ANTARA rekaan dan corak menarik menjadi pilihan ibu bapa untuk si comel.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Persepsi generasi muda mengenai persalinan bercirikan batik kini sudah berbeza. Kebanyakan mereka menggunakan tekstil kebanggaan negara itu untuk dijadikan kemeja kasual mengikut gaya tertentu bagi menyerlahkan penampilan.

Ada yang menggayakan kemeja kasual dalam pelbagai acara seperti majlis makan malam, majlis kahwin, bersantai dan ke pejabat. Tidak kurang juga yang mewarnai fesyen tanah air dengan rekaan bermotif batik.

Kini, rekaan batik bukan saja khusus buat golongan dewasa, malah si manja tidak terkecuali menyemarakkan pesona tekstil klasik itu.

Ditubuhkan pada 2016, jenama Yusuf Hasnan menampilkan koleksi busana kanak-kanak yang unik, Bateek Kids dengan lebih 100 corak batik yang jarang ada di pasaran.

Menurut pengasasnya, Ahmad Amir Husni Othman Azumi dan Nur Ramizah Ahmad Sukri, penggunaan fabrik yang selesa adalah ciri utama dalam penghasilan baju kanak-kanak rekaan butik itu.

Oleh itu, fabrik kapas menjadi pilihan utamanya kerana sifatnya yang tidak panas, menyerap peluh, selesa dan sesuai dipakai ke mana saja. Malah ia juga mudah dijaga menjadikannya sangat praktikal digayakan kanak-kanak.


TREND batik kini kembali menjengah pasaran.

“Kebanyakan rekaan dan material yang dikeluarkan untuk koleksi kanak-kanak lebih kurang sama di pasaran, cuma bezanya kami menyediakan ibu bapa dengan lebih pilihan setanding kualiti jenama di butik tapi dengan harga berpatutan.

“Terdapat lebih 30 warna dan corak batik eksklusif dengan ratusan corak moden dan klasik untuk dipilih ibu bapa untuk si manja,” katanya.

Menurutnya, selain pakaian khusus untuk kanak-kanak, butik itu turut mengeluarkan beberapa produk berasaskan batik antaranya Bateek Dress, Puteri Bateek Kids, koleksi sedondon bapa dan anak serta kain pasang sedondon.

Semua produk yang dikeluarkan menggunakan fabrik kapas premium yang selesa, sejuk, senang digosok, senang dicuci dan cepat kering sesuai dengan sifat semula jadi si manja yang aktif.

Katanya, produk di butik itu mula dikeluarkan bermula dari 2017 namun, koleksi Bateek Kids menjadi fenomena sejak awal tahun ini selepas trend pemakaian batik kembali di Malaysia dan permintaan semakin meningkat.


SELESA dan sejuk sesuai untuk kanak-kanak aktif.

Dengan harga berpatutan iaitu hanya RM39 sehelai bagi koleksi Bateek Kids, koleksi lain juga boleh didapati pada harga antara RM39 hingga RM89.

“Disebabkan permintaan yang semakin meningkat di pasaran tempatan, kami kini merancang mengeluarkan lebih banyak produk baru malah dalam usaha menempatkan jenama ini setanding jenama fesyen kanak-kanak di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 1:58 PM