Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Proses kehamilan adalah pengalaman indah dan sangat berharga bagi wanita yang menantikan peluang bergelar ibu. Bermula dengan tanda awal hamil seperti tiada haid, kekejangan perut (akibat implantasi), kerap membuang air kecil, mudah letih dan mengantuk, deria rasa berubah hinggalah mengidam, semua fasa ini dilalui dengan penuh syukur.

Namun, dalam keterujaan menantikan cahaya mata, ramai wanita terlupa untuk mengenal fasa kehamilan secara dekat. Kalau ada pun, mereka lebih selesa mendengar atau membaca perkongsian cerita daripada golongan ibu yang sudah berpengalaman.

Realitinya, bukan semua kehamilan itu sama. Setiap wanita pasti akan melalui peringkat kehamilan berbeza, bergantung kepada tahap kesihatan diri, sejarah keluarga dan ketahanan tubuh mereka.

Selama sembilan bulan hamil juga, keperluan tenaga dan makanan berkhasiat meningkat. Perubahan hormon bHCG (beta human chorionic gonadotropin) lazimnya menyebabkan rasa loya, manakala hormon estrogen dan progesteron meningkatkan risiko pedih hulu hati, sembelit, urat bersimpul, buasir, pembengkakan payudara, bertambah selera makan, perubahan emosi, kelesuan serta sering mengantuk.

Itu tidak termasuk rembesan hormon relaxin yang mungkin menyebabkan sakit belakang dan bertambahnya risiko kecederaan sendi. Hormon human placental lactogen (HPL) pula menyebabkan pertambahan berat badan dan meningkatkan risiko diabetes.

Sekalipun ada yang menganggap semua perubahan ini sebagai tanda kehamilan normal, pilihan terbaik adalah dengan merujuk masalah kepada doktor atau pakar yang merawat. Ini penting untuk mengenal pasti punca sebenar, sekali gus memastikan diri tidak tergolong dalam kalangan wanita yang melalui kehamilan berisiko tinggi.


KEHAMILAN berisiko memerlukan pemantauan doktor.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Dr Patricia Lim Su-Lyn, wanita yang melalui kehamilan berisiko perlu diberi perhatian khusus kerana berdepan mudarat besar termasuk kecacatan janin dan kematian ibu serta bayi dalam kandungan.

“Ada banyak punca dan keadaan yang membawa kepada kehamilan berisiko tinggi. Mudahnya, kita katakan wanita yang tidak berisiko atau kurang, terdiri daripada kelompok usia 20 hingga 35 tahun, tidak obes dan tiada sejarah penyakit terdahulu.

“Kehamilan berisiko lazimnya berlaku kepada wanita yang hamil dan diketahui boleh berdepan komplikasi ketika mengandung. Jika tidak ditangani, dikawal, dirawat dan dipantau dengan baik, kita risau komplikasi yang berlaku akan memudaratkan kesihatan ibu, seterusnya memberi kesan kepada bayi,” katanya.

Statistik membimbangkan

Jelas Dr Patricia, kehamilan berisiko tinggi kerap berlaku kepada wanita yang mempunyai sejarah penyakit terdahulu seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lemah jantung, mengalami masalah buah pinggang, anemia dan talassemia.

Selain penyakit sedia ada, kehamilan berisiko juga boleh terjadi dalam kalangan wanita yang mempunyai kandungan bermasalah, uri di bawah atau mengalami tekanan darah tinggi dan kencing manis ketika mengandung.

“Di Malaysia, kira-kira 10 hingga 15 peratus kehamilan membabitkan wanita berisiko tinggi. Keadaan ini dipercayai berpunca daripada perubahan gaya hidup wanita masa kini yang terikut-ikut dengan budaya di negara maju.

“Mereka cenderung menunda keinginan untuk hamil sehinggalah umur meningkat ke satu tahap. Perlu diketahui apabila usia wanita itu meningkat, risiko mereka menghadapi masalah kesihatan juga akan turut meningkat.

“Dalam proses kehamilan, umur melebihi 35 tahun sudah diklasifikasikan sebagai berusia. Kita bimbang mereka yang cuba hamil pada usia lanjut ini mengalami masalah kesihatan dulu sebelum mengandung.

“Kalau tidak ada, dia juga berisiko menghadapi masalah darah tinggi dan kencing manis ketika hamil disebabkan faktor usia. Bayi juga mungkin bermasalah. Risiko sindrom Down juga meningkat bagi kehamilan wanita yang sudah berusia,” katanya.

Kata Dr Patricia, sehingga kini, kebanyakan wanita yang dikenal pasti melalui tempoh kehamilan berisiko mendapatkan pemeriksaan antenatal di klinik kesihatan dan hospital besar.


KENALI punca kehamilan berisiko sebelum hamil.

