Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Memang diakui, siapa yang tidak geram melihat kanak-kanak kecil yang montel dan comel, apatah lagi jika mereka petah bercakap. Melihat mereka suka makan, kita juga akan terdorong memberikan kanak-kanak kecil ini pelbagai jenis makanan. Malah ada ibu bapa dan ahli keluarga yang menjadikan makanan sebagai ‘alat memujuk’ apabila mereka menangis.

Tanpa sedar, tindakan kita itulah yang turut mendorong dan melorongkan mereka ke ‘dunia gemuk’. Ada juga ibu bapa beranggapan, tidak mengapa jika anak mereka montel ketika kecil kerana apabila sudah bersekolah kelak berat badan akan susut kerana sibuk dengan aktiviti persekolahan.

Bagaimanapun, anggapan itu selalu tersasar kerana bukan mudah untuk mengurangkan berat badan dan mengekang selera makan. Dalam gaya hidup kanak-kanak kini yang dikuasai oleh gajet dan makanan segera, usaha untuk mengajak mereka menjadi individu aktif juga biasanya sukar kecuali jika ibu bapa sendiri yang memulakannya.

Masalah berat badan berlebihan atau obesiti di negara ini semakin membimbangkan apabila isu kegemukan bukan saja membabitkan golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak sama ada yang tinggal di bandar mahupun luar bandar

Kanak-kanak yang mengalami lebihan berat badan berkemungkinan besar menjadi remaja dan dewasa obes yang seterusnya cenderung kepada masalah kesihatan lain termasuk penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan strok.

Pertumbuhan kanak-kanak boleh diawasi secara menimbang berat badan dan mengukur ketinggiannya serta membuat perbandingan dengan rujukan standard.

Pakar perubatan akan menimbang berat dan mengukur ketinggian seseorang kanak-kanak untuk menentukan sama ada kanak-kanak itu berada dalam lingkungan berat badan yang sihat atau sebaliknya.

Mengupas mengenai isu ini, Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata, faktor pemakanan menjadi penyumbang utama masalah ini.

Menurutnya, senario kini yang kebanyakan ibu bapa lebih selesa membeli makanan di gerai atau restoran untuk disajikan kepada anak antara situasi tidak sihat yang perlu diberikan perhatian khusus dalam mengelak mereka menjadi obes.

“Mungkin ramai ibu bapa yang memberi alasan penat bekerja selain tidak cukup masa untuk menyediakan sendiri hidangan di rumah namun demi kesihatan anak, mereka perlu berkorban.


DIDIK anak untuk mengamalkan pemakanan seimbang.

“Berkorban dari segi tenaga dan emosi, walaupun membeli itu lebih mudah namun risikonya amat membahayakan kerana semua makanan itu tidak disediakan sendiri dan berkemungkinan besar mengandungi bahan tidak sihat,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, kekerapan menjamu selera di luar sering menjadi punca kepada masalah lebihan berat badan dalam kalangan kanak-kanak mahupun ibu bapa.

“Ini antara sebab mengapa sukar hendak mengamalkan pemakanan seimbang kerana hidangan keluarga dimasak oleh orang lain.

“Senario ini pastinya membimbangkan kerana ia mengundang pelbagai risiko pada seisi keluarga. Kita tidak tahu tahap kebersihan ketika penyediaan dan bahan yang digunakan dalam masakan,” ujarnya.

Menurut Dr Zubaidi, pemakanan yang seimbang perlu mengandungi empat kumpulan utama iaitu karbohidrat, protein, lemak dan serat selain minum air secukupnya.

“Pergerakan fizikal seperti beriadah akan meningkatkan kesihatan seisi keluarga. Ibu bapa perlu mendidik anak untuk makan sayur-sayuran dan buah-buahan sejak kecil kerana ia sangat baik untuk membantu mendapatkan berat badan seimbang.

“Ibu perlu bijak dalam mempelbagaikan hidangan masakan, jangan terlalu terikut dengan nasi setiap hari kerana ia juga boleh menjadi faktor berat badan anak meningkat,” katanya.

Katanya, cuba elakkan daripada masakan yang berat seperti kuah berlemak dan berminyak terutama pada waktu malam bagi memberi keseimbangan dalam diet harian kanak-kanak.

“Paling utama cuba kenal pasti selera anak, masak hidangan yang mereka gemari tetapi dalam cara masakan sihat seperti rebus, kukus, stew dan bakar. Kalau boleh, kurangkan makanan bergoreng. Dalam konteks ini ibu perlu bijak supaya menu harian anak seimbang.

“Hidangan ringkas sudah memadai asalkan ia mengandungi semua khasiat diperlukan selain tidak terlalu berlemak, kurang gula dan garam,” katanya


IBU bapa perlu sedar dan cuba sediakan makanan sendiri selain kurangkan membeli

KAEDAH BANTU ANAK OBES

• Berikan sokongan

Beritahu anak anda supaya jangan terlalu bimbang tentang berat badannya tetapi kegemukan bukanlah isu yang harus dibiarkan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan. Tanggapan ibu bapa terhadap anak-anak turut mempengaruhi perasaan mereka. Jadi, sekiranya anda menerima berat badan anak anda, mereka lebih cenderung untuk berasa begitu terhadap diri sendiri.

Berbincang mengenai berat badan dengan anak-anak bagi menggalakkan mereka berkongsi masalah mereka. Anak anda mungkin lebih mengetahui mengenai masalahnya berbanding orang lain. Oleh itu, kanak-kanak seumpama ini memerlukan sokongan dan dorongan daripada ibu bapa.

• Perhatian keluarga

Ibu bapa harus menerima anak mereka seadanya, tetapi pada masa yang sama cuba mengubah aktiviti fizikal dan tabiat pemakanan keluarga secara beransur-ansur. Pembabitan keluarga dapat membantu menerapkan amalan sihat kepada semua tanpa memberi tumpuan kepada anak yang berlebihan berat badan.

• Tingkatkan aktiviti fizikal keluarga

Aktiviti fizikal yang kerap berserta tabiat makan sihat adalah cara paling berkesan untuk mengawal berat badan. Ia adalah sebahagian daripada amalan gaya hidup yang sihat. Ia bukan bertujuan menjadikan aktiviti fizikal sebagai satu bebanan tetapi ambil peluang untuk anda sekeluarga menjadi lebih aktif dan sihat.

• Terapkan tabiat pemakanan sihat ke dalam keluarga

Amalan pemakanan sihat yang diterapkan awal mampu membantu kanak-kanak memahami makanan yang sihat dan sebaliknya.

Tingkatkan pengetahuan mengenai pemakanan untuk kanak-kanak dengan membaca atau berbincang dengan pakar kesihatan.

Jika anda sebagai ibu bapa tidak sukakan sayur, bagaimana anda hendak menyuruh anak-anak mengambil sumber serat dan vitamin yang penting ini. Jadi, langkah awal perlu bermula dengan anda dahulu supaya boleh menjadi contoh kepada anak-anak.

Piramid Makanan Malaysia adalah sumber rujukan diet yang amat berguna bagi masyarakat Malaysia berusia dua tahun ke atas. Ia juga adalah panduan mengenai kepentingan keseimbangan antara kumpulan makanan di dalam amalan pemakanan harian. Oleh itu, beri anak anda pilihan makanan yang sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 11:46 AM