SUAMI isteri perlu berbincang untuk kebaikan anak.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Ramai ibu bapa buntu memikirkan kaedah terbaik yang boleh dilakukan untuk memastikan anak tersayang menikmati makanan pada waktu makan.

Mungkin ramai setuju, ia antara tempoh paling sukar untuk membuatkan anak kecil terutama yang berusia setahun hingga tiga tahun duduk diam tanpa berlari ke sana sini.

Kebuntuan itu menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa akur dan memberikan telefon pintar atau gajet sebagai jalan penyelesaian untuk memastikan anak duduk diam sambil disuap makanan.

Mengupas mengenai isu ini, Pengurus Latihan dan Perundingan Kekeluargaan, Norliyana Raya berkata, pemberian gajet pada waktu makan akan menyebabkan dua perkara iaitu masalah tingkah laku dan sikap memilih makanan.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa terdorong dan berasa seronok memberi anak gajet pada waktu makan kerana ia dilihat cara yang berkesan untuk membuatkan anak duduk diam.

“Dalam seronok, ibu bapa mungkin tidak sedar ia mendatangkan kesan negatif. Kesan pertama adalah risiko membentuk personaliti kanak-kanak yang mempunyai masalah memilih makanan. Ia biasa terjadi kerana waktu makan adalah waktu paling penting untuk mendidik anak menikmati makanan.

“Apabila saya menyentuh soal ini, ramai yang menyatakan anak sukar untuk duduk di satu tempat ketika makan dan cara paling mudah hendak menarik perhatian mereka ialah memberikan gajet. Benar, namun ia bukanlah tindakan bijak kerana ia akan mengalihkan tumpuan anak kepada gajet dan tidak kisah apa yang disuap ke dalam mulut mereka,” katanya.

Norliyana berkata, sekiranya terlalu sukar untuk mengawal anak yang mungkin terlalu aktif atau lasak, sebaik-baiknya berikanlah alat permainan atau menonton televisyen sambil menikmati makanan.

“Ini kerana menonton televisyen dan gajet tidak sama. Televisyen mempunyai saiz yang besar dan penglihatan anak lebih luas yang menyebabkan mereka tidak terlalu fokus menonton televisyen.

“Jika hendak memberi alat permainan juga boleh kerana kanak-kanak dapat bermain dengan pelbagai cara. Malah ada kalanya ibu boleh ‘masuk’ dalam dunia anak sambil menceritakan kebaikan makanan yang diberikan kepadanya.

“Sebaliknya, saiz gajet yang kecil akan menyebabkan tumpuan anak lebih tinggi dan akhirnya membuatkan mereka tidak menghiraukan persekitarannya. Biasanya sukar untuk menggugat tumpuan anak yang diberikan gajet, apatah lagi jika mereka menonton rancangan yang digemari,” ujarnya.


NORLIYANA

Menurutnya, perlu diketahui, waktu makan adalah saat yang sangat penting kerana ketika itulah ibu boleh mengesan jenis makanan yang digemari anak atau sebaliknya.

“Masalah kedua adalah membabitkan tingkah laku dan ini amat biasa terjadi. Jika sudah menjadi rutin waktu makan adalah waktu untuk menonton gajet maka keadaan akan menjadi teruk sekiranya rutin itu tidak dilakukan.

“Apabila anak guna gajet ketika waktu makan, semua komunikasi dengan persekitaran akan terputus dan mengakibatkan anak hidup dalam dunianya sendiri. Ia bakal menyebabkan anak menjadi mudah marah, emosi yang tidak tenang dan cepat meragam.

“Waktu makan adalah saat terbaik untuk memupuk komunikasi antara ibu bapa dengan anak. Cubalah untuk membuatkan ia menjadi waktu paling ditunggu-tunggu oleh semua.

“Walaupun sukar, tidak terlambat untuk mengubahnya. Cubalah secara perlahan-lahan sekiranya sudah menjadikannya sebagai rutin supaya si anak tidak terkejut atau terus memberontak,” ujarnya.

Berkorban demi anak

Norliyana berkata, dalam situasi ini, ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan. Semua perlu ambil peranan masing-masing, si ayah tidak boleh lepas tangan dan membiarkan semua ini diuruskan si ibu kerana soal mendidik anak adalah tanggungjawab bersama.

“Berkorban demi anak-anak, makanlah secara bergilir, si ibu makan dulu manakala si ayah melayan anak-anak. Pengorbanan ini tidaklah terlalu lama iaitu hingga si anak berusia enam tahun saja,” katanya.

Menurutnya, walaupun kecoh pada waktu makan dan berasa malu dipandang orang ramai apabila makan di restoran namun bersabarlah. Ini adalah perkara biasa dan boleh dikatakan semua keluarga melalui pengalaman yang sama.

“Layan anak sebaik mungkin, jika mereka ingin berlari anda juga perlu berlari. Ingatlah semua pengorbanan ini demi masa depan anak juga.

“Walaupun penat tetapi ibu bapa perlu sedar dengan kesilapan diri yang memberi gajet kepada anak pada waktu makan. Anda boleh berbincang dengan suami untuk merangka peraturan di rumah. Andai anak sudah memahami percakapan anda, ajaklah dia berbincang supaya dia faham mengenai peraturan itu dan mengapa ia perlu.

“Usah berlengah dalam mendidik anak. Jika tidak berubah sekarang, anda mungkin berdepan dengan pelbagai kemungkinan masalah tingkah laku anak pada waktu akan datang,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 2:51 PM