AJAR anak untuk meminta izin sebelum mengambil.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


PELBAGAI persoalan mula timbul tatkala melihat anak tersayang suka merampas barang terutama ketika bermain walaupun ia milik orang lain. Perbuatan itu kebiasaannya berakhir dengan pergaduhan yang menyebabkan kedua-dua pihak menangis.

Mungkin ramai individu terutama dalam kalangan ibu bapa yang memahami tabiat itu namun tidak kurang juga ada yang berasa hairan mengapa kanak-kanak berkelakuan sedemikian.

Lebih menyedihkan, ada pihak yang memberi tanggapan negatif dan menyalahkan ibu bapa yang kononnya tidak pandai mendidik anak sehinggakan suka merampas barangan

orang lain.

Mengupas mengenai tabiat merampas dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, Pengurus Latihan dan Perundingan Kekeluargaan Norliyana Raya berkata, setiap anak kecil perlu diajar supaya tidak merampas barang orang lain melalui teladan yang ditunjukkan oleh golongan dewasa.

“Tingkah laku merampas adalah tingkah laku berbentuk sosial. Maksudnya, ia membabitkan dua pihak. Jika ia berlaku bermakna peluang untuk anda mengajar kecil dengan nilai murni terbuka luas. Mulakan dengan mengajarkan adab meminta barang daripada orang dewasa. Dari situ anak kecil anda boleh berlatih cara meminta dengan baik.

“Saya sering perhatikan, apabila anak merampas telefon pintar milik ibu atau bapa kebanyakannya hanya membiarkan perbuatan itu sedangkan jelas ia kesalahan yang perlu ditegur. Mungkin ibu bapa tidak sedar jika perlakuan itu dibiarkan, ia seolah-olah memberitahu kepada anak tindakannya itu adalah betul. Jadi dia akan melakukan perkara sama terhadap o rang lain juga,” katanya.

Menurutnya, apabila anak mula merampas barang, langkah pertama adalah jangan terus menghukum tetapi perlakuan itu tidak boleh dibiarkan begitu saja.

“Ambil semula barang yang dia rampas dari tangan kita itu secara pantas dan dengan nada tegas perlu katakan kepadanya sekiranya anak mahu ambil apa juga barang, dia perlu minta kebenaran.

“Suruh anak cakap atau meminta dulu. Jika masih terlalu kecil dan berusia setahun lebih atau belum pandai bercakap, ibu bapa boleh mengajarkan perkara paling asas seperti menyebut ‘nak’ sambil menunjukkan isyarat tangan meminta,” ujarnya.

Katanya, ajar anak untuk meminta kebenaran daripada golongan dewasa terlebih dulu. Sekiranya ternampak anak merampas barang daripada rakan sebaya atau adik- beradiknya, ibu bapa perlu bertindak pantas mengambil semula barangan itu dan beri kepada individu yang dirampas.

“Pada masa sama, ajar anak untuk minta kebenaran sekiranya mahukan sesuatu dan bukan bertindak merampas sebegitu. Ada yang bertanya bagaimana jika anak memprotes dan tidak mahu juga mengikuti arahan itu? Sebaik-baiknya jangan layan kehendaknya selagi dia tidak meminta dengan cara baik.

“Diingatkan jangan keluarkan kata-kata marah kerana ini adalah proses mendidik, jadi anda perlu bersabar. Minta dia gunakan ayat yang diajar saja. Pada masa sama, sekiranya anak sudah meminta kebenaran untuk meminjam tetapi tidak diberi, itu tandanya anak kita perlu belajar menerima hakikat tidak semua benda yang diminta dia akan dapat,” ujarnya.

Katanya, itu adalah lumrah kehidupan bermasyarakat, walaupun anak belum mencapai usia dua tahun, ajarkan dia konsep itu kerana lama-kelamaan anak akan mula memahami dan ia sekali gus mengurangkan risiko mengamuk.

AJAR BERALAH SUPAYA TIDAK KEDEKUT

Jika perebutan berlaku dalam kalangan adik-beradik, kebanyakan ibu bapa lazimnya memihak kepada anak yang lebih kecil. Acap kali ibu bapa meminta abang atau kakak untuk beralah dengan alasan mereka lebih besar dan mesti berasa belas atau sayang kepada adik.

Benar abang dan kakak sepatutnya boleh beralah tetapi mereka juga masih kecil dan dalam peringkat belajar. Jadi, apabila adik merampas barang abang atau kakak, kaedah yang sama juga boleh digunakan. Malah ketika ini anda boleh mengajar anak untuk berkongsi, jika barang berkenaan boleh digunakan bersama (contohnya selimut) atau dibahagikan sama rata (makanan).

Sekiranya barang yang dirampas adalah permainan, maka anda perlu gunakan pendekatan lain. Perkenalkan sistem giliran bermain. Ini bermakna abang atau kakak boleh bermain dulu untuk satu tempoh pendek dan kemudiannya diserahkan kepada adik atau sebaliknya. Ia juga secara tidak langsung akan mengajar anak untuk berkongsi dan bersabar.

“Ada juga yang bertanya, bagaimana sekiranya situasi ini terbalik iaitu kanak-kanak lain yang merampas barang daripada tangan anak kita? Situasi ini juga memerlukan peranan kita sebagai ibu bapa.

“Ibu bapa boleh mendidik anak memberi pinjam seketika kepada kanak-kanak yang meminta sambil memberitahu supaya mengembalikan barang itu dalam tempoh tertentu. Kita juga boleh mengajar anak mempertahankan barang itu kerana itu adalah miliknya tetapi dengan cara lembut,” katanya.

Norliyana berkata, dalam konteks itu si anak pada masa sama boleh memahami pemilik barang itu berhak untuk tidak memberi pinjam tetapi bukan dengan cara kasar.

“Sebaik-baiknya ajar anak untuk mengalah, saya tidak berapa menggalakkan ibu bapa mengajar anak untuk tidak memberi melainkan sekiranya kita ternampak anak dipukul. Selagi mana boleh, kita perlu memainkan peranan penuh untuk mencetuskan suasana mendamaikan dan memberi contoh terbaik kepada kanak-kanak.

“Dalam proses mendidik ini, ibu bapa perlu banyak belajar kerana cabaran untuk menanamkan sifat yang pada anak semakin besar apatah lagi dalam era sekarang. Ibu bapa juga perlu banyak bersabar kerana setiap anak mempunyai kerenah masing-masing. Namun apa yang penting, carilah ilmu untuk mendidik secara bijak dan berhemah supaya anak tidak memberontak,” ujarnya.

Katanya, ibu bapa adalah contoh paling dekat kepada anak, oleh itu tunjuk teladan yang baik supaya mereka boleh membesar dengan memiliki sifat positif kerana ia akan memberi pengaruh besar kepada keseluruhan kehidupannya.

“Jangan terlalu leka dengan telefon pintar sehinggakan kurang masa mendampingi anak. Anak amat memerlukan anda sebagai ibu bapa yang juga pembimbing terawal dalam kehidupan mereka.

“Korban masa dan kepenatan harian anda, banyakkan bercakap dan mengajar anak supaya mereka tahu apa yang betul dan salah. Jangan sesekali biarkan mereka terus membesar tanpa teguran dan tunjuk ajar anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 7:01 AM