KEKURANGAN atau lebih air ketuban menyebabkan komplikasi pada janin.
JANIN turut menghasilkan air ketuban sendiri.
DR Nurhazinat.
IMBASAN ultrabunyi dapat menentukan jumlah air ketuban.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Ketika mengandung anak kedua, Nur Hafizah Mazlan langsung tidak mengalami sebarang masalah. Kesihatan diri dan bayi berada dalam keadaan baik.

Namun memasuki usia 34 minggu kehamilan, berat badan Nur Hafizah naik mendadak sebanyak tiga kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu. Dia diminta menjalani ujian kandungan gula dalam darah bagi memastikan sama ada mengalami diabetes atau tidak.

“Alhamdulillah doktor mengesahkan saya bebas diabetes namun kandungan air ketuban melebihi paras normal manakala ukuran kepala bayi juga sedikit besar daripada biasa. Bagi memantau perkembangan bayi, saya ditahan di wad ketika kandungan mencecah 37 minggu,” katanya.

Menurut doktor, sekiranya tidak dipantau perkara itu akan menyebabkan komplikasi pada bayi. Tambahan pula pada usia begini kepala bayi sepatutnya sudah berada dalam laluan, namun ia tidak berlaku kepada Nur Hafizah.

“Memang saya dapat rasakan bayi bergerak sangat aktif. Tanpa mengira masa, bayi berpusing-pusing tidak menentu. Menurut doktor, ia berpunca daripada air ketuban yang banyak.

“Jika berlaku komplikasi dan air ketuban pecah dahulu, dikhuatiri tali pusat akan mengganggu proses kelahiran. Peluang bayi untuk hidup juga sangat tipis. Jadi bagi memastikan keselamatan ibu dan anak, saya terpaksa ditahan di wad untuk pemantauan selanjutnya,” katanya yang membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anak pertamanya dilahirkan secara normal dan dia juga mengharapkan perkara yang sama untuk anak kedua ini. Lalu dia cuba memberitahu doktor namun pakar perbidanan tidak membenarkannya walaupun menerusi proses gesaan bersalin (induce).

“Ini kerana proses itu juga membahayakan kerana tiada jaminan bayi akan masuk ke laluan (serviks) sedangkan kesakitan yang dialami adalah dua kali ganda,” ujarnya.

Tidak mahu menunggu lama akhirnya pada minggu ke-38, Nur Hafizah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.8 kilogram (kg) menerusi pembedahan.

“Saya mengharapkan dapat bersalin normal tetapi ia tidak berlaku. Namun saya bersyukur kerana pembedahan berjaya tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Mengakui tidak memiliki banyak ilmu mengenai air ketuban walaupun menjalani imbasan pada setiap bulan, jelas Nur Hafizah, dia tidak menyangka air ketuban mempunyai fungsi penting kepada bayi. Kekurangan atau terlebih air ketuban boleh membahayakan janin sekiranya tidak dipantau.

“Malah tiada petua tertentu untuk memperbanyakkan air ketuban atau mengurangkannya kerana ia ada sejak janin mula terbentuk di dalam rahim,” katanya yang memberi nama si kecil, Ahmad Zeeyad Fahmi Ahmad Shakeer yang kini sudah berusia tujuh bulan.

Fungsi air ketuban

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus, kekurangan atau berlebihan air ketuban boleh mendatangkan komplikasi kepada janin. Ia biasanya dikaitkan dengan diabetes yang menyebabkan bayi besar dan jangkitan kuman.

“Sebab itu perlunya pemantauan rapi daripada doktor bagi mengelak air ketuban bocor tanpa disedari atau jumlah air yang semakin meningkat,” jelasnya.

Ramai wanita kurang tahu mengenai fungsi air ketuban. Air ketuban adalah salah satu unsur penting untuk membantu perkembangan janin. Oleh itu, cecair ketuban yang mengalami masalah (sedikit atau lebih banyak) akan mengganggu pertumbuhan janin.

Warnanya pula agak kekuningan dan ditempatkan di dalam rahim. Ia mulai ada pada hari ke-12 selepas persenyawaan berlaku. Kemudian, pada usia kehamilan sekitar 20 minggu, air ketuban digantikan dengan urin yang ditelan dan dikeluarkan oleh tubuh janin. Jumlahnya pula akan meningkat mengikut ukuran kandungan.

Menurutnya, jumlah air ketuban boleh dipantau melalui kaedah ultrabunyi, secara lebih tepat menggunakan parameter Indeks Cecair Amino (AFI).


DR Nurhazinat.

“Pada 20 minggu air ketuban hanya berjumlah 400 mililiter (ml). Kemudian meningkat kepada 800ml ketika 28 minggu dan satu liter ketika 38 minggu ke atas. Namun jumlah ini akan kembali menurun kepada 400ml sekiranya bayi berjaya bertahan sehingga minggu ke-42. Sudah tentu ia sangat berbahaya kepada si kecil sekiranya tiada gesaan bersalin.

