SALMON panggang dan pempeng mil penuh dengan stew epal. FOTO/NSTP
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


MUSIM cuti ini, mungkin ramai yang menghabiskan masa untuk bersama keluarga, bercuti di kampung atau mungkin sekadar keluar berjalan di sekitar ibu kota. Selain mencari ketenangan minda di luar, menyediakan hidangan sihat dan ringkas di rumah juga mungkin boleh memberi pengalaman baru yang lebih manis buat diri serta keluarga.

Anda jemu dengan sarapan berat, apa kata pilih lempeng mil penuh untuk mengisi perut di sebelah pagi. Kenal pasti variasi sos yang sesuai untuk dipadankan dengan hidangan.

Untuk hidangan tengah hari dan malam pula, cuba alihkan perhatian terhadap stik daging merah atau ayam kepada hidangan ikan seperti salmon panggang. Jika anda mahukan kelainan, bolehlah mencuba dua resipi sumbangan Persatuan Pemakanan Malaysia ini yang bukan saja mudah disediakan, malah rendah kalori dan sesuai untuk semua peringkat umur.

LEMPENG MIL PENUH DENGAN STEW EPAL

(hidangan untuk dua hingga tiga orang)

Bahan-bahan

•1/4 cawan tepung mil penuh

•1/2 cawan tepung naik sendiri

•1/2 cawan susu

•1 biji telur

•1 camca mentega, dilembutkan

Stew Epal

•1 biji epal merah/ hijau

•1/2 cawan air

•1 camca gula

•1 sudu mentega

•Secubit serbuk kayu manis

•2 sudu yogurt rendah lemak

Cara-caranya

1. Kupas epal, buang bijinya dan dipotong dadu.

2. Cairkan mentega dalam periuk dan tuang air bersama gula. Didihkan dan masukkan epal. Reneh sehingga epal lembut, kemudian taburkan sedikit serbuk kulit kayu manis. Ketepikan.

3. Ayak tepung mil penuh dan tepung naik sendiri ke dalam mangkuk besar. Buat lubang di tengah campuran tepung.

4. Campurkan susu, mentega, telur dan gaul ke dalam tepung. Pukul adunan perlahan-lahan untuk memastikan ia lembut.

5. Letakkan sedikit mentega ke atas kuali leper dan tuang adunan. Masak sehingga buih udara timbul. Terbalikkan lempeng untuk masak di bahagian sebelah lagi.

6. Hidangkan lempeng bersama stew epal dan yogurt.

Kandungan nutrien setiap satu hidangan

Kalori: 231kcal

Protein: 7.8 gram

Karbohidrat: 31.5 gram

Lemak: 8.2 gram

SALMON PANGGANG

(hidangan untuk enam orang)

Bahan-bahan

•6 kepingan stik salmon

•1 sudu madu

•1 biji lemon, diperah jusnya

•1 sudu minyak zaitun

•1 sudu sos barbeku

•Garam secukup rasa

•2 sudu air

•Daun dill dan lemon untuk hiasan

Cara-caranya

1. Bersihkan lemon. Letakkan ke dulang pembakar yang dilapik kertas pacmen. Kemudian sapu minyak zaitun.

2. Campur air dengan jus lemon, garam, madu dan sos barbeku. Kacau rata.

3. Lumur campuran ke atas kepingan salmon dan perap kira-kira satu jam.

4. Bakar dalam ketuhar selama satu jam pada suhu 150°C . Keluarkan salmon dari dulang pembakar dan letak di atas pinggan hidangan.

5. Hiaskan dengan daun dill atau lemon. Hidang ketika panas bersama sayuran yang dikukus, salad dan ubi keledek.

Kandungan nutrien setiap satu hidangan

Kalori: 171kcal

Protein: 21.6 gram

Karbohidrat: 2.7 gram

Lemak: 8.2 gram

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 4:31 AM