CARYN (enam dari kanan) dan Pengarah Pelanggan Watsons Malaysia, Danny Hoh (lima dari kanan) bergambar kenangan sebelum acara zumba bermula.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Meriah dan gamat! Itu suasana yang dirasai ketika menghadiri Festival Watsons Get Active 2018 dengan kehadiran lebih 10,000 peserta membanjiri pekarangan Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam minggu lalu.

Seawal jam 6 pagi pengunjung mula hadir dan menyertai pelbagai aktiviti sepanjang hari termasuk mengunjungi bazar yang menyediakan aktiviti menarik seperti bengkel kecantikan, kendera saji, belon udara panas, memanjat dinding batu dan taman permainan binaan angin mudah alih.

Kemuncak acara yang ditunggu iaitu Move Your Body Zumba menggamatkan suasana apabila ribuan peserta bersorak gembira kala memulakan senaman dengan langkah bertenaga yang diketuai jurulatih profesional zumba negara.

Menurut Pengarah Urusan Watsons Malaysia Caryn Loh, tahun kelima penganjuran Move Your Body Zumba ini menandakan komitmen pihaknya untuk menggalakkan gaya hidup sihat rakyat Malaysia melalui latihan kecergasan yang mudah dan menyeronokkan.

Selain itu katanya, penganjuran acara sempena kempen Watsons #GETACTIVE itu juga adalah pengiktirafan besar buat Watsons berikutan permintaan dan penantian orang ramai untuk menyertai perhimpunan kecergasan terbesar syarikat itu setiap tahun.

“Program yang bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat ini terbuka kepada sesiapa saja termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Aktiviti yang boleh dijadikan sebagai riadah ini pastinya menjadi pengalaman menarik buat peserta.

“Selain menawarkan keseronokan aktiviti kecergasan untuk keluarga, kami ingin menekankan kepentingan pendidikan dan mengamalkan gaya hidup sihat kepada generasi muda khususnya,” katanya.


PESERTA bersemangat mengikut gerak langkah instruktor zumba.

Program bermula 6 pagi hingga 11 malam itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya penyediaan sajian sihat, tutorial mekap, dandanan rambut oleh pakar rambut serta aktiviti kecergasan.

Ia juga diadakan bagi mempromosikan Watsons sebagai tempat beli-belah produk kesihatan dan kecantikan yang ideal.

Sementara itu, seorang peserta zumba, Nur Izzati Afiqah Hamdan, 23, berkata, program itu menarik minatnya kerana selain dapat bersenam dengan cara yang lebih menghiburkan, dia boleh menambah kenalan baru yang berkongsi minat sama.

“Tambahan pula, dengan kehidupan di ibu kota yang sibuk, penyertaan dalam program ini dapat membantu mengurangkan tekanan di samping meningkatkan kecergasan saya.

“Saya sendiri mengikuti latihan kecergasan zumba di kampung kerana menyedari pentingnya mengekalkan kesihatan melalui aktiviti ini.

“Memang pada usia muda inilah kita patut memulakan gaya hidup sihat untuk mengelak penyakit berbahaya apabila menginjak usia,” katanya.

Nur Izzati yang kini menjalani latihan praktikal di ibu kota berpendapat, program kecergasan seumpama ini sepatutnya diperbanyakkan bagi menarik minat semua golongan untuk menjalani kehidupan yang sejahtera.

Bagi peserta, Nur Syafirah Harun pula dia begitu teruja menyertai program tarian kecergasan berskala besar pertama kali disertainya.

Ditambah minatnya dalam zumba, program itu amat sesuai bagi generasi muda sepertinya berbanding mengunjungi kelab malam yang pastinya membawa banyak unsur negatif seperti penyalahgunaan dadah dan arak.

Selain itu, katanya, pembabitan pelbagai kaum juga dapat memupuk perpaduan kerana semua peserta dalam program itu tanpa mengira bangsa dapat bergaul dan bermesra.

“Pertama kali sertai program ini, saya dapat lihat sambutan luar biasa oleh peserta sekali gus menunjukkan semakin ramai yang mengambil berat mengenai kesihatan mereka. Oleh itu, saya berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan secara berkala di serata tempat,” katanya.


PESERTA bersemangat mengikut gerak langkah instruktor zumba.

Manfaat zumba

Bagi yang tidak pernah menyertai zumba, mungkin tertanya mengapa ia begitu popular di seluruh dunia. Jawapan yang paling mudah ialah ia senaman beramai-ramai dengan rentak rancak yang menyeronokkan.

Namun dalam berseronok ia menawarkan pelbagai manfaat antaranya:

Membakar kalori dengan cepat

Ini dapat dilakukan melalui gerakan aerobik yang berselang seli antara perlahan dan rancak. Secara purata seseorang boleh membakar antara 600 hingga 1,000 kalori dalam satu jam.

Memperbaiki koordinasi

Ketika menari zumba, tangan dan kaki bergerak dalam arah berbeza dan ini memerlukan koordinasi. Pada mulanya mungkin payah tetapi selepas beberapa sesi, koordinasi akan bertambah baik dan anda akan berasa selesa menggerakkan badan.

Senaman seluruh badan

Zumba merangkumi senaman dan tarian yang memberi kesan kepada keseluruhan badan, dari kepala hinggalah ke kaki.

Manfaat aerobik

Zumba akan membuatkan jantung anda berdegup pantas dengan lebih mudah tanpa disedari kerana biasanya anda akan mengikuti gerakan lagu yang rancak. Ini baik untuk kesihatan jantung, meningkatkan stamina dan ketahanan.

Manfaat anaerobik

Manfaat senaman akan berlarutan walaupun selepas anda habis bersenam. Ia juga bermanfaat untuk membantu mengekalkan sistem kardiovaskular yang baik.

Terbuka kepada semua

Sesiapa saja, tidak kira usia, boleh mengikuti senaman zumba, walaupun anda tidak pandai menari! Jika anda tidak boleh bergerak rancak dan pantas seperti guru zumba, anda boleh ikut rentak sendiri, yang penting anda gerakkan badan untuk bersenam!

Membantu anda menghilangkan stres

Alihkan perhatian kepada langkah tarian yang ditunjukkan. Bersenam beramai-ramai akan membuatkan kita berasa seronok dan saling ketawa apabila sama-sama menunjukkan kebolehan yang terpendam!

Membuatkan anda gembira

Mungkin anda tidak sedar, sebenarnya setiap kali selepas bersenam, kita akan berasa lebih tenang dan gembira. Ini kerana ketika bersenam, badan akan mengeluarkan hormon endorfin yang merangsang perasaan positif ke seluruh badan.

Justeru, carilah masa untuk bersenam walaupun sekadar berjalan pantas. Jadikan senaman sebagai ‘ubat’ harian untuk anda berasa lebih positif dan gembira yang tentunya membuat anda tampak awet muda!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 2:24 PM