ADA sesetengah kanak-kanak yang mengalami perubahan sikap apabila berada di sekolah.
MENDIAMKAN diri dan bersikap pemalu antara tanda mutisme berpilih.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

“Puan, anak puan terlalu pendiam di dalam kelas, adakah dia sememangnya begitu ketika di rumah?”

Pertanyaan sebegini membuatkan si ibu terkejut dan mula bimbang kerana si anak adalah seorang yang sangat aktif dan banyak bercakap apabila berada di rumah.

Walaupun dilihat pelik, situasi sebegini sememangnya banyak terjadi dalam kalangan kanak-kanak yang mula memasuki alam persekolahan. Kelainan tingkah laku itu dipanggil ‘mutisme berpilih’ iaitu situasi kanak-kanak yang tidak boleh bercakap atau berkomunikasi dengan baik pada situasi tertentu.

Mengupas mengenai perubahan tingkah laku ini, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak, Hazhari Ismail berkata, lazimnya keadaan ini dapat dikesan apabila kanak-kanak itu mampu berinteraksi dengan baik dan efektif di rumah tetapi menunjukkan perlakuan sebaliknya apabila berada di sekolah.

Menurutnya, jawapan yang paling mudah bagi perbezaan sikap itu adalah kanak-kanak selesa, tenang dan selamat apabila berada di rumah namun berasa agak janggal dan kurang selesa dengan persekitaran di sekolah.

“Perubahan tingkah laku itu kebiasaannya dikesan ketika berada di sekolah. Atas sebab itu mutisme berpilih ini hanya mula dikenal pasti apabila kanak-kanak terbabit sudah mula memasuki alam persekolahan.

“Di sekolah, guru mungkin tersalah tafsir dan menganggap kanak-kanak itu seorang yang sangat pendiam, sopan dan pemalu walhal sikapnya berubah sebaik saja pulang ke rumah,” katanya.

Hazhari berkata, apabila tiba hari menandatangani kad penilaian, kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak mutisme berpilih terkejut kala dimaklumkan mengenai tingkah laku anak yang sangat baik dan tidak banyak bercakap.

“Hakikatnya, kanak-kanak yang mempunyai masalah ini sebenarnya terlalu berusaha untuk melakukan aktiviti di dalam kelas seperti membaca dengan intonasi kuat, bercakap di hadapan kelas dan bekerja di dalam kumpulan.

“Lebih membimbangkan, ada kanak-kanak yang terlalu takut sehingga tidak berani meminta izin daripada guru untuk ke tandas. Kanak-kanak ini bukan tidak mahu bercakap disebabkan tiada pengetahuan atau pendedahan, cuma keadaan sekeliling yang menjadi penyebab mengapa mereka berkelakuan sedemikian,” katanya.


ADA sesetengah kanak-kanak yang mengalami perubahan sikap apabila berada di sekolah.

Katanya, antara simptom lain adalah memberi tindak balas hanya melalui mimik muka, mengangguk dan ekspresi wajah.

“Situasi ini dibimbangi akan membawa kepada masalah lain seperti masalah dalam pembelajaran, dipinggirkan kawan, takut dimalukan di hadapan orang ramai, mengada-ngada dengan ibu bapa juga boleh membawa kepada sikap tantrum serta tingkah laku negatif lain.

“Disebabkan mutisme berpilih adalah masalah yang jarang berlaku, ia bukan senang dikesan walaupun sudah dibawa bertemu pakar perubatan berkaitan. Jika tersilap, si anak mungkin akan dikategorikan sebagai individu yang mempunyai masalah komunikasi atau autisme,” ujarnya.

Tanda mutisme berpilih

• Banyak bercakap ketika di rumah, tetapi menjadi sangat pendiam atau langsung tidak bercakap apabila berada di sekolah atau di hadapan orang yang tidak rapat dengannya atau tidak dikenali.

• Tidak boleh bercakap dengan baik walaupun dengan orang dewasa yang dikenali (termasuk ibu bapa) jika ada orang lain bersama-sama.

