NUR Aida teruja melihat
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SEJAK usia tujuh tahun wanita ini gemar mengikut ibu dan ayah menanam pokok bunga dan buah-buahan di belakang rumah. Selepas melihat cara mereka membuat semaian dia mula menjalankan eksperimen sendiri. Betik yang dibeli di pasar diambil bijinya kemudian disemai di kawasan lapang di hadapan rumah.

“Setiap pagi sebelum ke sekolah saya menyiram pokok betik itu sehingga membesar dan mengeluarkan hasil. Memang sangat teruja apabila kami sekeluarga dapat makan buah betik yang saya tanam. Sejak itu saya semakin mencintai aktiviti berkebun kerana banyak faedah diperoleh,” ujar Nur Aida Md Zainuddin, 33, mengimbau kenangan lalu.

Selepas menamatkan pengajian dan mempunyai kerjaya sendiri, Nur Aida mula mencari peralatan di nurseri termasuk pasu dan tanah dengan harapan dapat membina kebun mini di rumah. Bermula dengan tumbuhan herba kegunaan harian seperti pandan, lengkuas dan serai Nur Aida menambah kepada pokok kantan, bawang, kari, limau purut, kailan, cili dan kaduk yang semuanya digunakan dalam masakan harian.

Dia kemudian menambah pengetahuan kepada herba yang mempunyai nilai perubatan tinggi. Nur Aida mula mencari benih pokok belalai gajah, teh rama-rama, cekur, sirih dan halia bara yang disemai di dalam pasu di kawasan sekitar rumah. Semua tumbuhan ini mudah hidup, cuma memerlukan air, pencahayaan yang baik dan baja organik.


ANTARA tumbuhan herba yang diusahakan Nur Aida.

SAYUR-SAYURAN yang ditanam

MULBERI yang kini dapat dinikmati hasilnya.

“Sayuran herba menjadi kegilaan saya. Sebab itu saya menambah pokok temu lawak, serai wangi dan sirih Cina yang turut menjadi tumpuan saudara mara dan jiran tetangga,” katanya.

Berbanding bunga-bungaan, jelas Nur Aida, dia kurang berminat kecuali mawar kampung yang ditanam bersebelahan pohon anggur. Ini kerana pokok bunga mawar mampu melindungi anggur sekiranya diserang penyakit. Ia menjadi ‘pagar’ yang akan ‘sakit’ dahulu sebelum penyakit menyerang pokok anggurnya.

“Sekiranya pokok mawar berpenyakit saya akan cepat rawat sebelum ia merebak ke pokok anggur. Saya juga amalkan minum air bunga mawar dan cuci muka menggunakan pati mawar ini untuk menaikkan seri,” katanya yang kini mempunyai koleksi pokok jarang ditemui seperti anggur hijau, merah dan hitam selain kemunting, markisa, bidara, mulberi dan pelbagai jenis limau termasuk lemon, kasturi dan limau nipis.

Mengenai penjagaan pula, Nur Aida yang memiliki firma guaman di Klang mengakui menggunakan semua baja organik 100 peratus seperti air basuhan beras, ikan, makanan laut contohnya udang, sotong dan ketam.

Dia juga turut menggunakan baja roti menerusi kaedah penyimpanan atau diperam selama tujuh hari bagi menghasilkan mineral dan kandungan kalsium yang diperlukan tumbuh-tumbuhan ini.

“Caranya mudah saja ambil sekeping roti yang sudah tamat tempoh dan rendam dalam 1.5 liter air bebas klorin. Biasanya saya guna air hujan atau air tadahan pendingin hawa. Peram sehingga tujuh hari sebelum ia boleh digunakan.

“Saya turut menggunakan baja daripada kulit telur. Caranya telur yang sudah digunakan saya simpan kulitnya, cuci bersih dan jemur sehingga kering. Selepas itu kisar dan simpan di dalam bekas. Tabur pada sekeliling pangkal pokok untuk membekalkan kalsium,” katanya yang turut menggunakan perisa makanan sebagai baja bagi mempercepatkan pertumbuhan pucuk baru, menggalakkan pokok berbunga dan berbuah lebih lebat.

Percaya berbudi pada tanah sangat besar hasilnya dia yang bertugas sebagai peguam dan juga ibu tunggal mengakui setiap hari jadual harian sibuk dengan janji temu dan apabila pulang ke rumah perlu menguruskan anak sendirian.

“Hobi berkebun membantu menghilangkan tekanan bekerja selain manfaat hasilnya apabila saya dapat menikmati sayur-sayuran segar tanpa bahan kimia sekali gus tidak membahayakan kesihatan.

“Ini menjimatkan kos perbelanjaan dapur kerana untuk memasak saya hanya perlukan sedikit saja. Jadi apabila perlukannya petik saja di belakang rumah,” ujarnya yang mendapat bantuan anak perempuannya yang turut mempunyai minat yang sama. Kebiasaannya dia akan bangun awal pagi dan membantu menyiram pokok di halaman rumah.

“Pada waktu cuti kami peruntukkan untuk mengemas kini tanaman dan menanam pokok baru. Aktiviti ini amat menyeronokkan sebenarnya selain merapatkan hubungan saya dan anak,” katanya.

Dia menasihati wanita yang baru mencuba untuk bercucuk tanam supaya memulakan dengan penanaman bawang kerana ia mudah hidup dan senang dijaga. Paling bagus menanam bawang putih yang mampu menghalang tumbuhan lain daripada diserang serangga memandangkan baunya yang kuat. Daun bawang juga boleh digunakan dalam masakan kerana aromanya yang segar dan enak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:16 AM