MENYERLAH menggunakan warna pastel pembayang mata.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Memiliki kulit cerah, mulus dan licin tanpa sebarang cela tentu saja menjadi idaman wanita. Tanpa solekan tebal, hanya secalit gincu saja sudah cukup menyerlahkan kecantikan asli wanita.

Namun jenis kulit sebegini ada pula kekurangannya. Jika salah memilih warna alat solek akan membuatkan penampilan kurang menyerlah. Solekan nipis dan semula jadi tanpa menggunakan rona terang antara saranan jurusolek untuk wanita berkulit cerah. Masalahnya, apakah yang dikatakan solekan natural itu, warna dan juga jenis alat solek digunakan?

Menurut jurusolek profesional Yann Rifft, solekan bermula dengan pemilihan bedak asas kerana ia penting bagi menutupi cela dan menjadikan ton kulit sekata. Pilih bedak asas jenis ringan dengan warna cerah atau campurkan sedikit penyerlah cair untuk mendapatkan kilauan.

“Amat penting mengadunkan bedak asas pada kulit agar sekata. Gunakan span atau jari dengan cara menyapu secara menaik. Kemudian turun sehingga ke bahagian leher,” katanya.

Untuk mengelak solekan mata panda yang sering berlaku kepada si kulit cerah, gunakan warna neutral seperti biru dan hijau zamrud untuk tema moden dan ceria. Merah jambu dan coklat lembut untuk kelihatan manis dan segar manakala rona gelap untuk acara malam.


HASIL solekan semula jadi untuk wanita berkulit cerah daripada jurusolek Yann.

“Memang benar wanita berkulit cerah bebas menggunakan sebarang warna pembayang mata. Namun biarlah ia sesuai dengan acara yang akan dihadiri. Jika untuk pemakaian harian, pilih rona pastel kerana ia memperlihatkan kemanisan tersendiri,” katanya.

Selain itu, pemakaian celak juga sangat membantu bagi membentuk mata idaman. Di pasaran terdapat tiga jenis celak iaitu hitam, coklat dan abu-abu. Ia turut bergantung kepada warna rambut anda. Bagi wanita bertudung, pilihan hitam sudah mencukupi dan menampakkan gaya feminin si pemakai.

Berpengalaman menyolek pelbagai jenis kulit wanita, ujar Yann, gincu antara perkara terpenting yang mampu menyerlahkan penampilan menjadi lebih anggun dan menawan. Terutama yang berkulit pucat dan cerah, pilih rona lembut merah jambu untuk kelihatan comel.

“Tetapi sesekali apa salahnya sekiranya anda tampil dengan merah cili atau rona tanah untuk solekan klasik. Ia akan memberi kelainan kepada keseluruhan penampilan anda,” katanya.

Akhiri dengan pemerah pipi merah jambu yang memberikan sentuhan menawan. Memandangkan solekan mata menggunakan warna semula jadi dalam apa juga acara dihadiri apa yang penting adalah kesempurnaan solekan dan tidak keterlaluan.

Langkah-langkah


1 . BEDAK ASAS disapu ke seluruh wajah, ratakan dengan berus kuas besar.

2. AMBIL pembayang mata merah jambu dan coklat, adunkan sehingga sebati pada kelopak mata.

3. SAPUKAN celak cair pada atas garis mata untuk kesan sekata.

4. MASKARA menjadikan bulu mata lentik dan lebat.

5. AMBIL pemerah pipi merah jambu, sapukan di bahagian atas tulang pipi.

6. AKHIRI dengan gincu pudar merah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 11:30 AM