SARAH menunjukkan tiga menu utama yang dihasilkannya.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Mengikut Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) hampir 15,000 tan makanan dibazirkan setiap hari. Daripada jumlah ini 20 peratus atau 3,000 tan adalah lebihan makanan yang tidak disentuh dan masih boleh dimakan. Lebih menyedihkan jumlah ini cukup untuk menampung 5.3 juta orang dengan hidangan tiga kali sehari.

Di Malaysia sendiri lebihan dan pembaziran makanan berlaku setiap hari. Tambahan pula negara ini dikenali dengan syurga makanan sudah pasti masyarakat menikmati apa juga jenis makanan tanpa menghiraukan makna pembaziran. Sedangkan jika dilihat ramai yang masih kelaparan dan mencari makanan di kawasan pembuangan sampah. Ini sangat menyedihkan.

Bersempena Hari Makanan Sedunia yang jatuh pada 16 Oktober setiap tahun, Mission Foods berganding bahu dengan Cef Selebriti Sarah Benjamin bagi memulakan kempen ‘Foldover Your Leftovers’.

Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pembaziran makanan dan mencetuskan inspirasi mengenai idea terbaik dalam menguruskan lebihan makanan menjadi makanan baharu yang lazat.

Sarah dipilih bagi mengetuai kempen Mission Foods Malaysia dengan berkongsi resipi dan idea di media sosial, hebahan awam dan juga buku resipi yang boleh didapati di pasar raya terpilih dengan setiap pembelian produk Mission Foods.

Sarah menggunakan gulungan, naan dan pita dari jenama itu sebagai ‘kanvas’ sempurna untuk menghasilkan makanan baharu menggunakan lebihan makanan harian seperti kari, sate dan nasi ayam.

Pada majlis pelancaran, Sarah menunjukkan resipi kari yang ringkas iaitu sayuran dan herba dengan kari ayam. Mengguna kembali makanan terbuang, Sarah memilih lebihan kari ayam dan kentang, dicampur sayur-sayuran musim panas seperti zucchini, jagung dan herba segar untuk rasa yang lebih enak. Ini digunakan sebagai inti untuk ‘foldover’ atau lipatan yang disalut keju mozzarella.

Bagi menggunakan kembali lebihan sate agar enak dan lazat, Sarah mencipta hummus kacang daripada adunan kuah kacang bersama kacang kuda. Hummus diratakan ke dalam belahan pita sebelum potongan sate ditambah dan kemudian dilengkapkan lagi dengan salad timun herba dihiasi bawang jeruk.


PITA dengan isi sayur-sayuran, sate dan kuah kacang di dalamnya.

Menurut Sarah, menerusi semua resipi ini dia mahu menggalakkan masyarakat agar tidak membazir makanan sekali gus menjadi wira untuk kempen #ZeroWaste.

“Bagi individu berkemampuan sememangnya mereka boleh makan apa saja kerana mampu mendapatkannya. Bayangkan golongan berpendapatan rendah sudah pasti untuk mendapatkan sepinggan nasi juga adalah sangat sukar.

“Oleh itu sebagai masyarakat prihatin kita harus kreatif dan berfikiran terbuka menggunakan lebihan makanan bagi mencipta resipi baru yang lebih sedap dan luar biasa. Jangan membazir kerana lebihan makanan ini sepatutnya boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan,” kata Sarah sambil menutup sesi memasak dengan resipi terakhir iaitu gulungan nasi ayam berempah Szechuan bersama sos halia dan daun bawang menggunakan lebihan nasi ayam.

Ujarnya lagi, mencipta resipi enak ini bukanlah sukar apatah lagi kini banyak jenama menyediakan bahan yang boleh dipelbagaikan kegunaannya. Malah sesiapa juga boleh mencipta menu makanan berkhasiat menggunakan lebihan makanan.

Untuk lebih berkhasiat tambahkan salad, tomato dan timun bersama ayam yang dipanggang. Hidangan ini boleh dinikmati pada waktu berbeza misalnya ketika sarapan atau makan malam.

Bagi memberi panduan kepada wanita mengenai pengubahsuaian hidangan menggunakan lebihan makanan orang ramai kini boleh memiliki 12 resipi menarik yang dimuatkan dalam buku resipi edisi terhad secara percuma dengan setiap pembelian dua produk jenama berkenaan bermula bulan ini.


LEBIHAN nasi ayam yang digulung menjadi nasi ayam berempah Szechuan bersama sos halia dan daun bawang.

Menurut Pengurus Jenama Mission Foods Asia Selatan Randall Tan, pemilihan Sarah sebagai jurucakap dan terbabit memberikan kesedaran mengenai pembaziran makanan disebabkan pendekatan selebriti ini terhadap makanan tempatan yang sentiasa positif dan diterima peminatnya.

Ini menarik perhatian syarikat itu untuk bekerjasama dengan Sarah kerana cara pemikiran dan juga pendekatan kedua-duanya adalah sama.

“Untuk kempen ini kami ingin bekerjasama dengan individu yang mempunyai pemikiran yang sama. Kami yakin dengan keyakinan Sarah dan pendekatan yang mesra pengguna ia dapat menyempurnakan lagi kempen ini,” katanya.

Tambahnya lagi, berkisar kepada masalah dunia, kelaparan dan kebuluran harus ditangani dan ia bermula daripada kita. Melalui kempen ini, pihaknya ingin menunjukkan mudahnya menggunakan semula lebihan makanan menggunakan produk ini.

“Memanfaatkan lebihan makanan adalah perkara paling mudah dan untuk tempoh jangka panjang ia secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan setiap isi rumah. Sekiranya selepas ini anda mempunyai lebihan makanan, jangan buang. Mulakan dengan #FoldoverYourLeftovers,” kata Randall.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 11:54 AM