuba tanaman strawberi dan ros Jepun.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang mahu memiliki kebun dapur, ilmu, nasihat dan perkongsian daripada mereka yang berpengalaman memang penting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 5:01 AM