ALI.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Jika pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk makan gaji di restoran makanan segera atau pasar raya, dia pula selesa menjual nasi lemak untuk menambah pendapatan.

Entah mengapa berniaga mendatangkan kepuasan buatnya walaupun ketika itu dia tahu pendapatan diperoleh dengan menjaja nasi lemak tidak sebanyak mana.

Setiap titik peluh dikorbankan nyata berbaloi kerana dia bukan saja memperoleh ilmu berguna, tapi mengajarnya menjadi insan yang kuat ketika menempuh dugaan dalam perniagaan bermula dari bawah sejak 14 tahun lalu.

Kini, Ali Ikhwan Nordin, 32, mengakui dia tidak pernah menyesali keputusannya memilih bidang perniagaan sebagai punca pendapatan bahkan dia turut berbangga apabila dapat membantu membuka peluang pekerjaan buat ramai kakitangannya.

Menurutnya, selepas ditawarkan ke institusi pengajian tinggi, dia meneruskan minatnya berniaga dengan menjual sandwic di kampus universiti.

Di tengah kesibukan sebagai pelajar universiti, Ali tetap mencari peluang mendapatkan duit poket sendiri. Ibarat orang mengantuk disorong bantal, peluang berniaga di gerai mahasiswa yang disediakan di kampus tidak dilepaskan begitu saja.

Jika pelajar lain terpaksa mengharap duit pinjaman pendidikan mahupun bantuan keluarga untuk menyara diri di universiti, Ali pula lega kerana keuntungan menjual sandwic sedikit sebanyak dapat menampung keperluannya ketika itu.


KEUNIKAN aiskrim yang dihasilkan sendiri mengikut kehendak pelanggan.

“Tamat pengajian, sementara menunggu kerja tetap saya hanya ada RM50 duit yang tinggal. Ketika itu teringat kenapa tidak saya gunakan kemahiran membina laman web sebagai pendapatan.

“Awalnya saya sebarkan khidmat membina laman web menerusi pangkalan data e-mel dan mendapat upah RM300 daripada seorang pelanggan. Kemudian, pelanggan makin bertambah hingga saya membuka syarikat menyediakan khidmat rekaan grafik dan laman web,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) ini terus aktif mengendalikan perniagaan terutama dalam bidang pemasaran dalam talian, e-dagang, konsultansi model perniagaan, produksi pakaian, jenama butik dan memiliki perniagaan makanan serta minuman.

Dia turut mempelbagaikan cabang perniagaannya apabila membuka kafe Rolls Ice Cream yang kini semakin popular kerana keunikan aiskrim yang dihasilkan di hadapan pelanggan dengan mencampurkan buah-buahan segar mengikut rasa pilihan pelanggan.

Katanya, konsep kafe seperti itu mungkin agak jarang di negara ini dan peluang itu digunakan sepenuhnya untuk memperkenalkan perniagaan unik seperti itu.


AISKRIM yang mengeras digulung dan dihias dengan ‘topping’ pilihan pelanggan.

Pada masa sama, dia turut memasarkan produk pakaian melalui portal ejen dropship dalam talian yang dibangunkannya dengan menggabungkan 13 jenama terkenal dan selebriti tempatan iaitu BusanaDropship.com yang kini mempunyai 18,000 ejen dropship memasarkan produk disediakan.

Dalam industri peruncitan, bendahari Dewan Usahawan Industri Desa Cawangan Kuala Lumpur itu menguruskan Butik Wardia yang memasarkan produk pakaian daripada pelbagai jenama termasuk jenama selebriti dan Butik LaLuna yang memfokuskan pada jualan aksesori fesyen seperti rantai, subang, gelang dan cincin.

“Saya percaya, untuk berjaya bukan proses yang mudah malah memerlukan pengorbanan besar sehingga kita mencapai matlamat dalam hidup. Selain itu, jangan takut mencuba kerana kita tidak tahu kebolehan diri selagi tidak mengharunginya sendiri.

“Ada orang bertanya kepada saya, tidak takutkah berdepan risiko kerugian atau gagal dalam perniagaan? Bagi saya, jatuh bangun adalah lumrah dalam perniagaan, tipulah jika saya tidak pernah alami kerugian.

“Tapi saya yakin, Allah sebaik-baik perancang. Kita usaha tanpa jemu dan letakkan sepenuh pengharapan kepada-Nya. Dugaan dalam perniagaan sebenarnya adalah pengalaman berharga untuk kita muhasabah diri dan membetulkan kesilapan selama ini,” katanya.


KAKITANGAN menyediakan ayam pedas Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 9:24 PM