UNTUK penampilan aktif denim dipadankan kasut sukan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Berkemeja-T longgar dipadankan seluar denim beginilah gaya harian Nurul Hanna Farisha Mohd Fauzi, 19. Pelajar jurusan perakaunan dari Ipac Education ini sememangnya bijak bergaya. Berilah apa saja busana dipadankan ke tubuh langsingnya pasti semuanya mencuri tumpuan.

Mesra disapa Hanna dalam kalangan rakan-rakan, gadis ini gemar menggunakan teknik suai padan untuk keseluruhan pakaiannya bergantung kepada acara dihadiri. Selepas mengetahui tema majlis dia akan merujuk laman sesawang fesyen antarabangsa dan juga Instagram sekadar mengambil inspirasi mengenai fesyen terkini yang ditampilkan mereka.

Sifatnya yang gemar mencuba sesuatu yang baru menjadikan dia bukanlah pengikut fesyen sebaliknya menjadikan fesyen itu sentiasa segar menerusi gabungan rekaan serta warna dipilih.


UNTUK nampak kasual pilih blaus dipadankan seluar slack hijau.

Bagi gadis manis ini, dia tidak kisah mengenai fesyen asalkan apa yang dipakai memberikan keselesaan. Ini kerana sebagai pelajar dia aktif dan sentiasa bergerak. Jadi pakaian longgar membuatkan dia rasa selesa dan yakin.

“Bagi menampakkan kekemasan padanan seseorang itu harus tahu ketinggian dan juga ukuran agar busana kena dengan bentuk badan si pemakai. Sebagai remaja saya suka mencuba dan selalunya saya akan keluarkan keseluruhan pakaian dalam almari kemudian memadankannya mengikut acara yang akan dihadiri.

“Asalkan pakaian saya nampak cantik, versatil dan paling penting selesa iaitu tidak menyeksa diri untuk kelihatan cantik. Selain itu sebagai wanita berhijab pakaian perlu sopan dan sesuai dengan perwatakan saya,” katanya.


SELESA skirt kembang dipadankan blaus. Tampil Muslimah dengan but, gaya Hanna ke kelas.

Tambahnya lagi dia bukanlah seseorang yang mementingkan jenama. Banyak pakaian tidak berjenama namun nampak cantik dan mewah. Ia bergantung bagaimana seseorang itu menggayakannya.

Sebagai pelajar Nurul Hanna gemar menggayakan kemeja-T longgar bertopi dipadankan dengan denim kerana mudah dan tidak perlu digosok.

“Berbanding blaus dan kemeja saya lebih menggemari kemeja-T kerana sederhana dan mudah digayakan. Untuk kemeja-T pula warna terang seperti merah, kuning, oren dan hijau menjadi kegilaan saya,” katanya.

Bagi denim pula, Nurul Hanna menyimpan koleksi seluar ‘baggy’ dan ‘bootcut’ kerana lebih selesa dan tidak ketat.


KEMEJA-T longgar bersama denim bootcut menjadi kegemaran Hanna.

Kasut pula adalah kategori kasut sukan atau tapak rata yang sesuai dengan pergerakan aktif dan banyak berjalan.

Disebabkan masih tiada pendapatan sendiri Nurul Hanna yang juga selebriti media sosial turut menggunakan pendapatan sambilannya untuk membeli pakaian.

“Saya memang akan asingkan duit untuk simpanan dan perbelanjaan harian. Lebihannya barulah digunakan untuk membeli pakaian,” katanya yang tidak menetapkan bajet khusus untuk pakaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 12:42 PM