BERSAMA rakan-rakan mengutip sampah di puncak Bukit Keluang, Besut
Mohammad Ishak
rencana@hmetro.com.my

Penampilan seorang ibu muda di khalayak ramai dengan membawa beg plastik sampah hitam sambil mengutip sampah yang ditinggalkan orang ramai terutama pelancong yang beriadah di kawasan pusat rekreasi sekitar daerah Besut, Terengganu menarik perhatian pengunjung.

Tidak ramai wanita sanggup melakukan kerja mengutip sampah secara sukarela malah rela berkorban masa meninggalkan anak dan keluarga pada setiap hujung minggu semata-mata kerana minat dan cintakan kebersihan alam sekitar.

Azmaizan Arshad, 32, dari Kampung Pak Damalik, Alur Lintah, Jertih, Terengganu, menjadikan hujung minggu atau cuti umum sebagai rutin kehidupan berada di lokasi pusat pelancongan sekitar daerah Besut untuk beramal dengan mengutip sampah yang dibuang merata-rata tempat oleh pelancong.

Orang ramai mungkin menganggap itu kerja gila dan sia-sia, tetapi bagi Azmaizan atau lebih dikenali dengan panggilan Ije, dia sanggup melakukan kerja seumpama itu kerana ia dianggap sumbangannya kepada masyarakat dan negara.

Bagaimanapun, Azmaizan tidak keseorangan melakukan aktiviti amal itu sebaliknya, dia bersama 10 wanita dan remaja lain menyertai aktiviti mengutip sampah dengan ahli kumpulan dikenali ‘Geng Supit Hitam’.

Geng Supit Hitam ditubuhkan pada 2016 di mana beliau sebagai pengasas kini mempunyai 30 ahli mewakili remaja lelaki dan perempuan yang menjalankan aktiviti mengutip sampah di pusat pelancongan sekitar daerah Besut dan Setiu.


AZMAIZAN bersiap untuk mendaki Gunung Tebu, Besut bagi menjalankan kerja kutip sampah

Katanya, kumpulan itu sering menjalankan aktiviti di pusat pelancongan Bukit Keluang, Pulau Rhu, Gunung Tebu dan Gunung Sarut, Setiu yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Saya tidak malu melakukan kerja ini (mengutip sampah), sebaliknya menganggap ia satu tanggungjawab sosial,” katanya.

Malah, ibu muda kepada tiga anak itu tidak malu apabila orang ramai menyebutnya wanita sampah ketika berhadapan dengan khalayak di lokasi pelancongan.

Beliau berkata, mereka ada 10 wanita menyertai kumpulan itu tetapi hanya beliau yang aktif turun padang bersama rakan lelaki lain sama ada mendaki gunung, bukit dan meredah laut untuk menjalankan aktiviti amal berkenaan.

“Saya gembira kerana suami memahami kegemaran ini dan memberi semangat untuk meneruskan kerja sukarela itu bersama ahli kumpulan lain,” katanya.

Azmaizan berkata, Geng Supit Hitam yang dianggotainya kini dikenali ramai kerana khidmat sosial yang sering dilakukan dan pernah mendapat pengiktirafan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu.


AZMAIZAN bersama ahli Geng Supit Hitam selepas menyertai aktiviti kutip sampah di puncak Bukit Keluang, Besut

Katanya, untuk menjadi ahli kumpulan, peserta mestilah mempunyai semangat kental, sanggup menghadapi pelbagai cabaran termasuk mendaki bukit, gunung dan meredah air di pantai selain sedia menjalankan khidmat sukarela.

“Kami melakukan kerja secara sukarela tanpa mendapat imbuhan daripada sesiapa, tetapi jika ada pihak yang bermurah hati ingin membantu menyediakan beg plastik sampah hitam, adalah dialu-alukan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 2:34 PM