• Sukar untuk bercakap dan berbual dengan rakan di sekolah.

• Kelihatan ‘tenggelam’ dalam dunia sendiri ketika berada di depan ramai orang.

• Menggunakan gerak badan, ekspresi muka dan mengangguk atau menggeleng kepala sebagai kaedah berkomunikasi.


MENDIAMKAN diri dan bersikap pemalu antara tanda mutisme berpilih.

Bertemu pakar

Hazhari berkata, kanak-kanak yang tergolong dalam situasi ini sebenarnya mahu bercakap dan bersemangat untuk bercakap tetapi terhalang disebabkan faktor tertentu.

“Mereka juga bukanlah seorang yang terlalu pemalu, tetapi terperangkap dengan kebimbangan dalam diri. Jangan paksa mereka untuk bercakap kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah. Bagi mereka bercakap adalah perkara yang sangat susah dan perlukan galakan yang berterusan, bukan diselesaikan dalam masa sehari,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa yang mempunyai anak tergolong dalam kategori ini boleh cuba membantu mereka dengan kaedah tepat dan sesuai.

“Sebagai contoh, apabila berada di restoran, anak ini akan berasa berdebar untuk memesan makanan dikehendaki dan ibu bapa terus bertindak pantas membantu mereka memesan makanan.

“Walaupun ia adalah cara untuk mengurangkan debaran anak tetapi secara tidak langsung bantuan itu akan menyebabkan dia terus mendiamkan diri sekiranya berada dalam situasi sama pada kemudian hari,” ujarnya.

Katanya, langkah terbaik adalah membawa anak bertemu pakar berkaitan untuk diperiksa, seterusnya mendapatkan kaedah tepat membantu mengatasi masalah itu.

Tip bantu anak bercakap

Tunggu lima saat

Kita sering tidak sabar menunggu anak memberi respons atau gerak balas. Jadi, ibu bapa perlu belajar berlatih memberikan anak masa sekurang-kurangnya lima saat tanpa mengulang soalan atau membenarkan orang lain menjawab bagi pihaknya. Kaedah ini juga akan membantu anak anda belajar bertoleransi dengan masalah keresahan mereka.

Berikan pujian yang khusus

Biasanya kita memberikan pujian secara umum seperti ‘Bagus anak emak!’ Kini sudah sampai masanya untuk anda memuji secara khusus contohnya ‘Bagus, Aiman beritahu minuman yang Aiman mahu’. Jadi anak anda akan faham kenapa dia mendapat pujian dan ini akan merangsangnya untuk bercakap lagi.

Ubah bentuk soalan

Cuba fikirkan bentuk soalan supaya anak anda tidak menjawab dengan ‘ya’ atau ‘tidak’ atau sekadar mengangguk atau menggeleng kepalanya. Tanyakan soalan yang memerlukan mereka memberikan penerangan atau merangsang anak bercakap. Cuba bagi pilihan contohnya ‘Aiman suka nasi ayam atau nasi goreng?’ atau anda boleh bertanya supaya dia memberikan cadangan seperti ‘Apa kita nak main selepas ini?’

Berlatih mengulang

Ulang perkataan atau ayat yang anak anda ucapkan. Ini akan menegaskan dan membuatkan dia tahu anda mendengar serta memahami percakapannya. Untuk kanak-kanak yang bercakap perlahan, mengulang perkataan mereka akan membantu si kecil untuk berasa lebih yakin apabila berada di khalayak ramai.

Jadi pencerita

Ibu bapa boleh menjadi pencerita kepada apa yang dilakukan si anak. Jika dia melukis, anda boleh berkata ‘Aina lukis bunga cantik’ atau ‘Ini kereta keluarga Aiman. Aiman sekeluarga akan pergi ke rumah nenek di kampung’. Kaedah ini secara perlahan-lahan boleh merangsang minatnya terhadap apa yang dilakukan dan memperbaiki tekniknya. Atau anda boleh meminta dia bercerita mengenai lukisannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 3:02 PM