JAGA pemakanan harian ketika hamil.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Kehamilan adalah detik terindah yang sangat bermakna. Bermula saat menjalankan ujian kehamilan sendiri sehingga disahkan doktor diri sedang berbadan dua, ia menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Pastinya setiap pasangan mengharapkan bayi yang bakal lahir bukan saja cukup sifat, tetapi sihat fizikal dan mental.

Bagi memastikan kesihatan bayi terjamin, penjagaan dan pemakanan yang sempurna perlu dimulakan sejak di dalam kandungan lagi.

Malah, pasangan yang merancang memiliki cahaya mata pertama disaran mengambil asid folik tiga bulan sebelum kehamilan bagi memastikan bayi mendapat zat lengkap ketika dalam kandungan.

Ini kerana ada kajian menunjukkan ibu yang tidak mendapat penjagaan dan rawatan sempurna semasa hamil berhadapan risiko tiga kali ganda melahirkan bayi kurang berat badan

Menurut pakar dietetik Dr Aminullah Aziz, ibu hamil harus memberikan tumpuan kepada fasa pertama kehamilan kerana dalam waktu ini pembentukan sel dan perkembangan organ berlaku dengan sangat cepat.

“Berbanding wanita yang tidak hamil, setiap ibu mengandung memerlukan lebih 300 kalori sehari untuk memenuhi keperluan diri dan bayi.

“Maka, diet mereka perlu diisi dengan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, susu rendah lemak, telur, keju dan bijirin selain vitamin kehamilan,” katanya.

Dr Aminullah berkongsi tip pemakanan sihat dan seimbang khusus untuk ibu hamil:

Amalkan pemakanan seimbang

Seperti yang ditunjukkan dalam piramid panduan pemakanan, diet anda harus terdiri daripada makanan yang mengandungi karbohidrat, lebih buah-buahan dan sayur-sayuran, jumlah protein, susu dan produk tenusu yang sederhana dan akhir sekali, lemak, minyak, gula dan garam dalam kuantiti yang minimum.

Pelbagaikan makanan anda

Makanan yang berbeza memberikan gabungan nutrien yang berlainan (tenaga, karbohidrat, protein, vitamin, mineral dan komponen makanan yang menyihatkan) dalam jumlah yang berbeza-beza. Makan makanan yang pelbagai bagi mendapatkan kebaikan daripada makanan berbeza.

Makan mengikut keperluan anda

Perkembangan bayi dan juga perubahan pada tubuh menyebabkan penambahan keperluan tenaga harian anda. Jadi, adalah biasa sekiranya selera makan si ibu bertambah sedikit. Walaupun begitu, tubuh anda lebih cekap menggunakan apa yang dimakan dan ini menyebabkan ramai wanita mengalami peningkatan berat badan yang normal semasa hamil, tanpa perlu makan lebih banyak daripada biasa.


JANGAN sesekali mengabaikan pemakanan seimbang ketika hamil.

Makan dengan teratur

Amalkan makan tiga sajian utama (sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam) setiap hari. Sekiranya sajian utama anda kecil atau anda terasa lapar antara waktu makan, jangan ragu-ragu makan snek seperti susu atau dadih, biskut atau roti, mi atau buah-buahan di waktu pagi atau tengah hari.

Pilih makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral

Semasa hamil, anda memerlukan hampir kesemua vitamin dan mineral dengan jumlah banyak. Kebanyakan peningkatan keperluan ini dapat dipenuhi dengan merancang dan mengamalkan diet yang berkhasiat.

Anda seharusnya memilih makanan yang kaya dengan kalsium, zat besi, vitamin C, vitamin A, vitamin B12, dan folat (asid folik).

Jangan makan terlalu banyak atau terlalu sedikit.

Makan dengan terlalu banyak semasa hamil menyebabkan peningkatan berat badan yang keterlaluan. Anda juga tidak harus mengamalkan diet pengurangan berat badan kerana kedua-dua situasi ini boleh mendatangkan bahaya kepada kandungan anda.

Imbangi pengambilan tenaga dengan aktiviti fizikal

Kehamilan adalah peluang yang baik untuk anda mengamalkan kehidupan yang aktif. Sama ada berjalan, berenang, meregang badan atau melakukan sebarang aktiviti fizikal ringan yang anda gemari, lakukannya untuk sekurang-kurang 30 minit sehari (dalam satu sesi atau 10 minit untuk setiap tiga sesi). Aktiviti ini membantu menggunakan tenaga daripada makanan dan memperbaiki penghadaman. Di samping itu, ia turut menyediakan tubuh anda untuk kelahiran dan kehamilan seterusnya.

Menurut Dr Aminullah, tabiat pemakanan yang tidak baik sebelum dan semasa kehamilan boleh membahayakan anda dan bayi.

“Sekiranya anda kekurangan zat makanan, anda mungkin tidak bertenaga dan kekurangan sesetengah nutrien yang boleh mengganggu perkembangan sel pada kandungan, menyebabkan bayi dilahirkan dengan berat badan rendah atau komplikasi lain.

“Kelebihan zat makanan juga tidak diingini kerana tenaga berlebihan iaitu daripada makan secara berlebihan dan mengambil makanan berlemak tinggi mengakibatkan anda mengalami berlebihan berat badan. Keadaan ini menjadikan anda lebih terdedah kepada diabetes atau tekanan darah tinggi semasa kehamilan atau bayi lahir dengan berat yang lebih,” ujarnya.

Menurutnya, kelebihan zat makanan juga boleh berlaku akibat pengambilan sesetengah vitamin contohnya vitamin A atau mineral seperti zat besi yang berlebihan tanpa disyorkan oleh doktor.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan kecacatan pada tulang, jantung, sistem saraf, kepala dan muka bayi. Dapatkan nasihat pemakanan daripada doktor atau pakar pemakanan sekiranya anda mempunyai sebarang risiko pemakanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 1:11 PM