“Di hospital swasta juga ada, tetapi saya selalu nasihatkan wanita supaya merujuk kepada hospital kerajaan atau swasta yang mempunyai kepakaran lengkap. Sepanjang berkhidmat, saya sendiri banyak berdepan wanita yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan kencing manis sebelum atau ketika hamil.

“Mereka ini dipantau dan diberi preskripsi bersesuaian untuk mengawal tahap kesihatan ibu, sekali gus tidak menjejaskan bayi. Bagi pesakit begini, kita bimbang tekanan darah mereka tidak dapat dikawal ketika hamil atau ketika hampir bersalin.

“Andai tekanan darah gagal dikawal, ibu mungkin mengalami praeklampsia, eklampsia dan mendapat sawan. Di tahap ini, ibu mungkin terpaksa bersalin lebih awal untuk menyelamat nyawanya dan bayi. Kesannya, bayi mungkin lahir pramatang atau lebih kecil daripada biasa kerana masalah tumbesaran terbantut ketika dalam kandungan," katanya.

Dalam situasi lain, praeklampsia yang tidak dikawal boleh menyebabkan wanita sawan, mengalami pendarahan dalam otak dan strok. Jika nasib tidak menyebelahi, ibu mungkin kehilangan oksigen beberapa saat atau mencecah minit sehingga menjejaskan bayi dalam kandungan.

Melihat data dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia, Dr Patricia berkata, sehingga 2016, 6.1 peratus kematian ibu mengandung disebabkan eklampsia. Hal itu berlaku dipercayai disebabkan sikap segelintir wanita yang memandang remeh kesan dan risiko penyakit darah tinggi.

Ancaman DVT

Katanya, selain tekanan darah tinggi dan kencing manis, kehamilan berisiko juga berlaku kepada wanita yang pernah mengalami trombosit vena (DVT). Ia terjadi apabila terdapat gumpalan darah di pembuluh darah vena.

“Sebenarnya, ketika hamil, aliran darah wanita mengalir perlahan disebabkan faktor hormon. Jadi, jika ada situasi ibu hamil yang tidak bergerak dalam tempoh lama atau kekurangan air, pengaliran darah akan jadi bertambah lambat lagi.

“Contoh yang kerap berlaku apabila wanita hamil menaiki penerbangan berbelas jam dan tidak menggerakkan kakinya. Ia boleh menjadi faktor risiko. Begitu juga dengan wanita hamil yang di tahan di wad kerana mengalami loya dan muntah teruk, dehidrasi, banyak banyak berbaring dan kurang bergerak. Satu kelompok lagi membabitkan pengaruh genetik yang mudah menjana darah beku. Wanita ini mungkin sudah ada sejarah darah beku sebelum hamil.

“Ketiga-tiga situasi ini mungkin menyebabkan berlakunya DVT. Wanita berkenaan mungkin tidak perasan sebarang perubahan ketika di atas penebangan, tetapi apabila dia berjalan, darah beku itu akan turut sama bergerak. Bayangkan jika ia ke otak, wanita itu mungkin dapat strok dan kalau ke paru-paru, ia mendatangkan risiko pulmonari embolisme,” katanya.

Menurut Dr Patricia, DVT boleh dikesan jika wanita mengadu sakit dan bengkak kemerahan pada sebelah kaki saja. Namun, ada juga yang tidak menunjukkan sebarang tanda dan mangsa meninggal dunia secara mengejut.


BENGKAK kaki tanda DVT.

“Kelompok paling berisiko adalah mereka yang ada faktor genetik atau sejarah darah beku. Mereka ini perlu diberi suntikan heparin berat molekul yang rendah (LMWH) untuk membantu mencairkan darah sewaktu hamil.

“Bagi wanita biasa yang tak ada faktor genetik tetapi diketahui memang berisiko, kita nasihatkan untuk mendapatkan stoking thromboembolic deterrent (TED). Ia adalah stoking khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki. Kemudian, minum banyak air dan kerap bergerak. Jika sakit, bengkak kaki sebelah dan ada tanda susah bernafas, rujuk doktor.

“Perlu diketahui bengkak pada dua kaki mungkin normal tetapi jika bengkak sebelah, sakit dan kemerahan itu tanda berlaku DVT. Sehingga 2016, statistik kematian ibu hamil disebabkan embolisme (darah beku) adalah yang paling tinggi di Malaysia iaitu 23 peratus.

“Kematian akibat sejarah penyakit terdahulu pula adalah 18.2 peratus. Sebab itulah wanita yang bersalin secara pembedahan kini diberi suntikan LMWH. Malah pada masa hadapan, buku merah akan ada carta risiko untuk ditanda ibu sepanjang proses kehamilan. Ini bagi memudahkan doktor memantau, bila perlunya suntikan diberi untuk mengelak risiko kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 12:54 PM