NORLI MADLAN
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Zaman remaja wanita ini penuh berliku. Sering diberikan gelaran liar, nakal dan tidak mahu mendengar kata. Malah pernah melawan keras kata-kata ibunya, lari dari rumah dan bergaul dengan mat rempit bagi menunjukkan ciri-ciri seorang remaja yang memberontak.

Pendek kata jika dilihat sejarah silamnya pada masa lalu, ramai tidak menyangka Norli Madlan mampu menjadi seorang penceramah dan penulis buku dakwah berjaya serta dikenali di Malaysia.

Menggunakan nama pena Bonda Nor, wanita berusia 41 tahun ini mempunyai cerita peribadi yang sangat menarik. Kisah kedegilan, tidak berpuas hati dan memberontak tak habis hanya di situ sebaliknya berpanjangan selepas mendirikan rumah tangga.

“Saya berkahwin pada usia 21 tahun, jadi boleh bayangkan bagaimana seorang gadis yang nakal jiwanya sedikit demi sedikit dibentuk peribadi oleh suami. Ketika itu sifat melawan masih menebal. Jika ada silap saya mudah terasa dan mengambil keputusan lari dari rumah.

“Namun suami menggunakan budi bicara dan hemahnya mendekati saya. Dia tidak marah sebaliknya menggunakan doa sebagai senjata menundukkan hati saya,” kata Norli memulakan bicara.

Lama-kelamaan dengan pendekatan digunakan suami, jiwa Norli semakin lembut sehingga dia ingin berhijrah dengan rela hati. Di sinilah bermulanya detik dia terjun ke dunia penulisan.

“Ketika itu terdetik desakan hati untuk melakukan perkara yang mampu menutup dosa yang pernah dilakukan dulu. Pada masa sama ketika itu saya sedang memegang buku Iqra karangan penulis dari tanah seberang.

“Saya terfikir mudahnya memperoleh pahala menerusi penulisan. Berapa ramai kanak-kanak yang mampu membaca al-Quran menerusi buku Iqra ini. Untungnya penulis kerana setiap hari pahalanya mengalir laju sederas air asbab daripada orang yang membaca penulisannya.

“Ketika itu saya menangis bersungguh-sungguh sambil berdoa agar Allah menunjukkan jalan agar dapat melakukan sama seperti itu iaitu mengharapkan pahala walaupun selepas meninggal dunia,” detik hatinya.

Benar kata orang apabila ada niat kerana Allah pasti akan ditunjukkan jalan. Norli yang juga pengusaha pusat membaca di Terengganu diuji apabila anak ketiga Nur Najla Insyirah yang berusia empat tahun masih tidak tahu membaca. Pelbagai kaedah digunakan termasuk sistem ejaan dan fonetik namun tidak berhasil.

“Saya berasa sangat sedih kerana anak sendiri tidak boleh membaca sedangkan saya membuka pusat membaca untuk mengajar anak orang lain.

“Lalu Allah datangkan ilham untuk saya melukis objek yang boleh dikaitkan kepada huruf A, B dan C pada kertas. Misalnya awan untuk huruf A, cawan untuk C. Ternyata anak saya berminat untuk belajar dan dia boleh mengenal huruf dengan pantas,” ceritanya.

Susulan itu, dia terfikir untuk menghasilkan modul bagi memudahkan kanak-kanak membaca. Maka lahirlah buku pertama Belajar Membaca Ekspres-i pada 2007 yang masih digunakan sehingga ke hari ini.

“Buku ini mencetuskan fenomena dalam kalangan guru apabila ada kanak-kanak mampu membaca dalam masa tiga jam. Oleh kerana perkongsian yang hebat membuatkan saya dipanggil Kementerian Pendidikan untuk mengadakan seminar kepada warga pendidik menggunakan kaedah ini.

“Saya langsung tidak menyangka rupa-rupanya Allah menjawab niat saya dengan memberikan ruang untuk menulis. Malah Dia berikan dengan hikmah apabila anak tidak boleh membaca sehingga lahirnya buku ini. Dari situ saya mulai belajar betapa cantiknya percaturan Allah,” katanya yang menjadi lebih positif dan sentiasa bersangka baik dengan Allah.

ANTARA buku terlaris karya Norli.

BUKU DAKWAH DAN MOTIVASI

Mengibaratkan dirinya seorang yang buta menulis sejak zaman belajar, dia langsung tidak berminat menjadi penulis. Semuanya bermula apabila Norli gemar mengikuti majlis ilmu dan salah satunya seminar Hidayatul Salikin yang membicarakan mengenai hati.

