DARI kiri, Dr Muhammad Yazid, Jeyamany Palanivel, Dr Hon Mun Cheng dan Dr Firdaus ketika sesi perbincangan dalam majlis pelancaran Kempen Kesedaran Bukan Sekadar Ketinggian – Tapi Juga Kesihatan.
Siti Zarinah Sahib

APABILA melihat anak diletakkan di barisan paling depan setiap kali perhimpunan sekolah atau dipinggirkan ketika acara sukan dengan alasan bertubuh kecil dan rendah sudah tentu ia menimbulkan kebimbangan.

Lebih malang ada rakan memanggil dengan gelaran si pendek atau ketot yang meninggalkan kesan kepada empunya badan. Ekoran daripada itu timbullah persoalan adakah kurang tinggi dikatakan sebagai kecacatan atau kelemahan?

Menjadi harapan setiap ibu bapa untuk melihat anak sihat dan pintar. Sihat di sini bermaksud mempunyai berat dan ketinggian normal mengikut usia mereka.

Bagaimanapun, tidak semua perancangan menjadi kenyataan. Ada anak tidak mencapai ketinggian normal seperti rakan sebaya. Dalam situasi ini biasanya penjaga akan mengambil sikap tunggu dan lihat kerana beranggapan mungkin ia disebabkan faktor keturunan dan mengandaikan apabila tiba masanya anak akan mencapai ketinggian sepatutnya.


TUMBESARAN kanak-kanak berbeza. FOTO/NSTP

Bagaimana jika semua andaian tidak berlaku? Adakah mereka sudah melepasi tempoh tumbesaran?

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik, Ketua Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Madya Dr Muhammad Yazid Jalaludin, sebenarnya setiap kanak-kanak mempunyai tempoh tumbesaran masing-masing.

Namun kebiasaannya ibu bapa beranggapan kanak-kanak tidak mencapai ketinggian normal disebabkan penyakit tertentu.

“Sebenarnya tumbesaran kanak-kanak menjadi penanda aras dari segi kesihatan dan kesejahteraan. Oleh itu, selepas dilahirkan ibu bapa perlu mengukur dan merekodkan dengan tepat perkembangan ketinggian anak dalam laporan tumbesaran yang biasanya disediakan setiap kali membawa anak ke klinik pada setiap bulan,” katanya.

Bercakap ketika majlis pelancaran Kempen Kesedaran Bukan Sekadar Ketinggian – Tapi Juga Kesihatan anjuran Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Bhd baru-baru ini, Dr Muhammad Yazid menjelaskan, terdapat pelbagai faktor penyebab kanak-kanak tidak tinggi. Antaranya genetik, penyakit, ubat-ubatan, pemakanan, hormon dan persekitaran psikososial.

“Tumbesaran perlahan pada kanak-kanak biasanya jelas kelihatan di antara usia dua hingga lima tahun. Oleh itu, jika selepas mencapai lima tahun, ketinggian kanak-kanak kurang daripada lima sentimeter (sm) setahun atau kadar tumbesaran menurun dua peratus atau lebih dalam carta tumbesaran, ibu bapa perlu mendapatkan rawatan bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, dapatkan pandangan daripada pakar pediatrik supaya mereka dapat mengesan masalah serta memeriksa latar belakang pesakit agar faktor lain boleh diketepikan.

Jika kanak-kanak disyaki menghadapi masalah hormon, anak itu perlu dirujuk kepada pakar endokrinologi pediatrik. Ujian darah bagi menentukan garis dasar dan ujian rangsangan boleh dilakukan untuk menilai jika tumbesaran ini disebabkan gangguan hormon tumbesaran (GHD).

“Hormon pertumbuhan ialah sejenis protein yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari iaitu kelenjar kecil yang terletak di bawah otak di tengah kepala di belakang hidung. Ia merangsang tumbesaran ketinggian kanak-kanak dan remaja serta membantu penjagaan otot dan jisim tulang, penurunan tisu lemak, di samping mempengaruhi tahap lipid darah seperti kolesterol dan trigliserida,” jelasnya

Selain masalah GHD, antara gangguan lain yang boleh menyebabkan kanak-kanak tidak cukup tinggi ialah sindrom Turner atau satu keadaan apabila kehadiran kromosom yang mempengaruhi perkembangan ketinggian wanita, bayi kecil dalam kandungan dan tidak mengikut usia kehamilan sebenar.

Jelas Dr Muhamad lagi, sikap tunggu dan lihat sehingga anak mencecah awal remaja hanya mengehadkan jangka masa yang ada untuk menangani masalah tumbesaran memandangkan tulang mereka akan mula menutup (gabungan epifisis) selepas memasuki akil baligh iaitu sembilan hingga 15 tahun bagi perempuan manakala sekitar 13 hingga 15 tahun bagi lelaki.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa merujuk kepada pakar pediatrik secepat mungkin. Diagnosis dan rawatan awal, kekurangan hormon tumbesaran boleh dirawat untuk menambah baik kesihatan dan membantu kanak-kanak mencapai ketinggian dewasa yang normal.

Jika tidak, anak pendek ini terpaksa berhadapan pelbagai tekanan daripada segi sosial dan psikologi.

Ini diakui Pakar Psikologi Klinikal, Ketua Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Firdaus Mukhtar, yang menegaskan penjaga dan pendidik perlu memberi perhatian khusus kepada kesejahteraan psikologi, emosi dan fizikal kanak-kanak rendah.

Ia adalah penting bagi memastikan kanak-kanak ini mendapat persekitaran positif sama ada di sekolah atau di rumah.

"Selain masalah kesihatan, kanak-kanak yang bertubuh kecil ini juga mungkin mengalami kualiti hidup lebih rendah berbanding rakan sebaya. Mereka boleh menjadi mangsa ejekan dan buli di sekolah dan digelar dengan pelbagai gelaran tidak manis seperti pendek, ketot atau terencat.

“Ini menyebabkan anak anda kurang keyakinan diri dan malu berhadapan orang ramai. Dalam hal ini, ibu bapa mestilah proaktif dalam memantau pertumbuhan anak. Jika perlu, dapatkan rawatan pada tahap paling awal. Berikan layanan terbaik kepada anak pada tahap permulaan untuk merealisasikan potensi diri mereka,” katanya.

Antara perubahan yang boleh diperhatikan adalah:

1. Tiada tumbesaran atau tumbesaran lebih perlahan daripada yang sepatutnya (kurang daripada lima sentimeter setahun atau kadar tumbesaran menurun sebanyak dua atau lebih peratus dalam buku laporan klinik)

2. Hilang selera makan

3. Lambat akil baligh (tiada perkembangan payudara pada usia 13 tahun atau tiada tompokan darah haid pada usia 15 tahun perempuan atau tiada pembesaran testis pada usia 14 tahun untuk lelaki).-Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 6:01 AM