PUKIS sedia untuk dimakan. Sesuai dijadikan hidangan minum petang bersama secawan kopi panas.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bagi penggemar kuih pukis pasti mengetahui manisan tradisional ini sebenarnya berasal dari Indonesia. Sejarah makanan ini bermula pada zaman penjajahan apabila ada individu yang diculik penjajah diwajibkan membuat pukis secara beramai-ramai ketika ditahan.

Namun resipi pukis sangat istimewa dan tidak diketahui sesiapa. Ketika dalam penjara seorang penjenayah mengetahui cara membuatnya dan terus menghasilkan pukis apabila dia dibebaskan.

Disebabkan keenakannya kuih ini diangkat sebagai kuih primadona dan tersebar sehingga ke seluruh Indonesia. Sehingga sekarang ia masih kekal sebagai makanan tradisional dan mudah diperoleh di kedai makan dan juga gerai tepi jalan.

Teruja ingin menghasilkan pukis mengikut cara Malaysia, Zulfa Zainal Abidin memberikan sentuhan segar kepada resipi pukis dengan menambah perisa pandan keju serta taburan gula berwarna di atasnya agar lebih menarik.

“Di Malaysia memang agak sukar mendapatkan pukis kerana acuannya yang unik dan agak sukar diperoleh di sini. Namun boleh saja ditukar dengan acuan kuih cara, mufin atau baulu.

“Perisa pula boleh dipelbagaikan sama ada pandan, mocha, strawberi, durian dan kelapa muda mengikut cita rasa sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai pukis jelasnya, pemilihan bahan-bahan akan mempengaruhi rasanya. Sebab itu Zulfa mengesyorkan agar menggunakan mentega asli manakala penggunaan perahan daun pandan berbanding pes yang dibeli membangkitkan aroma dan rasa serta lebih menyihatkan.

“Selain itu krim putar juga boleh diganti santan segar kerana akan menaikkan rasa lemak ditambah mentega tulen yang digunakan. Untuk kuih kekal enak dan gebu pastikan telur dan gula dipukul sehingga kembang sebelum dicampur tepung,” katanya.

Cara memasaknya sama seperti membuat kuih cara, hanya dengan memanaskan acuan di atas api sederhana kemudian masukkan adunan tepung dan biarkan sehingga kuih masak. Enak dimakan sebagai hidangan minum petang.

PUKIS PANDAN KEJU

Bahan A

• 100 gram mentega

Bahan B

• 100 gram gula

• 4 biji telur gred C

Bahan C

• 225 gram tepung gandum

• 25 gram tepung jagung

• 3 gram yis kering

Bahan D

• 100 mililiter krim putar

• 200 mililiter air

• 1 sudu besar pes pandan (atau kisar 20 helai daun pandan dan tapis untuk mendapatkan 200 mililiter air)

Bahan E

• Keju secukupnya

LANGKAH- LANGKAH


1. CAIRKAN mentega, ketepikan.

2. SATUKAN bahan C dan gaul rata, ketepikan.

3. SATUKAN bahan D dan kacau sebati, ketepikan.

4. PUKUL bahan B dengan kelajuan tinggi sehingga gebu selama 10 minit.

5. TURUNKAN kelajuan pengadun ke nombor satu dan masukkan bahan C dan D secara berselang-seli sehingga habis. Setelah sebati tutup pengadun dan rehatkan adunan selama satu jam.

6. PANASKAN acuan di atas api sederhana dan oleskan dengan mentega. Masak sehingga separuh matang. Letakkan keju, teruskan memasak hingga adunan masak sepenuhnya. Keluarkan adunan daripada acuan dan hidangkan sebagai minum petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 1:57 PM