SUAMI tulang belakang Siti Hajar dalam bidang diceburi.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

PERASAAN gementar menyelubungi dirinya ketika pertama kali menguruskan jemaah wanita ke Tanah Suci empat tahun lalu hingga ada persoalan yang dikemukakan jemaah gagal dijawab.

Siti Hajar Che Ab Rahim, 36, bagaimanapun tidak berputus asa malah dengan bantuan mutawif ketika itu, dia mampu menangani cabaran pertamanya sebagai mutawifah. Sejak itu, dia tahu kerjaya yang dipilihnya itu adalah tepat dan sesuai dengan jiwanya.

Minatnya itu juga didorong oleh suami yang mengendalikan kursus umrah dan Siti Hajar turut terbabit dalam membantu suaminya menguruskan majlis serta melayani jemaah wanita.

“Setiap kali mendengar isi kandungan ceramah daripada suami berkenaan Makkah dan Madinah serta rukun ibadat umrah, dari situ saya berminat dengan kerjaya mutawifah ini.

“Suami saya juga mengendalikan kursus mutawif dan mutawifah bagi orang awam dan pelajar. Sekali lagi saya orang yang mengurus kelancaran kursus berkenaan.

“Setiap kali kursus dijalankan saya sentiasa mendengar dengan teliti ucapan suami mengenai perihal tugasan mutawif dan mutawifah. Dari situ terbitnya minat dan cinta terhadap kerjaya ini dalam melayani jemaah umrah,” katanya.

Menurutnya, skop kerjaya mutawifah sebenarnya bermula dari Malaysia iaitu dengan memberi bimbingan kepada jemaah wanita berkenaan persediaan menunaikan umrah seperti fizikal, mental dan ilmu.

Kebiasaannya, dia akan mengambil peluang memberi bimbingan kepada jemaah wanita ketika kursus umrah yang dikendalikan suaminya.

Di Tanah Suci pula, katanya, mutawif (lelaki) akan mengetuai kumpulan jemaah manakala mutawifah akan menjadi pembantu dan mereka lebih dekat dengan jemaah wanita.

Antara peranan mutawifah di sana termasuk membimbing jemaah wanita dalam menunaikan rukun umrah, menjadi pembimbing jemaah wanita kala ‘merebut’ peluang untuk ke Raudah di Masjid Nabawi di Madinah, menjadi teman rapat jemaah wanita dalam pelbagai hal aduan serta menjadi pembantu kepada mutawif menguruskan jemaah.


GELAGAT dan ragam jemaah perlu ditangani dengan baik dan berhemah.

Katanya, sebagai mutawifah tiada perkara paling manis melainkan perjalanan umrah itu sendiri lancar, jemaah gembira dan silaturahim berkekalan hingga pulang ke Malaysia.

“Setakat ini tiada pengalaman pahit kerana bagi saya setiap dugaan atau masalah yang timbul itu umpama batu loncatan untuk memajukan diri dan mempelajari sesuatu.

“Kenangan manis saya sepanjang menjadi mutawifah muda adalah apabila saya mengendalikan jemaah berumur, menemani mereka dalam setiap aktiviti di Tanah Suci termasuk membeli-belah,” katanya.

Walaupun kedengaran manis dan indah apatah lagi bekerja serta berbakti kepada tetamu Allah di tanah yang penuh berkat, kerjaya ini tetap ada cabarannya. Antara cabaran yang paling kuat adalah soal mahram jika ada wanita muda (45 tahun ke bawah) yang ingin menceburi bidang itu.

Katanya, menurut undang-undang Arab Saudi, bagi wanita berumur di bawah 45 tahun yang ingin menunaikan umrah perlu diiringi mahram.

“Ini kos tambahan jika mutawifah muda ingin mengiringi jemaah mereka menunaikan umrah. Boleh dikatakan halangan utama juga.

“Penyelesaiannya, mutawifah perlu lebih kreatif dan lebih berusaha dalam mempromosikan pakej umrah syarikat mereka berkhidmat bagi meraih komisen sekali gus dapat peroleh pendapatan tambahan dan mampu membawa mahramnya sekali ke Tanah Suci demi berkhidmat kepada jemaah umrah.

“Selain itu, perlu sentiasa belajar dan menimba ilmu dengan mutawif dan mutawifah yang senior kerana setiap mereka mempunyai pengalaman berbeza,” katanya.

Siti Hajar turut menekankan mutawifah juga perlu sedar tugasan dan ibadat utama mereka di tanah suci adalah melayani jemaah, bukan hanya sibuk menunaikan ibadat solat di masjid.

Dalam pada itu, katanya, dia bersyukur kerana suaminya, Abd Halim Ikhsan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Manhajj Brothers Sdn Bhd menjadi penyokong utamanya dan sentiasa memberi semangat dan bimbingan dari segi ilmu dan motivasi.

“Suami begitu cintakan kerjaya ini sehingga menerbitkan sebuah program realiti TV Manhajj Mutawwif, Pencarian Mutawwif Terunggul agar kerjaya ini dipandang anak muda sekali gus menaik taraf kerjaya ini di mata masyarakat,” katanya.

Sementara itu, mutawifah muda Nurul Najihah Azman, 24, berkata, peluang menjadi mutawifah pada usia muda hadir ketika mengerjakan umrah awal tahun lalu bersama adik lelakinya.

Katanya, pengetahuannya terhadap kerjaya dan bidang tugas sebagai mutawifah pada waktu itu amat cetek namun kerana minat, dia sanggup menghadiri kursus dan mendapatkan sijil kelayakan.


PENGALAMAN membawa jemaah ke tanah suci membentuk hubungan silaturahim

Lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, tugasnya sebagai mutawifah antaranya membantu jemaah wanita mengenai pelbagai kemusykilan mereka dalam menunaikan ibadah itu.

“Dalam membantu mereka saya sedar saya sebenarnya sedang membantu diri sendiri mendapatkan ilmu yang lebih jelas dan tepat daripada mutawif lain. Soalan berkaitan fiqh atau permasalahan wanita paling banyak ditanya.

“Selain itu, jemaah berusia mempunyai banyak kekangan kerana faktor fizikal seperti tidak boleh berjalan terlalu lama atau jauh. Dalam pada kita bersemangat buat umrah pada usia muda, timbul kesedaran bahawa jemaah yang lemah dan berusia perlu disantuni dengan baik. Saya membantu sekadar mampu, berkongsi ilmu dan mendengar permasalahan mereka.

“Bagaimanapun, semangat untuk menceburi bidang ini kerana menyedari kerjaya mutawifah adalah suatu kerjaya mulia apabila berkhidmat untuk tetamu Allah di Tanah Suci,” katanya.

Nasihatnya, bagi anak muda yang berminat dengan kerjaya itu, kuasai ilmu agama terutama berkaitan permasalahan wanita dengan baik selain ilmu sirah, motivasi dan kemahiran komunikasi berkesan.

Katanya, mereka perlu melayani 1,001 ragam jemaah, oleh itu, banyakkan doa dan pergantungan kepada Allah agar diri diberi kesabaran serta kelebihan untuk mengendalikan semuanya dengan santun dan hemat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 5:31 AM