BERSAMA kanak-kanak dalam program kesedaran alam sekitar.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kemenangan dalam pertandingan pidato mengenai alam sekitar beberapa tahun lalu membuka lembaran baru buat anak muda ini dalam aktiviti kesukarelawan khususnya pemuliharaan khazanah lautan.

Malah sejak itu dia antara insan yang menjadi tunjang dalam usaha melestarikan alam dengan pelbagai program kesedaran melalui pertubuhan yang diasaskannya, Green Semporna.

Aktivis muda yang baru berusia 25 tahun ini sedar jika tiada usaha jitu daripada belia sepertinya memperjuangkan kelestarian alam, tidak mustahil suatu hari nanti lebih banyak hidupan laut terus diancam kepupusan.

Tidak seperti remaja seusianya, sebaik saja tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) aktivis alam sekitar, Muhammad Adzmin Ab Fatta sudah giat membawa mesej kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.

“Pada awalnya, hadiah kemenangan pidato dengan tema hentikan pengeboman ikan anjuran WWF Malaysia pada 2012 membawa saya ke kem kesedaran di sebuah pulau terkenal di Semporna, Sabah.

“Salah satu aktiviti kem itu adalah menyelam. Timbul kesedaran dan minat mendalam selepas melihat terumbu karang yang hancur disebabkan aktiviti bom ikan.

“Sejak itu saya dan beberapa orang rakan terfikir bagaimana mahu menggalak dan membabitkan lebih ramai orang tempatan untuk melindungi khazanah berharga ini terutama belia hingga tertubuhnya Green Semporna,” katanya.

Muhammad Adzmin berkata, Green Semporna adalah kelab alam sekitar pertama di daerah itu dan disertai oleh golongan muda yang prihatin serta mahu sama-sama memulihara khazanah alam.

Menurutnya, Semporna sangat terkenal dan kaya dengan biodiversiti marin dan pengalaman pertamanya melihat keindahan laut itu mengubah persepsi sekali gus minat terhadap alam marin.

Daripada situlah anak jati Semporna itu mula berkecimpung dan fokus terhadap bidang pemuliharaan dan pendidikan kesedaran alam sekitar.

Katanya, dia mula bekerja dengan WWF-Malaysia sebagai pembantu kepada pegawai marin biologi pada 2012 sehingga 2015 sebelum bekerja di Reef Check Malaysia. Pada masa sama dia turut menggalas tanggungjawab sebagai Naib Pengerusi dan antara Pengasas Green Semporna.


MUHAMMAD Adzmin memeriksa terumbu karang.

Sejak itu mula timbul minat dan semangat untuk mendalami bidang pemuliharaan dan pendidikan kesedaran alam sekitar di daerah Semporna.

“Kerja saya sebagai pembantu adalah mengurus dan membantu menganjurkan program pendidikan kesedaran alam sekitar khususnya yang bertemakan alam marin kepada semua masyarakat di Semporna tidak kira tua atau muda.

“Namun kebanyakan aktiviti yang saya jalankan lebih menyasarkan kanak-kanak dan belia memandangkan mereka masih pada usia yang boleh menerima pendidikan kesedaran.

“Tahun lalu pertubuhan ini berpeluang menyuarakan pandangan berkaitan isu pengeboman ikan di Semporna dalam Simposium Pengeboman Ikan Sabah selain mewakili belia Malaysia dalam bengkel biodiversiti di Konvensyen Diversiti Biologikal.

“Kempen antibom ikan kami mulakan awal 2013 dulu hingga 2017. Walaupun kami bukan NGO besar, kami berbangga kerana menjadi satu-satunya NGO belia yang diberikan peluang untuk berkongsi pendapat ketika simposium berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, pada 2016, dia terpilih mewakili negara dalam International Visitor Leadership Program (IVLP): Our Ocean Youth Ambassador ke Amerika Syarikat (AS).

Program lawatan antarabangsa itu membawa hanya 25 duta belia terpilih dari seluruh dunia untuk mengikuti program yang berlangsung selama dua minggu di AS.

Program yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan AS dan Institut Pendidikan Alam Sekitar (IEE) itu diadakan bagi membincangkan dan menangani isu berkaitan laut terutama perubahan iklim, kawasan perlindungan marin, pencemaran laut dan perikanan yang mampan.


GREEN Semporna giat menjalankan tugas advokasi kepada masyarakat demi kelestarian alam sekitar.

Ditanya mengenai harapannya terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar, Muhammad Adzmin menegaskan dia mahu lebih ramai anak muda memiliki rasa tanggungjawab terhadap sumber alam sekitar dan tidak memandang ringan isu berkaitan.

“Sebagai seorang aktivis alam sekitar khususnya dalam kelab, saya berhasrat terus memantap dan mempergiatkan pendidikan kesedaran alam sekitar dengan lebih interaktif dan membabitkan semua masyarakat.

“Melalui cara ini kita boleh memastikan mesej kesedaran itu dapat sampai lebih jauh. Aktiviti pendidikan kesedaran juga perlu sentiasa diteruskan. Saya berhasrat membina lebih banyak kerjasama dan rangkaian untuk memastikan pendidikan alam sekitar ini berterusan,” katanya.

“Saya juga berharap belia diberikan lebih banyak peluang dan platform untuk terbabit dalam usaha pengurusan alam sekitar dan paling penting alam sekitar kita semakin terpelihara.

“Selain itu besar harapan saya agar banyak spesies terancam khususnya ikan yu dapat terus dilindungi. Hentikan penerokaan hutan terutama untuk pembinaan loji jana kuasa arang yang dipercayai dirancang dilaksanakan di sebuah hutan di negeri ini,” katanya.

Secara peribadi katanya, dia memang bercita-cita menjadi aktivis alam sekitar yang boleh menjadi teladan kepada komuniti setempat malah lebih ramai digalakkan menyertainya.

Ini kerana, katanya, alam sekitar semakin terancam dan orang yang paling terkesan adalah komuniti yang bergantung hidup terhadap sumber ini.


PASUKAN Green Semporna dalam salah satu program pemuliharaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 11:22 AM