SYED (kanan) dalam sebahagian program kebajikan yang disertai.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

“Kaulah dulu yang sampaikan bantuan barangan asas kepada pak cik selama setahun hingga setiap bulan pak cik dapat simpan duit untuk anak belajar. Terima kasih kerana bantu, kami sekeluarga akan ingat dan doakan kamu.”

Itu antara pengalaman bermakna dilalui Presiden Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE) Syed Zainal Abidin Jamallulail Syed Abdul Aziz tahun lalu yang tersemat kemas dalam ingatannya.

Pertemuan tidak dijangka dengan insan yang pernah dibantu merubah perspektif dan menambah keyakinannya dengan kerja sukarelawan malah membulat tekad untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

“Nafas saya seolah-olah terhenti, mata berkaca dan terus memeluk pak cik itu. Saya yakin ini adalah satu petanda yang Allah ingin sampaikan melalui penerima manfaat bahawa jalan yang saya pilih ini adalah tepat dan yakin dengan apa yang saya gerakkan ini dengan sepenuh hati kerana Allah.

“Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang dan yakin ini adalah keputusan terbaik yang pernah dibuat dalam hidup saya. Melihat golongan yang dibantu tersenyum apatah lagi kehidupan mereka berubah adalah kepuasan buat saya,” katanya.

Menurut anak muda berusia 31 tahun ini, pembabitannya dalam badan bukan kerajaan (NGO) bermula selepas tamat pengajian peringkat sarjana apabila dipanggil rakan baik untuk membantu sebuah NGO menjalankan projek kebajikan.

Katanya, ketika bekerja di jabatan semi-kerajaan, dia terlebih dulu pernah ditugaskan untuk menjalankan acara kerjaya untuk membantu siswazah mencari kerja.

Padanya, tugas itu juga adalah langkah pertama usaha kebajikan yang dijalankan untuk membantu anak muda Malaysia mendapatkan pekerjaan yang baik.

“Dari situ bermulalah kerjaya sebagai pekerja sukarelawan sepenuh masa pada 2016 dan saya antara koordinator projek yang menguruskan program kebajikan dan kesukarelawanan.

“Selama tiga tahun berkecimpung dalam dunia kebajikan, kesukarelawan dan kemanusiaan, lebih 150 program dijalankan sama ada secara persendirian mahupun kerjasama dengan agensi lain di dalam dan luar negara,” katanya.

Menurutnya, stigma bekerja dalam bidang itu memang wujud dan sudah tentu ibu bapa ingin anak mereka mengecapi kejayaan dan mempunyai kerjaya yang terbaik.

Namun dia memaklumkan ibu bapanya bahawa niatnya mencari reda Allah dan Allah yang meletakkan dirinya dalam bidang berkenaan.


PROJEK Jariah Jumaat Anak Syria yang dikendalikan.

Pada saat ini keredaan merekalah yang menjadi dorongan kepadanya dan sokongan ahli keluarga, rakan rapat dan sukarelawan yang tidak pernah putus menjadi bara putih yang sentiasa menyala cerah dalam jiwanya untuk terus terbabit dalam bidang itu.

Syed berkata, ramai bertanya kepadanya, kenapa wujudkan NGO baru sedangkan terlalu banyak NGO di Malaysia.

“Jawapan saya mudah saja, saya menyediakan alternatif platform kebajikan untuk sesiapa saja terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dalam dunia kebajikan dan kemanusiaan.

“Penyediaan pengalaman ini bukan terhad untuk belia yang masih belajar malah terbuka juga kepada mereka yang bekerja. Pembabitan ini bakal membina karakter dari segi tenaga, rohani, empati yang lebih unggul terutama dalam mengaplikasikannya dalam kerjaya mereka,” katanya.

Menurut pemegang Sarjana Kejuruteraan Awam (Alam Sekitar) itu, melalui MOVE taburan penerima manfaat adalah lebih luas dan tidak tertumpu kepada satu sasaran saja.

Katanya, melalui enam segmen Program MOVE, pelbagai program dirancang tahun depan dan semuanya disejajarkan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Malaysia.

Program distrategikan agar mencapai tiga teras utama MOVE iaitu Pengetahuan & Kesedaran, Sikap & Tingkah Laku, dan Peluang & Pembangunan Kemahiran; sesiapa saja yang terbabit sama ada sebagai sukarelawan, penyumbang mahupun penerima manfaat pasti akan menjiwai pendedahan inti pati teras ini dan diwarisi berterusan.

Katanya, mereka sedar ramai rakyat Malaysia yang prihatin ingin menyumbang secara konsisten dan berterusan sama ada secara harian, mingguan mahupun bulanan kerana yakin dan tahu dengan bersedekah mereka dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan.


PROGRAM bersama masyarakat Orang Asli.

Disebabkan itu katanya, MOVE menyediakan tabung khas iaitu Tabung Hati MOVE maka dengan bantuan anda dapatlah disalurkan kepada sasaran penerima bantuan iaitu golongan B40, asnaf, OKU, Orang Asli, fakir miskin, pelarian tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama.

Menurut Syed, dia kini turut memikul tanggungjawab sebagai Penasihat Operasi Program merangkap Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kembara Kesukarelawanan Malaysia (VTM) selain berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi syarikat pengurusan acara, ZASZ Resources Sdn Bhd.

“Impian saya mahu menarik seramai mungkin masyarakat untuk berbuat baik, kerana antara perkara dalam hidup ini yang tidak akan menjadi sia-sia atau rugi ialah kebaikan. Inilah sebabnya saya yakin buat baik hidup baik dan ini menjadi mantra atau slogan untuk MOVE.

“MOVE berhasrat menjadi medan cakna kepada masyarakat tentang kesedaran melalui tanggungjawab sosial dengan bermatlamatkan pembangunan kelestarian sejagat yang unggul,” katanya.

Menurutnya, antara projek yang sedang berlangsung iaitu Misi Dapur Kaseh Buat Sulawesi Fasa 1 bersama sembilan sukarelawan dari gabungan MOVE, MyHopeHero, Restoran Olive, NGO Indonesia - Golden Future Foundation dan Indonesia Muda.

Manakala Fasa 2 menyusul bermula 27 November hingga 1 Disember ini dan seterusnya bakal melebarkan sayap ke Syria dan negara pelarian lain.


SYED (tiga dari kanan) bersama ahli gerak kerja MOVE.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 2:40 PM