TURBAN daripada fabrik berteknologi nano.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Meriah warna busana di pentas Minggu Fesyen Islamic Asia (AIFW) 2018 lalu masih bermain di pelupuk mata. Betapa kuatnya pengaruh budaya yang ditonjolkan masyarakat etnik di Afrika menerusi fabrik tradisi mereka.

Mainan rona tradisional seperti biru kelasi, merah dan coklat mencuri banyak mata yang memandang. Perincian sulam timbulnya pula tampak sarat memenuhi ruang fabrik, namun tidak sedikit pun mencacatkan.

Ternyata pereka fesyen dari Afrika Selatan, Tasneem Bulbulia bijak mengatur idea dan kreativiti untuk mengangkat fabrik yang dulunya sekadar dijadikan pakaian tradisi masyarakat negara itu, kini gah di pentas fesyen luar negara.

Kata Tasneem, dia sengaja menyuntik elemen warna fesyen semasa seperti merah jambu terang, fuschia, hijau dan kuning untung menghidupkan gaya busananya di pentas fesyen dunia.

“Saya sukakan warna. Pada saya, ia melambangkan kehidupan. Jika di Afrika, kebanyakan daripada masyarakatnya memang sukakan barang yang berwarna-warni. Jadi, asas warna inilah yang saya gunakan dalam menyempurnakan setiap rekaan,” katanya.


JAKET bersulam melengkapkan penampilan.

Meneliti koleksi busana dihasilkan, Tasneem mengakui dia selesa menampilkan konsep busana sopan yang boleh disuai padan dengan pelbagai gaya dalam satu-satu masa.

“Saya hanya gunakan warna asas untuk padanan skirt, gaun, blaus mahupun celana. Kemudian setiap helaian ini boleh dipadankan dengan jaket polos atau bersulam tradisi, potongan pendek mahupun labuh.

“Ada juga busana ringkas yang saya hasilkan dengan fabrik bercorak, namun perinciannya difokuskan pada bahagian bahu, pinggang dan sisi. Untuk celana pula, saya pilih potongan kecil pada bahagian kaki untuk keseimbangan pada gaya,” katanya.


ROPOL pada skirt potongan duyung menyerlah alun langkah pemakai.

Fabrik shweshwe

Mengulas mengenai pilihan fabrik shweshwe, Tasneem mengakui berbangga kerana dapat memperkenalkan batik tradisional Afrika yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pereka fesyen dunia.

“Kalau dulu, di Afrika sendiri, tidak ramai yang memilih fabrik tradisi ini kerana dianggap ketinggalan zaman. Ia hanya dipakai pasangan berkahwin dan dilupakan begitu saja.

“Namun, dalam tempoh 15 tahun ini, shweshwe berjaya meraih popularitinya kembali. Ramai pereka menjadikan fabrik ini sebagai asas rekaan mereka. Ia umpama trend baru yang menjadi ikutan sehinggakan ramai mahu memiliki pakaian daripada fabrik ini.


BUSANA ringkas fabrik shweshwe.

“Jadi, untuk koleksi pentas, saya selitkan beberapa busana yang direka khusus menggunakan fabrik shweshwe. Saya percaya wanita sekarang mudah tertarik dan sukakan kelainan. Sebab itu saya cuba ketengahkan pilihan gaya sopan seiring dengan nilai masyarakat di Asia,” katanya.

Selain busana, Tasneem juga memperkenalkan fesyen turban daripada fabrik khusus yang dihasilkan menggunakan teknologi nano. Katanya, pemakaian turban menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat wanita di Afrika.

“Saya sendiri sukakan turban kerana ia mudah dipakai. Jadi, saya hasilkan pelbagai jenis turban menggunakan fabrik khas yang mempunyai ciri pengudaraan baik dan haruman semula jadi,” katanya.


RINGKAS tapi elegan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 12:41 PM