MANIS dengan solekan lembut.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Kala bersolek, apa yang anda inginkan? Anda mahu tampak glamor dan menyerlah hingga menjadi tumpuan atau cukup dengan riasan sederhana tetapi manis dipandang?

Rasanya ramai yang lebih selesa dengan solekan sederhana tetapi mampu menyerlahkan kecantikan. Namun istilah cantik bagi setiap individu itu berbeza, ada yang yakin tampil dengan solekan tebal dan menyerlah namun ada juga yang memilih mengenakan solekan nipis tetapi tetap kelihatan manis.

Apa juga jenis solekan dipilih, ia bergantung kepada si empunya diri kerana bagi sesetengah wanita, bersolek tebal mampu menutup segala kekurangan dan meningkatkan keyakinan diri.

Menurut jurusolek Feiruz Sohor, setiap wanita mempunyai cara atau jenis solekan yang digemari dan ia bergantung kepada personaliti individu itu sendiri.

“Lebih elok sekiranya solekan tebal hanya dikenakan ketika majlis formal dan solekan nipis untuk hari biasa kerana ia lebih manis dipandang.

“Tidak perlu menghabiskan masa berjam-jam bersolek hanya untuk ke pejabat, bersantai pada hujung minggu atau menghadiri jemputan majlis perkahwinan kerana bukan saja tidak sesuai malah membuang masa serta tenaga,” katanya.

Menurut Feiruz, seiring peredaran masa kini, solekan ringkas namun manis lebih menjadi pilihan dan rata-rata wanita sudah semakin mahir untuk bersolek sendiri.

“Perkembangan teknologi seperti laman sesawang, YouTube, blog dan media sosial kini menyediakan banyak tutorial dan demonstrasi solekan yang boleh diikuti dengan mudah.

“Ia menjadikan sesiapa saja mampu tampil cantik dengan bersolek sendiri asalkan solekan itu tidak comot atau keterlaluan,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga menyarankan untuk mendapatkan khidmat jurusolek profesional sekiranya mahukan solekan tebal atau mempunyai tema tertentu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Sekiranya mahu tampil ringkas pada hari biasa seperti ke tempat kerja, keluar bersantai bersama yang tersayang atau menghadiri undangan bolehlah bersolek sendiri namun sekiranya mahu solekan bertema, disarankan mendapatkan khidmat jurusolek profesional,” katanya.

Feiruz berkongsi langkah demi langkah melakukan solekan manis dipandang yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada setiap wanita.


1. WAJAH model sebelum disolek.

2. SAPU sekata bedak asas ke seluruh wajah menggunakan rona bedak sesuai.

3. GUNAKAN bedak tabur kemudian lakukan teknik pembayang bagi membentuk hidung dan wajah.

4. BENTUK kening supaya penampilan lebih kemas.

5. GUNAKAN pembayang mata menggunakan rona tanah atau emas.

6. TEKNIK ini sebagai pilihan, gunakan bulu mata palsu bagi menampakkan mata yang lebih memukau.

7. SAPU pemerah pipi dengan nipis.

8. OLES gincu dengan rona kegemaran yang sesuai warna baju atau kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 2:41 PM