“Saya terfikir alangkah bagusnya sekiranya lebih ramai orang mendapat manfaat menerusi kitab lama ini. Tetapi disebabkan cara penulisan dan bahasa klasiknya saya yakin tiada sesiapa yang mahu membacanya.

“Ketika itu juga ramai kawan adalah pembaca novel tegar dan ada di antara mereka kerap membandingkan pasa­ngan masing-masing. Saya terpanggil untuk menulis berkaitan hati dan mengaitkan dengan realiti pada zaman sekarang,” katanya.

Maka terhasillah buku berkonsep dakwah pertama Saya Tunggu Awak yang kelahirannya sangat indah. Walaupun pada awalnya tidak mendapat restu suami, Norli tidak berputus asa dan terus berdoa memohon pertolongan daripada Allah.

Ternyata, Allah membuka jalan sehingga suaminya mengizinkan untuk menulis. Dalam masa tiga bulan novel 640 halaman berjaya disiapkan.

“Saya menghasilkan buku pertama dalam keadaan tertekan namun ilham Allah datang mencurah-curah. Saya sendiri tidak percaya mampu menyiapkannya walaupun terpaksa bersengkang mata dan menulis dalam keadaan sambil meriba anak,” katanya mengimbas kenangan lalu.

Walaupun dia bukan penulis berpengalaman atau dikenali, buku pertamanya laris di pasaran sehingga mendapat kedudukan pertama dalam carta buku terlaris kategori dakwah untuk semua penerbitan.

Ketika ini hati Norli semakin dekat dan dia sangat pasti mengenai perjuangannya ingin berdakwah menerusi penulisan tetapi dalam bentuk santai.

Bermula buku pertama, Allah beri ruang menulis untuk buku kedua berjudul Pujuklah Hati. Buku ini berkonsepkan motivasi mengenai bagaimana mendidik hati. Bermula pada 2014 dengan satu buku kini Norli semakin serius menulis dan menghasilkan lebih 20 naskhah setakat ini.

Jika dilihat kekerapannya menghasilkan buku, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Namun Norli ada resipi sendiri bagaimana mendapat idea dalam setiap penceritaannya.

“Saya menulis setiap hari di Facebook bukan hanya ketika ingin mengeluarkan buku. Jadi apabila ilham datang saya hanya mengumpul bahan lalu disusun dan ditulis semula menjadi naskhah yang indah bahasanya. Sebab itu Be Strong ditulis dalam masa tiga hari kerana pengisiannya sudah ada,” katanya.

MENGHASILKAN 20 naskhah buku dalam masa empat tahun.

Selain menjadi buku terlaris, Be Strong turut menerima Anugerah Pilihan Pembaca Popular Berita Harian 2017 dan sehingga kini masih menjadi buku terlaris di pasaran.

“Saya tidak tahu mengapa buku ini begitu istimewa di mata pembaca sedangkan ia hanya penulisan sederhana yang diluahkan menerusi bait kata-kata semangat,” ujarnya.

Menyingkap mengenai zaman remaja dengan apa yang dilaluinya sekarang, ujar ibu kepada tujuh cahaya mata ini, dia tidak pernah menyesal sebaliknya menganggap Allah sedang mempersiapkan dirinya ketika itu.

“Rupanya itulah cara untuk saya lebih memahami dunia remaja dan mendekati mereka melalui penulisan. Apa yang saya lalui dulu boleh digunakan dalam penulisan bagi menarik remaja kepada agama. Memang benar saya menggunakan dakwah secara santai bagi menarik golongan muda untuk mendekatkan diri dengan Allah.

“Saya percaya setiap orang ada peranan masing-masing. Ustaz misalnya menggunakan medan masjid untuk berceramah jadi biarlah saya menjadikan penulisan sebagai medan dakwah saya ,” katanya.

Selain menulis Norli juga aktif menganjurkan seminar motivasi dan penulisan di seluruh negara. Malah Seminar Penulisan Mega Bonda Nor, adalah platform bagi menarik lebih ramai penulis dan bakal penulis agar sama-sama terbabit dalam bidang penulisan dan berdakwah menerusi mata pena.

“Besar harapan saya agar lebih ramai penulis dapat meneruskan legasi penulisan dakwah seterusnya menjadi bekalan selepas dijemput menghadap Sang Pencipta.

“Menulis juga perlu ada niat kerana apa yang ditulis tidak habis di situ sebaliknya akan disoal di akhirat kelak,” katanya di akhir perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 7:30 AM