Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Menganjurkan sesuatu majlis sudah tentu memerlukan perancangan rapi daripada memilih katering yang memuaskan hati, dekorasi majlis hingga cenderahati untuk tetamu.

Bagi yang mempunyai bajet besar, persiapan majlis biasanya diserahkan sepenuhnya pada mana-mana perancang majlis untuk disempurnakan dari awal hingga akhir.

Sebaliknya bagi yang mahu berjimat, banyak cara boleh dilakukan untuk merancang majlis dengan bajet terhad, antaranya bergotong-royong menyiapkan juadah hidangan, menghasilkan dekorasi dengan bahan terpakai mahupun membuat cenderahati sendiri.

Oleh itu, kemahiran menghasilkan pembalut hadiah mungkin nampak remeh tetapi ia tentu ada kelebihannya kerana kita tidak perlu bergantung kepada kotak atau pembalut yang dijual di kedai selain boleh dibuat mengikut saiz dikehendaki.

Ia boleh dihasilkan dengan mudah daripada kertas, kad manila atau sebarang jenis kertas termasuk surat khabar tanpa mengeluarkan belanja besar.

Jika hendak memberikannya sebagai hadiah atau cenderahati majlis, ia boleh membuatkan pemberian kelihatan lebih istimewa apabila dibungkus cantik dengan dekorasi tersendiri dan unik.

Sesiapa saja boleh menghasilkan pembalut hadiah sendiri dengan bajet jauh lebih rendah tetapi pada masa sama, tetap menarik.

Manfaatkan barangan yang boleh didapati di sekeliling. Kita tidak perlu berkunjung ke kedai, sebaliknya menggunakan kreativiti masing-masing.

Berikut langkah demi langkah pembuatan pembalut hadiah yang ringkas dengan peralatan mudah. Ia boleh dihasilkan dalam tempoh kurang 10 minit.

Menggunakan teknik lipatan mudah, saiz pembalut boleh diubah mengikut cita rasa masing-masing dengan menggunakan beberapa peralatan tanpa kos yang tinggi.

Bahan diperlukan

• Kertas pembalut hadiah atau surat khabar

• Gunting

• Pita pelekat

• Riben untuk menghias

• Pengokot (untuk mencantum penutup pembalut)


BAHAN-bahan.

Langkah


1. BAHAGIAN dalam kertas dibentangkan dan dilipat sama besar di kedua-dua bahagian sebagai penanda.

2. LIPAT bahagian kiri dan kanan ke bahagian tengah yang ditanda tadi. Pastikan satu bahagian menindih bahagian satu lagi.

3. KEMUDIAN tampal pita pelekat di sepanjang lipatan.

4. LIPATKAN sedikit bahagian bawah pembalut .

5. LIPAT sehingga menjadi seperti dalam gambar.

6. AMBIL hujung lipatan kedua-dua bahagian dengan salah satunya menindih bahagian satu lagi.

7. TAMPAL pita pelekat di atasnya.

8. ISIKAN barangan di dalamnya, lipat hujung pembalut dan cantum dengan pengokot. Hiaskan dengan reben sama ada membalut keseluruhan bungkusan atau dilekat di hujung bungkusan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 8:04 AM