LAKUKAN perbincangan dengan pakar.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Jika 15 atau 20 tahun lalu, ramai pasangan malu tampil membincangkan isu kesuburan terutama lelaki tapi situasi itu kian berubah dengan kemajuan teknologi perubatan kini.

Beberapa kaedah rawatan moden berjaya memberi harapan baru dan membantu ramai pasangan dalam usaha mendapatkan zuriat.

Umum mengetahui antara rawatan kesuburan yang boleh dilakukan adalah suntikan hormon, kaedah IUI melalui semaian benih di dalam rahim dan IVF melalui persenyawaan di luar rahim yang memberi harapan baharu kepada pasangan untuk hamil.

Berkongsi pandangan mengenai isu kesuburan yang dilihat berpunca daripada gaya hidup yang semakin tidak sihat, Perunding Fertiliti dan Sakit Puan Dr M Prakash berkata, kecenderungan masyarakat memilih makanan segera antara faktor yang perlu diberi perhatian.

“Pengambilan makanan segera ditambah dengan kurang bersenam secara tidak langsung mengganggu masalah kesuburan individu tidak kira kepada lelaki mahupun wanita.

“Melalui pemerhatian saya, kadar pasangan yang datang bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat semakin meningkat. Dari satu segi, saya gembira kerana ramai pasangan yang tidak lagi malu namun daripada sudut lain, ini menunjukkan semakin ramai pasangan yang mengalami masalah kesuburan,” katanya.

Menurutnya, banyak kes dikesan pasangan yang mendirikan rumah tangga terpaksa mengambil masa lebih dua tahun sebelum berjaya menimang cahaya mata.

“Situasi itu ternyata berbeza dengan waktu dulu yang kebiasaannya kita dengar pasangan yang mendirikan rumah tangga disahkan hamil dalam tempoh tiga bulan atau kurang setahun selepas berkahwin.

“Mungkin ramai yang menganggap ini soal rezeki dan saya juga bersetuju, namun banyak kes juga yang berjaya mengesan pasangan lambat hamil disebabkan mengalami masalah kesuburan,” ujarnya.

Dr Prakash berkata, lebih membimbangkan apabila hampir kebanyakan pasangan yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan berusia 30 tahun ke bawah.

“Kebanyakan pasangan yang datang sudah berkahwin lebih dua atau tiga tahun dan tidak berjaya hamil dengan sendiri.

“Sebelum memulakan rawatan, saya dan pakar lain akan mengkaji masalah dialami pasangan dan melakukan pemeriksaan rahim. Hampir semuanya memberi jawapan sama iaitu terlalu sibuk yang menjadi penyebab kurang masa untuk bersama,” katanya.

Menurutnya, ramai juga yang mengakui terpaksa mengambil makanan segera dek kesibukan harian yang turut mengganggu masalah kesuburan.

“Semua ini dianggap remeh namun ia adalah antara penyebab utama mengapa ramai masyarakat negara ini yang mengalami masalah kesuburan.

“Sekiranya pemeriksaan kesihatan dilakukan mendapati tiada masalah pada pasangan, saya akan memberikan khidmat nasihat dan menyarankan mereka mengubah gaya hidup terlebih dulu dalam usaha mendapatkan zuriat,” ujarnya.

Katanyanya, bukan saja wanita, lelaki juga perlu memberi kerjasama di mana golongan itu dimestikan untuk berhenti merokok sekiranya terdiri daripada individu perokok.

“Amalkan gaya hidup sihat dan rajinlah bersenam bagi mendapatkan tahap kesihatan terbaik. Saya berasa amat teruja apabila ramai pasangan yang berjaya hamil dengan sendiri selepas mengubah gaya hidup mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Prakash juga menyarankan setiap pasangan yang sukar hamil untuk menjaga berat badan.

“Peningkatan penyakit kronik dalam kalangan golongan muda seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti antara penyebab menurunnya kesuburan.

“Apabila keadaan itu berlaku, organ tidak dapat bekerja secara optimum menyebabkan penghasilan telur yang sihat terbatas begitu juga dengan sperma lelaki.

“Indeks jisim badan harus normal dengan ukuran perut wanita mesti kurang daripada 90 sentimeter. Apabila perut banyak mengumpul lemak ia akan menyebabkan hormon estrogen dan progesteron tidak seimbang yang menyukarkan ovulasi ovari berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 2:15 PM