KEGEMBIRAAN orang tua dikelilingi anak dan cucu.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Percutian bersama keluarga antara momen dinanti selepas kita bertungkus-lumus menghadap kesibukan tugas di pejabat. anaklah yang paling teruja, menghitung hari menanti detik bersuka ria di destinasi pilihan, apatah lagi apabila tarikh semakin menghampiri, tidak tidur malam dibuatnya.

Namun, dalam keterujaan merancang percutian, apa salahnya membawa sekali ibu bapa di kampung. Amat menyedihkan apabila ramai yang langsung tidak pernah mempelawa ibu bapa yang sudah tua pergi bercuti dengan alasan bimbangkan kesihatan mereka.

Tidak kurang juga yang begitu bangga menceritakan pengalaman percutian mereka tanpa memikirkan perasaan orang tua yang jauh di sudut hati menyimpan harapan agar diajak sama dan merasai sendiri keseronokan itu.

Sebenarnya, faktor usia dan kesihatan bukan menjadi masalah untuk warga tua melancong asalkan perancangan awal dibuat terutama membabitkan kesihatan mereka.

Meluangkan masa berkualiti dengan melancong bersama ibu bapa pasti memberikan kegembiraan yang tidak akan dilupakan.

Bayangkan semasa kita kecil, ibu bapalah yang mengusung kita ke mana saja destinasi percutian malah hingga ke ceruk dunia tapi apabila mereka sudah lanjut usia, kita sebagai anak tiada inisiatif pula untuk memasukkan orang yang banyak berjasa itu ke dalam senarai percutian.

Selain boleh memberi sedikit kegembiraan kepada ibu bapa, perhubungan juga dapat dieratkan, apatah lagi dek kesibukan tugas kita jarang dapat pulang ke kampung menjenguk mereka.

Mengatur percutian yang berkualiti bersama warga emas tidak sukar, tetapi beberapa perkara perlu dititikberatkan supaya semua ahli keluarga selesa dan pada masa sama mengelakkan perkara tidak diingini.


SEKALI-SEKALA bawa ibu bapa cuti bersama.

Pertimbangkan kesihatan dan kemudahan untuk mereka bergerak

Ramai warga emas tidak memerlukan kerusi roda dalam kehidupan seharian, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh berjalan jarak jauh atau naik turun tangga.

Oleh itu, penting untuk kita mengetahui susun atur hotel atau penginapan yang dipilih untuk meminimumkan jumlah perjalanan orang tua antara bilik dan kemudahan lain.

Jika kerusi roda diperlukan, seelok-eloknya rancang atau buat permintaan untuk menggunakan khidmat peralatan itu dari hotel ketika membuat tempahan. Ini kerana sesetengah hotel biasanya menyediakan kerusi roda untuk sampai ke bilik, tetapi bukan untuk kegunaan eksklusif.

Selain itu, pilih syarikat penerbangan dan tempat tarikan pelancong seperti muzium dan zoo yang menyediakan khidmat pinjaman atau sewaan kerusi roda.

Peka terhadap sebarang keadaan perubatan ibu bapa seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit lain. Selain itu, sentiasa beringat bahawa ada warga tua mengambil ubat-ubatan dengan makanan, jadi jadual makan mungkin diperlukan.

Pilih hotel berdekatan dengan tempat lawatan

Cari hotel berdekatan dengan tempat yang mahu dikunjungi atau ada kemudahan lengkap. Jangan terpedaya dengan tarikan penginapan di hotel murah kerana ia mungkin bukan berada di tempat yang dekat dengan semua kemudahan dan memerlukan anda menggunakan teksi untuk ke mana-mana.

Selain itu, pastikan memilih hotel yang menyediakan kemudahan untuk orang kurang upaya seperti palang pemegang di bilik mandi dan lif.

Penting juga untuk anda berhubung dengan pengurus meja depan sebelum menempah hotel untuk membincangkan apa saja keperluan yang perlu dipenuhi seperti memerlukan ruang yang dekat dengan lobi.

Lebih baik juga anda bertanya sama ada hotel mempunyai seorang doktor yang boleh dihubungi pada bila-bila masa jika anda membawa warga tua dengan masalah kesihatan.

Jadualkan masa berehat

Perjalanan sebenarnya amat meletihkan walaupun anda muda dan kuat. Rancang percutian supaya ada sekurang-kurangnya satu hari atau dua hari berehat apabila sampai di destinasi terutamanya bagi perjalanan jarak jauh.

Ketika bersiar-siar, kita seharusnya mempertimbangkan kemampuan semua orang. Kita terbiasa memberi rehat untuk anak kecil, tetapi kita kurang bertoleransi apabila ibu bapa kita yang tua mempunyai keperluan yang sama.

Oleh itu, disarankan untuk melawat tempat utama, kemudian berhenti makan sebelum melawat tempat lain. Berhenti di tandas dengan kerap seperti setiap dua jam juga mungkin diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 2:45 PM