REKAAN praktikal untuk kemudahan pelanggan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

FABRIK memainkan peranan penting dalam pemilihan pakaian wanita lebih-lebih lagi jika ingin digayakan di negara yang bercuaca panas seperti Malaysia.

Walaupun ada sesetengah fabrik yang digunakan untuk pakaian wanita menjadi ikutan masa kini, bukan semuanya sesuai dipakai setiap golongan.

Cuba lari daripada kebiasaan dan mengambil kira semua sudut, Qaysaa Hijabs tampil dengan busana buat wanita yang mementingkan keselesaan dan gaya tapi masih mengekalkan batas syariat.

Membawa konsep kasual dan santai, pemiliknya, Siti Sa’adiah Yahya berkata, rekaannya dibuat berdasarkan keperluan wanita yang mahu tampil sopan, pada masa sama bebas bergerak walaupun dalam cuaca panas.

Katanya, rekaan yang ringkas dan polos diterapkan supaya sesuai digayakan di tempat kerja mahupun sebagai pakaian harian.

Menurutnya, idea tercetus apabila kebanyakan pengeluar busana kasual hanya menyediakan baju yang singkat, tidak mesra penyusuan dan tidak menepati kehendak Muslimah moden di negara ini.

“Jadi, kami dapat ilham menghasilkan sendiri koleksi yang lebih ringkas, praktikal dan menepati cita rasa rakyat Malaysia atau Muslimah keseluruhannya.

“Setiap rekaan juga didatangkan dengan dua hingga empat rekaan baru setiap bulan, sekurang-kurangnya empat hingga 10 warna pilihan bagi setiap rekaan.

“Meskipun moden, kami menerapkan ciri minimalis dalam setiap rekaan dan ia perlulah cukup labuh menutupi pinggul dan memudahkan pemakainya mengambil wuduk.

“Apabila menghasilkan pakaian menutup aurat, kami akan pastikan material yang digunakan berkualiti tinggi, tidak panas dan sesuai dengan cuaca di negara ini,” katanya.


FABRIK selesa memudahkan pergerakan.

Material yang digunakan, katanya perlulah bersesuaian dengan suhu di negara ini dan negara serantau. Oleh itu fabrik menyerap peluh, selesa dan tidak panas seperti kapas linen, crepe dan poliester digunakan dalam koleksi butik itu untuk memastikan keselesaan dan kepuasan pelanggan.

Apabila menyebut mengenai fesyen Muslimah, pasti setiap orang menggambarkan jubah dan baju kurung. Hakikatnya, wanita boleh bergaya dengan pelbagai fesyen terkini asalkan penampilan itu tidak keterlaluan.

Di butik itu Saa’diah mahu mencipta kelainan iaitu berkonsepkan busana kasual. Sama ada berhijab atau tidak, potongan yang direka dipastikan supaya longgar, tidak melekap dan mempunyai ciri khas iaitu mesra penyusuan bayi.

Katanya, menutup aurat dan bersederhana adalah ciri yang diberi keutamaan dalam melahirkan rekaan. Ini kerana, katanya, dengan trend terkini agak sukar mendapatkan pakaian yang menutup aurat sepenuhnya.

Oleh itu, katanya, rekaan pakaian di butik itu dipastikan direka dengan potongan longgar dan sesuai digayakan bukan saja ke pejabat, malah sebarang majlis formal.

“Bagi saya, fesyen bergerak seiring dengan keyakinan diri. Fesyen juga menggambarkan diri kita apabila berhadapan orang ramai. Oleh itu, kita perlu selesa dan yakin dengan apa yang dipakai.

“Kami juga menawarkan produk kami pada harga mampu milik kerana menyedari ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana juga mahu bergaya, tapi sering berdepan kekangan kewangan untuk tampil cantik dan mengikut peredaran masa.

“Sungguhpun begitu, kami tidak berkompromi dengan kualiti jahitan kerana bagi kami murah tidak semestinya kurang kualiti.

“Saya amat mementingkan pemilihan fabrik oleh itu, penting bagi saya memilih fabrik terbaik untuk dijadikan pakaian. Selain itu, saya juga mementingkan rekaan dan setiap rekaan yang dihasilkan akan disemak sebelum dijual kepada pelanggan. Kualiti menjadi keutamaan butik ini,” katanya.

Koleksi butik itu boleh didapati dengan harga berpatutan antara RM50 hingga RM300. Dia berharap dapat menghasilkan lebih banyak rekaan menarik pada harga berpatutan sesuai untuk semua golongan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 10:30 AM