SEBAHAGIAN daripada murid membuat latihan Al-Quran di Al Baghdadi Playtime Center Cyberjaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


PENDIDIKAN awal kanak-kanak sentiasa menjadi isu penting dan menarik untuk dibincangkan. Persoalan mengenai kualiti tadika, pembelajaran, kurikulum dan guru terlatih semakin diambil berat terutama ibu bapa.

Malah, ada ibu bapa yang sangat cerewet dalam memastikan anak mereka mendapat pendidikan yang diinginkan memandangkan kesedaran mengenai persaingan dan juga pencapaian yang semakin tinggi apabila memasuki tahun satu.

Dalam hal ini pentingnya ibu bapa memilih tadika berdasarkan beberapa faktor. Misalnya keselamatan dan jarak dengan rumah, kualiti pengajaran, sahsiah anak dan konsep yang ingin diterapkan kepada anak mereka.

Mengambil kira persekitaran semasa, masalah sosial yang semakin meningkat, sekolah tahfiz yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan ibu bapa moden kini cenderung memilih tadika pratahfiz yang menyediakan pembelajaran al-Quran dan hafazan secara eksklusif.

Pada anggapan mereka, memilih tadika pratahfiz dapat mendedahkan si kecil lebih awal mengenai pembelajaran al-Quran yang tidak dapat dirasai sewaktu persekolahan ibu bapa pada zaman dahulu.

Berbeza cara pendidikan dan zaman dilalui, ibu bapa dulu menghantar anak ke kelas mengaji al-Quran berdekatan rumah pada waktu malam. Bermula mengenal huruf, anak diajar Iqra’ sehingga proses membaca al-Quran dengan lancar apabila mereka memasuki sekolah rendah. Jarang sekali di antara mereka mampu membaca dan menghafaz dengan baik pada usia empat tahun.

Berbeza kanak-kanak pada masa kini menerusi tadika Islam, anak kecil mampu membaca al-Quran lebih awal dan menghafaz surah pendek sebelum memasuki usia tujuh tahun.

Berkongsi pandangan mengenai pemilihan sekolah tadika terbaik, menurut Pengusaha Al Baghdadi Playtime Centre Cyberjaya (APC) Syireen Ismail, ibu bapa perlu fokus bentuk pendidikan awal yang ingin diterapkan kepada anak mereka.

Ini kerana di Malaysia terdapat pelbagai jenis tadika dengan konsep berbeza. Ada menekankan pendidikan bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Arab, Montessori dan tadika Islam yang dikendalikan pihak swasta.

“Berdasarkan kehendak dan matlamat ibu bapa, terpulang kepada mereka bentuk pendidikan yang ingin diberikan kepada si kecil. Ini kerana pada akhirnya matlamat utama adalah menyediakan ruang emosi, fizikal dan rohani sebelum melangkah ke sekolah rendah,” katanya.

Bagi ibu bapa yang menekankan pendidikan awal menerusi al-Quran, jelas Syireen, mereka sebenarnya sudah mempersiapkan sejak awal seorang khalifah yang bukan saja lembut hatinya tetapi juga baik akhlaknya.

“Terdapat banyak kelebihan dari sudut emosi apabila pendedahan awal diberikan kepada si kecil sejak usia paling muda iaitu tiga tahun. Perkara paling ketara adalah dapat melembutkan hati anak terutama yang mudah tantrum atau autisme. Memperdengarkan bacaan al-Quran dapat membentuk akhlak mereka menjadi lebih baik,” katanya.

Kehadiran banyak sekolah tahfiz berdaftar untuk sekolah rendah membolehkan ibu bapa memilih tadika berkonsepkan Islam selain meneruskan kesinambungan pengajian al-Quran sehingga ke sekolah menengah.

“Dalam erti kata lain, anak yang didedahkan dengan sistem pendidikan pratahfiz tidak perlu bimbang kerana mereka boleh menyambung pengajian ke sekolah rendah dan menengah berkonsepkan pengajian al-Quran dan hafazan. Di Malaysia ada banyak sekolah rendah dan menengah berkonsepkan tahfiz sepenuh masa atau boleh memilih secara kombinasi dengan mata pelajaran teras,” katanya.

