MAZITA Awang yang juga pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berjaya sebagai seorang usahawan. FOTO E-mel
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


PERKONGSIAN wanita cekal ini mengenai dunia perniagaan yang diceburinya memberi inspirasi kepada penulis. Mana tidaknya, kisahnya sungguh berbeza, dia tidak pernah ambil tahu mengenai laman sosial juga tidak mempunyai akaun Facebook (FB) dan pada masa sama langsung tidak mempunyai ilmu perniagaan namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya.

Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini adalah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waren yang mengakui menjejakkan kaki ke dunia perniagaan tanpa sebarang ilmu juga

modal.

Memulakan bicara, Mazita Awang, 44, berkata, mungkin ramai yang beranggapan semua itu pelik namun berkat usaha dan keyakinan, dia berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil dalam kehidupan.

“Saya tidak malu mengaku tidak ada ilmu perniagaan. Saya juga tiada pengalaman dan tidak mempunyai modal. Bagaimana saya bermula? Saya bermula berbekalkan keyakinan dengan menjadikan diri sendiri sebagai ‘tikus makmal’ mencuba dan menguji keberkesanan serta khasiat pelbagai produk sebelum menemui makanan sunah

Richglow.

“Saya kemudian tekad menjadi ejen dan stokis untuk mencabar diri sendiri mencuba sesuatu yang baru. Bayangkan 21 tahun lamanya saya bergelumang dalam dunia ketenteraan tentu saja dunia baru ini memberi cabaran hebat kepada diri sendiri.

“Mana tidaknya, sebelum cuba menjual produk, saya perlu ada FB terlebih dulu dan belajar mengenainya. Saya kemudian mula menuntut satu persatu ilmu pemasaran lain bagi mengembangkan sayap perniagaan,” katanya.

Mazita berkata, walaupun mengambil sedikit masa untuk memperkemaskan ilmu perniagaannya namun dia yakin mampu melakukannya.

“Mengapa saya memilih untuk berniaga? Selain untuk menjana pendapatan diri, saya juga gemar membantu wanita yang mengalami pelbagai masalah dalam kehidupan harian.

“Saya gunakan FB sebagai medium perkongsian terbaik dengan individu lain. Syukur, bermula daripada sifar, kini saya semakin menemui rentak dan berjaya menjadi antara ketua dalam jenama ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga semakin bijak menguruskan perniagaannya dengan mengembangkan keuntungan yang dijadikan sebagai modal sehinggalah kini nilai jualan meningkat.

“Saya juga belajar untuk menjadi ketua disenangi dan berusaha membentuk pasukan hebat yang kebanyakan ejen di bawah saya adalah wanita yang mahu menjana pendapatan sendiri melalui penjualan dalam talian.

“Apa yang saya kecapi kini adalah satu pencapaian terbaik peribadi dalam bidang ini. Begitu bahagia apabila melihat usaha yang dilakukan membuahkan hasil seperti diidamkan. Saya sangat teruja apabila melihat satu persatu kejayaan dikecapi walaupun belum memiliki jenama sendiri,” katanya.

Katanya, kejayaan dicapai kini adalah sokongan semangat daripada keluarga tercinta dan sokongan padu ahli pasukan yang tidak pernah jemu membantu dan bersama-sama berusaha.

“Perniagaan dalam talian kini amat mudah dilakukan kerana kita tidak perlu menyewa premis dan boleh dilakukan di mana saja tanpa mengira masa. Ia juga sangat sesuai untuk suri rumah kerana sambil menguruskan rumah tangga kita dapat menjana pendapatan sendiri sekali gus membantu suami.

“Bagaimanapun, berniaga adalah kerjaya yang mencabar. Ada saja halangan dan dugaan yang boleh melemahkan semangat kita. Saya selalu rasa seronok melihat orang lain berjaya dalam perniagaan dan ingin memilikinya juga. Namun untuk berjaya tidak semudah disangka. Kita perlu cekal, ada guru dan ilmu kerana hanya dengan ilmu, usahawan itu mampu pergi jauh. Kita juga perlu berguru untuk menambah ilmu pengetahuan dan cekal dalam menempuh apa juga dugaan yang datang,” ujarnya.

Mazita berkata, selain berusaha, doa dan kebergantungan kepada Allah sepenuhnya amat penting kerana Dialah perancang sebenar laluan kehidupan kita. Baginya, dalam keghairahan rezeki, perintah Yang Maha Esa tidak boleh diingkari.

“Selain itu, restu suami, ibu bapa, sokongan rakan dan kerjasama pasukan turut memainkan peranan penting dalam perniagaan ini. Saya amat bersyukur atas segalanya terutama setiap kali mendapat kepercayaan pelanggan.

“Daripada seorang tentera, saya kini berjaya mencabar diri sendiri dengan bergerak maju dalam perniagaan. Saya juga berharap dapat membesarkan pasukan dan bersama-sama berkongsi ilmu serta rezeki dengan individu lain terutama wanita,” katanya.

Menurutnya, dia juga berharap lebih ramai wanita terbabit dalam dunia perniagaan bagi memastikan diri sendiri mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan ketika dalam kesusahan.

“Jika anda rasakan berniaga adalah pilihan terakhir untuk meneruskan kehidupan, anggapan anda silap. Ini kerana berniaga adalah langkah pertama untuk kita membantu orang lain meneruskan kehidupan.

“Saya juga cuba untuk memberi manfaat kepada wanita lain supaya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna walaupun ketika berdepan pelbagai suka duka dan dugaan yang tidak dijangka,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 6:45 AM