Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Siapa kata wanita bertubuh besar atau montel tidak mampu bergaya? Jika kena dengan pemilihan pakaian dan keyakinan diri golongan ini pasti menunjukkan penampilan menawan sama seperti wanita lain.

Malah masyarakat juga sudah semakin menerima bentuk tubuh berisi dan hakikat kecantikan dalaman lebih penting berbanding imej luaran. Ini diakui model selebriti bertubuh besar Ashley Graham, yang mengatakan setiap orang perlu mencintai diri sendiri kerana di situlah letaknya rasa syukur atas apa yang mereka nikmati.

Bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan menghargai diri sendiri Jazz & Co baru-baru ini mengadakan pertunjukan fesyen eksklusif yang menampilkan koleksi pakaian wanita berukuran besar untuk tiga segmen berbeza iaitu kasual, pakaian pejabat dan makan malam.

Diacarakan penyampai radio selebriti dan naib juara Malaysian Idol 2004, Dina Nadzir pertunjukan fesyen ini adalah inisiatif Jazz & Co untuk menonjolkan trend fesyen dalam industri saiz besar sekali gus memperkasakan mesej kecintaan dan penerimaan diri. Busana ini direka dengan penuh gaya bagi memenuhi keperluan lelaki dan wanita.

Pada segmen pertama memperkenalkan 24 helaian kasual digayakan model profesional ini diikuti himpunan kedua-dua pakaian ke pejabat dan busana malam yang tampil dengan rekaan unik, sempurna sehingga mencuri tumpuan tetamu.


TAMPIL anggun blaus bercorak dipadankan seluar.

Menariknya setiap busana dihasilkan menggunakan fabrik berkualiti Eropah antaranya kapas, sifon, satin dan krep yang diperincikan renda, butang sama ada di atas fabrik polos atau bercorak.

Menurut Pengarahnya Jasdeep Katari, pelanggan utama jenama ini terdiri daripada golongan muda yang ingin kelihatan unggul seperti orang lain. Oleh sebab itu, koleksi busana kasual dan pejabat adalah di antara yang terlaris di pasaran.

Selain pilihan yang pelbagai, pembeli juga tidak perlu risau untuk mencari ukuran sesuai tubuh mereka. Jenama ini mengikuti panduan carta saiz yang tepat untuk setiap keluaran bagi memastikan ukurannya seragam.


UNTUK ke pejabat perlu ringkas. Pastinya dengan blaus dan slack hitam agar tidak ketara kemontelannya.

“Oleh itu, meskipun tanpa dicuba secara fizikal, pembeli dalam talian tidak perlu risau kerana setiap pesanan akan muat dengan sempurna apabila ia tiba ke tangan mereka. Walaupun kejadian pemulangan jarang berlaku, laman dalam talian kami tetap menawarkan dasar pertukaran item yang fleksibel,” katanya.

Bagi memastikan kualiti produk dan ketahanan mematuhi piawaian ditetapkan. Semua busana menjalani proses kelulusan yang ketat, membolehkan pembeli merasa terjamin dengan apa yang dimiliki mereka.

“Suatu ketika dulu saya tidak dapat mencari pakaian bersaiz besar yang benar-benar saya ingini. Hal ini menyedarkan saya akan kekurangan pilihan pakaian bersaiz besar dalam pasaran. Jika ada stailnya biasa-biasa saja,” jelas Jasdeep.


KARDIGAN pelengkap gaya sesuai keluar bersama rakan.

Sebagai jenama yang menyasarkan untuk pelanggan remaja sehingga dewasa, jenama itu tampil dengan koleksi ringkas namun bersemangat dan ceria. Ini bertentangan dengan persepsi umum bahawa pakaian bersaiz besar adalah bersifat hambar dan serius.

Pada masa yang akan datang, pelanggan akan dapat mengikuti lebih banyak kempen dan promosi menarik di portal dalam talian. Ia adalah sebagai inisiatif untuk mengembangkan lagi koleksi dan pasarannya.

“Fokus utama kami pada masa ini adalah untuk meningkatkan jualan menjangkaui peringkat antarabangsa. Kami sedang berusaha untuk merealisasikan impian ini,” katanya.


BLAUS dipadankan skirt untuk menghadiri makan malam.

Tip pemilihan baju untuk si comel

1. Elak memilih fabrik jenis melekat dan meregang seperti lycra kerana akan menampakkan bahagian badan yang seharusnya dilindungi.

2. Fabrik terbaik seperti kapas dan kapas kanvas kerana menampakkan anda lebih langsing.

3. Elakkan memilih pakaian terlalu longgar kerana akan menampakkan anda lebih besar sebaliknya pilih pakaian mengikut saiz badan sendiri.

4. Bagi wanita tidak bertudung pilih jenis kolar berbentuk V agar menampakkan leher lebih jinjang.

5. Pilih jenis skirt berpotongan A kerana ia dapat menyembunyikan bahagian paha menampakkan kerampingan pada bahagian pinggang.

6. Untuk seluar pula elakkan jenis terlalu ketat sebaiknya pilih jenis kaki besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 2:00 PM