KUIH-MUIH yang menjadi kegemaran pelanggan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Pada hari tertentu seawal jam 10 pagi wanita ini berada di Suria KLCC, Kuala Lumpur sekadar ingin menikmati secawan kopi panas bersama beberapa keping kuih talam yang menjadi kegemarannya. Sambil menghirup kopi segar, mulutnya ramah menegur pekerja yang leka melakukan tugasan.

Sesekali dia merapati meja pelanggan, bertanya khabar dan beramah mesra dengan mereka. Biarpun usianya sudah mencecah 66 tahun, pengasas La Cucur, Datuk Paduka Sharifah Hishmah Shahabuddin tetap sihat dan bersemangat menguruskan perniagaan yang menjadi minatnya sejak 21 tahun lalu.

Malah dia sangat teruja apabila berbicara mengenai makanan tradisional yang menjadi tanda pengenalan sejak kafe ini dibuka di premis mewah di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Mengimbas detik ketika mula membuka perniagaan makanan, ramai tidak yakin ia akan berjaya. Tambahan pula dia satu-satunya usahawan yang mahu menjual kuih-muih tradisional di pusat beli-belah ternama.

“Ia bermula apabila pihak pengurusan memberi peluang kepada saya membuka butik di pusat beli-belah itu memandangkan dulu saya bermula dalam industri fesyen. Namun kerana kegawatan ekonomi, saya bimbang ia tidak berjaya.

“Walaupun menolak pelawaan itu, pihak pengurusan tidak berputus asa dan terus memberi pilihan jika saya mahu membuka perniagaan lain. Saya terus menyatakan keinginan membuka kafe menjual kuih-muih tradisional dan mereka terus bersetuju,” katanya.

Apabila pulang ke rumah barulah dia terfikir bagaimana mahu membuka perniagaan itu kerana tiada pengalaman. Namun dibesarkan dalam keluarga peniaga dan ibu turut membuka kedai makan di Kampung Baru membuatkan segala-galanya menjadi mudah.

“Ibu adalah inspirasi saya dalam perniagaan. Ibu sangat istimewa dan hebat kerana dia bukan saja berjaya sebagai usahawan tetapi mampu membesarkan anak seramai 17 orang sendirian.

“Malah zaman kanak-kanak saya menyeronokkan sebab kami dibesarkan dalam keluarga besar dan hidup dalam suasana bahagia,” katanya.


SHARIFAH ingin mengekalkan makanan tradisional.

Sharifah bersyukur walaupun tiada pendedahan, dia mendapat tunjuk ajar daripada dua kakaknya, Datin Sharifah Nafisah dan Sharifah Husna. Selain mengambil resipi ibu, dia mula mencari pekerja bagi menjalankan operasi di bahagian dapur yang ditempatkan di Kampung Baru.

“Saya mencari konsep dan dekorasi untuk bahagian dalaman kafe. Jadi untuk rekaan dalaman hampir keseluruhannya dihasilkan sendiri. Begitu juga resipi yang diambil daripada ibu,” katanya.

Berkat kegigihan dan usaha tanpa jemu, Sharifah membuktikan perniagaannya dikenali ramai dan sinonim dengan masyarakat negara ini.

Anak kelahiran Perlis ini berkata, daripada 40 jenis kuih, antara yang menjadi pilihan ramai adalah bingka ubi kayu, seri muka dan kuih lapis.

“Tiga menu ini paling laris, kadangkala tak sampai waktu tengah hari sudah habis. Mereka yang selalu membeli pasti akan membuat tempahan atau datang awal untuk menikmati kuih kesukaan mereka,” katanya yang kadangkala menerima tempahan kuih daripada pihak korporat untuk tujuan mesyuarat dan minum petang.

Katanya, selain manisan, makanan berat seperti nasi lemak, nasi dagang, nasi tomato, mi kari, laksa Johor dan soto turut disediakan. Masakan tradisional popular lain kebanyakan negeri turut disajikan setiap hari.

“Kuih-muih yang menjadi menu kegemaran ramai dihasilkan segar setiap hari dan dihantar ke semua kedai. Ia juga berkhasiat kerana kurang manis. Seawal jam 7 pagi, kafe sudah beroperasi dan ada pelanggan sanggup menunggu sehingga pintu kedai dibuka.

“Memang saya sangat mengutamakan pelanggan. Sebab itu saya akan pastikan hidangan kesukaan mereka sentiasa ada di kafe,” katanya.


ANTARA menu yang disediakan pada setiap hari.

Menurut Sharifah, pada awal operasi, memang ada yang memandang sinis harga ditawarkan, tidak kurang juga bertanya dua tiga kali ketika membuat pembayaran. Namun lama-kelamaan pelanggan boleh menerima keadaan ini dan sedar, harga yang dibayar berbaloi dengan kualiti sajian.

“Kami hasilkan makanan bukan seperti untuk dijual tetapi lebih kepada dimakan sendiri. Jadi rasanya juga berbeza berbanding penyediaan secara banyak yang kadangkala menjejaskan kualiti rasa.

“Sebab itu menu kami mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat mahupun pelancong asing,” katanya.

Gigih berniaga sejak remaja

Anak ke-14 daripada 17 adik-beradik ini sebenarnya bukan calang-calang wanita kerana dia memiliki jiwa yang besar serta tidak gentar menghadapi cabaran dalam dunia perniagaan.

Sharifah berkata, ia banyak diwarisi daripada ibu yang juga usahawan ketika itu. Sejak zaman kanak-kanak dia mengikut ibu berniaga kedai makan. Lama-kelamaan ia menjadi satu keseronokan.

“Sebab itu saya tidak gemar dengan kerja di pejabat, sebaliknya sukakan sesuatu yang dapat dilakukan mengikut kreativiti sendiri,” katanya.

Menurut Sharifah, selepas tamat matrikulasi, dia memohon menjadi pramugari meskipun tidak dipersetujui keluarga. Namun dia tetap menyertai Malaysia Singapore Airlines (MSA) pada 1970 dan menjadi pramugari perintis Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1972.

Ketika menjadi pramugari, bakat berniaga Sharifah mula terserlah. Ketika di luar negara dia membeli pakaian dan ramai berminat dengan pakaian dipilih.


BERSAMA pekerja yang menjadi tulang belakang dalam perniagaan.

“Memandangkan minat berniaga, saya beli pelbagai jenis pakaian dan menjualnya. Semangat untuk berniaga semakin membara kerana apa saja benda yang dibeli habis terjual,” katanya yang melangsungkan perkahwinan pada November 1972 dan terus mengikut suaminya ke luar negara melanjutkan pengajian.

Sekembalinya ke Malaysia, meskipun mempunyai kelulusan diploma dalam bidang kosmetologi, dia tidak berminat bekerja dalam bidang itu, sebaliknya mula mengumpul idea dan strategi untuk membuka perniagaan.

“Disebabkan minat saya terhadap seni, pada 1985 saya menjadi pengeluar batik dan beroperasi di sebuah banglo. Kebanyakan pelanggan adalah wanita yang inginkan gaya mewah dan eksklusif dengan koleksi batik,” katanya.

Selepas 20 tahun terbabit dalam perniagaan makanan, matlamatnya semakin jelas iaitu ingin memberikan sesuatu kepada masyarakat terutama generasi muda. Kebanyakannya tidak kenal kuih-muih tradisional kerana sering didedahkan dengan makanan segera.

“Ini yang saya ingin perjuangkan supaya kuih tradisional tidak luput ditelan zaman walaupun dengan kehadiran pelbagai makanan segera dari luar negara,” katanya.


SHARIFAH ramah melayan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 1:19 PM