GAUN sopan penuhi gaya lasak wanita bertudung.

DUNIA fesyen tanah air hari ini semakin meriah diwarnai dengan pelbagai rekaan terkini, inspirasi tradisional lama dan pilihan gaya serta fabrik yang diberi nafas baru.

Tentunya, trend dan perubahan gaya sebegini merancakkan lagi dunia fesyen tempatan, sekali gus memberi lebih pilihan kepada penggemar fesyen untuk bergaya mengikut keinginan dan cita rasa masing-masing.

Jika diperhatikan, fabrik denim atau jean antara yang tidak pernah luput ditelan zaman. Sejak dulu, fabrik ini menjadi pilihan tidak kira lelaki mahupun wanita kerana gayanya lebih kasual, lasak, santai, ringkas, mudah disuai padan dan selesa untuk semua jenis cuaca.

Di seluruh dunia, fabrik ini cukup sinonim dengan penghasilan seluar dan jaket pelbagai gaya. Revolusi fesyen hanya mengubah rekaan, perincian, bentuk dan potongan, tetapi masih mengekalkan penggunaan fabrik denim dalam koleksi seumpamanya.

Malah, denim lusuh juga diketahui mempunyai nilai tersendiri. Lihat saja berapa ramai pereka terkenal mengambil inspirasi daripada potongan asal seluar jean untuk dijadikan skirt, beg galas, dompet, topi serta corak tampalan pada rekaan busana mereka.


DIPADANKAN dengan batik untuk gaya kontemporari.

Asalkan ada sentuhan fabrik denim, tampalan daripada seluar jean lama atau mana-mana bahagian poket yang menonjolkan identiti pengeluar denim, rekaan itu pasti mudah menarik perhatian dan menjadi ikutan pengikut fesyen semasa.

Jenama pakaian Muslimah tempatan, Daanya juga tidak terkecuali. Menurut perekanya, Iezan Shafila Kamarudin, koleksi denim yang dihasilkan sempena Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW) 2018 itu menampilkan tema pakaian sopan untuk pelbagai majlis.

Memilih denim sebagai material utama, Iezan berkata, fabrik itu dilihat cukup sesuai digayakan semua wanita tanpa mengira umur atau latar belakang ke majlis formal, tempat kerja, atau acara santai.

“Fabriknya mudah dijaga dan tidak luput ditelan zaman. Sama seperti kebanyakan padanan denim, koleksi ini juga mudah disuaikan dengan kemeja, blaus, baju-T dan pelbagai jenis tudung.

“Ini bermakna, pemakai tidak mempunyai had untuk menukar gaya diingini mengikut keperluan, mood dan situasi. Ia juga sesuai untuk golongan muda yang baru berjinak-jinak dalam fesyen,” katanya.

Meneliti koleksi busana dihasilkan, Iezan bijak bermain dengan seni tampalan, perincian benang, potongan tinggi rendah, campuran ropol dan renda, membentuk gaya baru yang lebih segar serta unik.


PADANAN sesuai untuk remaja kini.

Fabrik denim pilihan wanita ini juga tidak keterlaluan. Perincian bulu pelepah di bahagian kaki skirt labuhnya menonjolkan kelainan pada gaya. Sementara lebihan cantuman yang dibiarkan tidak terurus menonjolkan gaya ranggi dalam versi baru.

Mementingkan hasil seni berkualiti dalam setiap rekaan, Iezan memberitahu, koleksi yang ditampilkan memberi fokus terhadap elemen perincian, sekali gus menjadikan setiap helaian tampak eksklusif.

Oleh itu, mungkin koleksi ini boleh dijadikan alasan untuk pengikut fesyen Muslimah menukar gaya. Kalau dulu berpenampilan ayu dengan busana sopan daripada fabrik lembut rona pastel, mungkin biru denim boleh dijadikan permulaan gaya baru untuk 2019! - Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 7:01 AM