“Sebab itu jika berlaku keadaan sedemikian doktor cuba mengambil alternatif dengan kelahiran menerusi pembedahan untuk mengelak sebarang komplikasi,” katanya.

“Selain urin janin, cairan ketuban juga mengandung nutrisi, hormon dan antibodi untuk melawan jangkitan. Warna air ketuban boleh menentukan keadaan bayi dalam kandungan.

“Sekiranya warna cairan agak kehijauan atau coklat ketika dilahirkan, ia menandakan bayi sudah buang air besar untuk pertama kali sebelum kelahiran. Hal ini akan menjadi masalah atau dipanggil sebagai sindrom aspirasi mekonium (fasa pertama bayi),” katanya.

Bagi ibu yang memiliki cairan ketuban sedikit (oligohidramnion) biasanya disebabkan kebocoran air ketuban. Ini menyebabkan ukuran rahim lebih kecil daripada usia kehamilan dan membuatkan anda tidak berasakan pergerakan bayi secara lebih kerap.

Ia berpunca daripada membran kantung ketuban pecah atau bocor sebelum kelahiran, masalah plasenta, tekanan darah tinggi yang kronik (praeklampsia) dan diabetes.

“Kehamilan kembar apabila salah satu janin mengalami kelebihan cairan sementara turut menyebabkan air ketuban berkurang. Kelainan janin, yang berpunca daripada masalah ginjal turut menyebabkan masalah ini berlaku. Masalah jangkitan kuman pada karung kandungan juga menyebabkan selaput membran menjadi lemah.

“Walaupun selaput membran ini amat kuat untuk menampung berat janin dan air ketuban sehingga kadangkala terpaksa dipecahkan ketika proses kelahiran normal namun apabila terdapat kelemahan pada membran, ia akan menyebabkan kebocoran air ketuban,” kata Dr Nurhazinat.


JANIN turut menghasilkan air ketuban sendiri.

Air ketuban kurang

Di samping itu, air ketuban menjadi sedikit jika janin mengalami masalah saluran air kencing tersumbat yang menyebabkan penghasilan air kencing berkurangan. Keadaan ini bagaimanapun hanya berlaku kepada janin lelaki.

Masalah tekanan darah tinggi ketika hamil turut menyumbang kepada kekurangan air ketuban yang menyebabkan bayi tidak mendapat cukup makanan kerana saluran darah pada uri menjadi kecil atau tersumbat.

“Ini menyebabkan pengaliran oksigen dan makanan akan berkurangan. Darah kebanyakannya akan dialirkan ke otak janin dan sedikit saja kepada buah pinggangnya. Ini sekali gus menyebabkan kurangnya penghasilan air kencing janin,” jelasnya.

Menurut Dr Norhazinat, air ketuban berlebihan berpunca daripada bayi, ibu ataupun uri. Kebiasaannya doktor akan membuat pemantauan secara teliti menerusi imbasan setiap kali pemeriksaan dilakukan.


KEKURANGAN atau lebih air ketuban menyebabkan komplikasi pada janin.

Antara puncanya ialah:

1. Kecacatan fizikal bayi yang menyebabkan bayi tidak boleh menelan atau mempunyai masalah buah pinggang.

2. Ibu mempunyai kencing manis yang tidak terkawal ketika hamil.

3. Jenis darah tidak serasi antara ibu dan bayi. Ketidakserasian darah ibu dan bayi boleh menyebabkan bayi membengkak dan mengumpulkan banyak air di sekeliling bayi.

4. Kandungan kembar apabila kedua-dua bayi atau salah satu bayi mendapat semua nutrisi daripada kembar yang dipanggil sindrom transfusi kembar-ke-kembar (sindrom TTT ).

Risiko air ketuban berlebihan

1. Kelahiran pramatang dan meningkatkan risiko air ketuban pecah lebih awal. Namun begitu, dalam keadaan kehamilan yang sudah melebihi 35 minggu, biasanya organ dalaman bayi sudah agak matang. Jika dikhuatiri ibu bersalin lebih awal, sejenis steroid iaitu dexamethasone akan disuntik kepada ibu untuk mematangkan paru-paru bayi.

2. Kedudukan songsang. Ini disebabkan kedudukan bayi berada dalam keadaan kurang stabil dan bayi akan berpusing dan tidak berada dalam laluan sepatutnya. Jadi, risiko untuk kelahiran secara pembedahan adalah lebih tinggi.

3. Meningkatkan risiko uri terlepas lebih awal daripada masanya (abrupsi plasenta) dan menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan.

4. Dalam proses kelahiran pula, sekiranya air ketuban pecah sendiri, risiko untuk tali pusat keluar dulu adalah tinggi dan ini sangat membahayakan bayi. Jadi, kemungkinan besar ibu yang mengalami masalah polihidramnios akan dimasukkan ke wad lebih awal dan kantung air ketuban dipecahkan oleh doktor untuk mengelakkan tali pusat terkeluar dulu.

5. Selepas kelahiran, risiko untuk tumpah darah atau pendarahan juga lebih tinggi disebabkan rahim mengambil masa untuk mengecut semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 1:40 PM