BERSAMA rombongan pelancong di bawah kendaliannya.
Noriza Sainal
am@hmetro.com.my


SEBUT mengenai Korea Selatan, pastinya ramai yang akan terbayang keindahan pemandangan di negara itu seperti Pulau Jeju dan Pulau Nami serta dunia K-Pop yang semakin menular dalam kalangan masyarakat Asia.

Nur Farhana Hashim, 24, pelajar tahun akhir di sebuah universiti awam Korea Selatan menjadikan tarikan itu sebagai sumber pendapatan menampung kos pembelajarannya di sana.

Pelajar jurusan kejuruteraan komputer dan elektrik itu mendapat idea menjadi pemandu arah kerana sambutan menggalakkan daripada warga Malaysia yang melancong ke negara sinonim dengan musim dingin.

Bukan itu saja, dia yang mesra disapa dengan panggilan Hana ini lebih memilih menjadi pemandu pelancong di samping menyambung pelajaran di bumi K-Pop disebabkan kesukaran memohon pekerjaan sambilan lain seperti guru tuisyen yang memerlukan urusan visa.

“Keperluan menjadi pekerja sambilan saja sudah leceh, terutama bagi pelajar seperti saya yang menggunakan visa pelajar dan beberapa kriteria lain diperlukan berbanding menjadi pemandu arah di sini.


KERJAYA pemandu pelancong memberi peluang kepada Farhana bekerja sambil berhibur.

“Walaupun kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi Korea pada 2009, yang pada ketika itu saya sekadar tinggal sementara bersama keluarga yang menetap di sini, tetapi tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi pemandu pelancong. Saya hanya memulakan kerjaya ini secara sambilan pada 2016 dan pada 2017 ia menjadi antara keutamaan selain pengajian,” katanya.

Bermula dengan menjual album artis Korea untuk kenalan di tanah air, gadis berasal dari Terengganu ini menguruskan rombongan kenalan dekat sebagai permulaan menjadi pemandu arah.

Sejak itu, perkhidmatannya mendapat sambutan sehinggakan beroleh kepercayaan untuk menguruskan rombongan pelancong bukan saja dari Malaysia tetapi negara lain seperti Singapura, Indonesia, Oman dan Amerika Syarikat.

Tidak hanya terhad kepada tempat menarik di Korea Selatan, gadis berlatar belakang keluarga peniaga ini turut menjadi pemandu buat peminat muzik K-Pop menerusi majlis bertemu peminat serta konsert hiburan yang dianjurkan di sana.


FARHANA (depan) bersama pelancong di dalam kenderaan awam Korea.

Bercerita lanjut, Farhana berkata, banyak pengalaman yang diperoleh sepanjang menjadi pemandu arah di negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara mereka dan mengakui pengalaman paling menarik buat dirinya adalah apabila mendapat permintaan pelanggan untuk pergi ke konsert hiburan.

“Pengalaman bertuah buat saya apabila berpeluang bekerja sambil berhibur di konsert diadakan di sini apabila saya juga boleh menemui selebriti Korea Selatan yang sukar untuk saya jika bersendirian.

“Sebenarnya menjadi pemandu arah memberi peluang untuk ‘melancong’ sekali bersama pelanggan di tempat yang tidak puas saya kunjungi sebelum ini.

“Pekerjaan ini tidak hanya memberi kepuasan tetapi pulangan berbaloi hingga saya dapat menampung perbelanjaan pengajian secara keseluruhannya.

“Dalam sebulan saya boleh mendapat lebih RM1,200 hasil membantu pelancong yang datang melancong ke sini,” kata gadis yang turut meminati muzik K-Pop.

Mempunyai kemahiran berbahasa Korea memudahkan urusan pengajian dan kerjanya di sana, namun dia tidak terlepas daripada cabaran berada di negara orang, antaranya berdepan pelanggan yang mempunyai permintaan lebih daripada bayaran dikenakan serta tidak mengikut seperti yang dijanjikan.

Demi mengelak kerugian besar, dia yang turut dibantu empat rakannya itu hanya akan menempah tempat penginapan selepas menerima separuh daripada bayaran pelanggan.

Walaupun tuntutan pengajian kadangkala membataskan kerjayanya ini, Farhana bijak mengurus masa dengan cara bergilir-gilir mengikut kelapangan masa yang ada di antara empat orang rakannya itu untuk menjadi pemandu arah.

Dia yang berhasrat memiliki agensi pelancongan mempunyai minat mendalam terhadap penterjemahan bahasa direalisasikan dengan menjadi pemandu arah dan bahasa ibunda negara itu perlu dikuasai sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 6:00 AM