PILIHAN busana pengantin dan semua kelengkapan disediakan di bawah satu bumbung.
USAHASAMA empat sekawan realisasikan majlis kahwin gemilang dengan bajet mampu milik.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Insiden ditipu perunding perkahwinan, pengusaha katering lari dan pelbagai masalah lain yang tidak diingini antara perkara yang menjadi igauan ngeri setiap pasangan pengantin baru.

Apabila perkara ini berlaku, bukan saja bakal pengantin malah seisi keluarga akan berasa runsing. Sudahlah kerugian belasan ribu ringgit, malah ada yang puluhan ribu ringgit, majlis pula tinggal beberapa hari atau minggu akan berlangsung. Saat ini tiada apa yang mampu dilakukan, selain menelan kepahitan itu dan meneruskan majlis sekadar termampu.

Bukan sekali dua insiden seperti itu berlaku, bahkan sudah banyak laporan membabitkan syarikat perunding perkahwinan dan khidmat katering gagal menunaikan amanah dijanjikan kepada pelanggan sehingga ada antara mangsa menanggung aib akibat majlis mereka tergendala.

Kerap didatangi pelanggan yang tertipu menjadikan empat sekawan ini nekad membantu bakal pengantin dengan mewujudkan hab perancang perkahwinan yang menawarkan kepakaran berbeza di bawah satu bumbung.

Menggelarkan kerjasama itu sebagai Team Kongsi Rezeki (TKR), mereka menyedari akibat insiden ditipu perunding perkahwinan, ramai bakal raja sehari lebih berhati-hati dalam memilih pakej perkahwinan terutama yang menjanjikan ‘bulan dan bintang’.

Pengasas bersama TKR yang juga pemilik Butik Kecantikan dan Pengantin Ratu Ayu (Ratu Ayu) Azauyah Mohd Ridzuan berkata, dia kerap didatangi pelanggan yang pernah ditipu perunding perkahwinan dan akhirnya terpaksa meminta bantuannya merealisasikan majlis mereka.

Katanya, pusat sehenti itu dinaungi tiga rakannya iaitu pakar pelamin, Maslina Saadan (Zylynn Gallery & Consultant), katering yang disediakan Marina Mughni (Marina Indah Enterprise) dan kanopi oleh Ahmad Azrul Mohd Akhir (Misah Canopy Resources).

Pasukan itu mempunyai kepakaran masing-masing dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang serta terkenal di Lembah Klang. Melalui gabungan itu, mereka menyediakan perkhidmatan perunding perkahwinan daripada A hingga Z dan bakal pengantin hanya perlu memilih pakej yang mereka perlukan mengikut kemampuan.


SESI perbincangan dan perkongsian idea sering dilakukan untuk memastikan majlis pelanggan sempurna.

“Alhamdulillah, kini kami maju selangkah dengan menyediakan dewan perkahwinan TKR di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor bagi memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan lengkap tanpa perlu memikirkan lokasi majlis yang akan diadakan.

“Setiap pakej juga menyediakan makanan, menu makan beradab, andaman, kanopi, pelamin, deejay dan karaoke serta kompang. Kami menghimpunkan kepakaran dalam persediaan majlis perkahwinan yang diinginkan bakal pengantin,” katanya yang terbabit lebih 10 tahun dalam bidang andaman.

Menurutnya, kekangan masa dan kesukaran mencari lokasi bersesuaian serta terhad menyebabkan kebanyakan pengantin lebih suka memilih perunding perkahwinan untuk menguruskannya.

“Perkara paling kritikal untuk ditempah adalah dewan makan supaya tetamu berasa selesa. Persiapan awal penting bagi mengelakkan masalah tidak diingini yang kerap berlaku, antaranya tidak mendapat lokasi yang strategik dan khidmat katering.

“TKR menyedari masalah itu dan mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa pakej menarik untuk memberikan kemudahan kepada bakal pengantin,” katanya.


DEWAN perkahwinan cukup lengkap memudahkan perjalanan majlis.

Azza berkata, bakal pengantin boleh memilih pakej yang bersesuaian dengan bajet mereka. Contohnya dengan bajet bawah RM20,000, majlis perkahwinan idaman dapat dilaksanakan di dewan itu setaraf hotel.

Ini kerana mereka sedar dan prihatin, dalam keadaan kos sara hidup semakin bertambah, bajet perkahwinan juga perlu diteliti sebaiknya oleh pasangan pengantin.

Oleh itu, katanya, pakej mampu milik itu adalah satu amal jariah TKR untuk membantu bakal pengantin yang mempunyai bajet terhad.

“Niat kami cuma satu iaitu menggalakkan pasangan kekasih menghalalkan hubungan mereka dengan ikatan pernikahan. Kami melihat ramai pasangan muda yang buntu kerana kos perkahwinan semakin meningkat.

“Kami bimbang tanpa ikatan sah, maksiat akan berterusan. Sebab itu kami menawarkan pembayaran ansuran dalam empat peringkat hingga majlis selesai dengan bayaran tempahan RM500 saja bagi memudahkan urusan mendirikan masjid,” katanya.

Bagi mereka prinsip dan asas utama yang diterapkan cukup mudah iaitu kepercayaan, malah mereka juga beri jaminan wang dikembalikan jika tidak berpuas hati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 2:53 PM