Berasaskan al-Quran

Menurut Syireen, sebelum membuka APC, dia terlebih dulu menjalankan kajian mengenai silibus pembelajaran pengajian al-Quran dan hafazan. Dari situ dia mendapati silibus APC adalah lebih tinggi berbanding yang disediakan sekolah agama di kawasan sekitar.

“Ini memberikan saya pengukuhan untuk meneruskan tadika berkonsepkan Islam memandangkan permintaan tinggi ibu bapa serta silibus yang berkualiti dan diyakini ramai,” katanya.

Menekankan pembacaan al-Quran dan hafazan, setiap pagi pelajar memulakan hari mereka dengan membaca al-Quran menerusi kaedah ketuk pada sekeping papan. Setiap pelajar dibekalkan satu papan kecil bersama sebatang kayu. Sambil membaca ayat al-Quran, pelajar akan mengetuk pada papan yang menggambarkan bacaan ayat panjang atau pendek.

“Subjek Tamhid ini sangat disukai anak kerana kaedah ketukan Al Baghdadi dapat mengaktifkan otak kanan dan kiri serentak. Mereka juga belajar secara santai, tanpa tekanan. Malah, penggunaan lima deria seperti memegang, menghidu, mendengar dan juga melihat digunakan sepenuhnya ketika sesi pengajian ini,” katanya.

Kaedah menghafaz Nadi Al Baghdadi pula dilakukan menerusi ingatan pada nombor. Ini bermakna pelajar mengetahui jumlah ayat dalam surah al-Quran, apabila diminta menyambung mana-mana ayat mereka mampu meneruskan hafazan tanpa mengulangi ayat pertama.

“Namun untuk setiap ayat ia perlu dilakukan secara berulang-ulang sehingga anak mampu menghafaz dengan baik. Apabila setiap ayat sudah terpahat dalam hati, jadi tidak sukar bagi mereka menyambung mana-mana ayat tanpa mengikut urutan. Kaedah ini terbukti berkesan kerana pelajar dapat menyambung hafazan diberi guru tanpa mengulangi ayat pertama,” katanya

Jelas Syireen, penekanan kepada al-Quran dan hafazan dapat memantapkan sahsiah anak. Walau di mana mereka berada, ilmu yang dipelajari ini dapat diteruskan sehingga mereka benar-benar beramal dengannya.

Menurut tenaga pengajar APC Nor Nabillah Ahmad Zainy, jika dulu kanak-kanak didedahkan dengan buku Iqra’ tetapi menerusi teknik Tamhid Al Baghdadi, pelajar seawal usia tiga tahun diajar mengenal huruf mudah dulu diikuti huruf yang sukar disebut. Ini menjadikan mereka gembira dan ceria setiap kali didedahkan dengan perkara baru di sekolah.

“Kaedah ini juga mempercepatkan proses membaca al-Quran, seawal usia enam tahun mereka sudah boleh membaca lancar diikuti tajwid yang betul. Namun begitu, bukan semua mereka menunjukkan keupayaan sama. Mungkin ada yang sedikit lambat atau ada yang pintar dan mudah menerima tunjuk ajar. Untuk itu tenaga pengajar di sini akan memberikan penekanan yang sama dan seimbang kepada setiap pelajar sehingga mereka mampu menguasai dengan baik,” katanya.

Mengenai hafazan pula, pelajar diajar menghafaz mengikut turutan nombor dalam surah bagi memudahkan penguasaan dan juga mengelak mereka terlupa satu-satu ayat. Teknik Nadi Al Baghdadi neurofisiologi ini membabitkan kedua-dua otak kanan dan kiri ketika hafazan dilakukan.

Selain subjek al-Quran dan hafazan, pusat itu turut menyediakan subjek teras seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Sains, Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan Jawi yang dikendalikan guru terlatih. Pelajar juga didedahkan dengan doa harian dan kebolehan menguruskan diri sendiri seperti mengemas tempat tidur, memakai baju sendiri serta memasukkan sampah ke dalam bakul sampah sepanjang pembelajaran berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 4:31 AM