KOLEKSI terbaru tudung Cloverush. FOTO/NSTP
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

BEKERJA sebagai jurutera projek di sebuah syarikat minyak dan gas di Kuantan, Pahang menyebabkan Afidatul Na’ima Abd Hamid sentiasa mencari tudung yang selesa memandangkan setiap hari dia perlu melawat tapak projek yang kebanyakannya berada di kawasan pelabuhan.

Dalam keadaan cuaca panas terik sudah pasti hanya tudung sarung yang sesuai digayakan kerana mudah dan praktikal terutama apabila dipadankan dengan topi keselamatan.

“Malangnya sekitar 2009 tidak banyak tudung sarung memenuhi kriteria saya. Biasanya di pasaran adalah jenis bersengkuap keras dan sukar berbentuk pada bahagian muka. Jadi bagi menyelesaikan masalah ini saya mula menghasilkan rekaan sendiri dengan memenuhi ciri yang saya kehendaki. Bermula dari situ maka terhasillah tudung pertama Cloverush selepas empat tahun penyelidikan dan kajian dilakukan,” katanya memulakan bicara.

Wanita ini mula mengeluarkan tudung sarung pertama Lilybelle dengan sengkuap lembut menggunakan kapas spandex yang ditempah khas mengikut spesifikasi sendiri. Matlamat utama selain kegunaan harian tudung sarung ini menjanjikan keselesaan kepada wanita yang terpaksa bertudung melebihi lapan jam sehari.

“Perkara pertama yang ada dalam fikiran ketika menghasilkan rekaan Cloverush adalah memastikan wanita mampu bersiap dalam masa tiga saat tetapi tampak kemas dan cantik. Tudung juga tidak perlu digosok dan apabila dipakai mampu menyembunyikan bahagian muka yang tembam atau berisi. Lebih penting bahagian sengkuap dapat mengikut bentuk wajah masing-masing,” katanya yang gembira kerana ciri yang diinginkan mampu direalisasikan.


KOLEKSI terbaru tudung Cloverush. FOTO/NSTP

Menjelaskan lebih lanjut, ujar Afidatul, sejak penubuhan jenama ini, lebih 50 jenis rekaan tudung berjaya dikeluarkan. Antaranya keluaran khas dan tetap yang menjadi pilihan sepanjang masa.

“Lilybelle produk paling laris dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna. Hadir dalam 40 pilihan warna menawan sama ada pastel atau terang. Begitu juga Lunaa Scarf menggabungkan material kapas tempahan khas untuk sengkuap dan heavy moss crepe pada ‘badannya’ yang berpotongan ‘kurus’, kini menjadi buruan ramai.

“Walaupun sudah mempunyai hala tuju dan koleksi kegemaran ramai, kami masih melakukan penyelidikan ke atas material dan potongan bagi memastikan ia sesuai dipakai semua wanita tanpa mengira bentuk dan saiz muka juga ukuran badan. Menerusi kajian ini kami dapat menentukan jenis tudung kesukaan ramai dan memenuhi keinginan mereka,” katanya.

Tudung sarung ini kini menjadi pilihan terutama wanita berkerjaya yang memerlukan mereka bergerak cepat dan pantas seperti doktor, jururawat serta golongan profesional selain guru dan suri rumah yang memiliki anak kecil. Ia juga menjadi kesukaan pengembara yang inginkan tudung berkonsep ringkas, selesa dan tidak perlu digosok.

Mengadakan kolaborasi dengan Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, ia tercetus selepas melihat Shahida sering mengenakan tudung sarung dalam pelbagai aktiviti hariannya.

“Selepas kami memperkenalkan koleksi tudung sarung ini kepadanya, dia begitu menyukainya terutama koleksi terbaru siri Scarlett. Daripada situ tercetus idea kolaborasi bersama jenama Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memandangkan Shahida sendiri menggemari kualiti dan reka bentuk tudung jenama ini,” jelasnya.

Tudung Cloverush bermula pada harga serendah RM25 hingga RM79 merangkumi pasaran kanak-kanak berumur dua tahun dan ke atas. Ia boleh didapati menerusi dalam talian dan juga penjualan di butik yang terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.


REKAAN polos sentiasa mendapat permintaan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 5:30 AM
Skip this ad x