DR EZANI meluangkan masa bersama suami Muhammad Azrai Abu (kanan) dan Maryam Azalea yang kini berusia tiga tahun. FOTO /Nurul Syazana Rose Razman
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

NAMANYA dikenali sebaik saja menjulang Juara MasterChef Malaysia musim pertama pada 2012. Dr Ezani Farhana Md Monoto, atau mesra disapa Dr Ezani sering dijadikan rujukan dan inspirasi ketika itu disebabkan bakat memasak dan juga pendidikan yang dimilikinya.

Kini walaupun lebih enam tahun berlalu dan bergelar Pegawai Pergigian di Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), dia masih dikenali sebagai cef.

“Walaupun program ini sudah lama, ada pesakit masih mengenali saya. Ada yang mendekati dan mengambil gambar tetapi ada juga yang malu bertegur sapa,” katanya yang ditemui di UPM baru-baru ini.

Masih meneruskan minat dalam bidang kulinari walaupun dihambat kesibukan sebagai doktor gigi, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini tidak pernah meninggalkan kerjaya kedua sebagai tukang masak yang menjadi kecintaannya sejak kecil. Sebab itu dia sangat bersyukur kerana rezekinya dalam dunia masakan tidak pernah putus.

“Saya sering diminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan demonstrasi memasak makanan sihat di beberapa hospital kerajaan, dipanggil untuk program masakan di televisyen dan majlis pelancaran produk,” katanya.

Disebabkan rasa rindu yang mendalam dan tidak mahu bakat yang ada berkubur begitu saja dia dan keluarga sebelah suami turut membuka restoran di Temiang, Negeri Sembilan berkonsepkan masakan kampung.

“Restoran berasaskan perniagaan keluarga ini dibantu oleh semua adik-beradik suami. Namun saya diberi tanggungjawab menjaga bahagian pastri dan menghasilkan biskut sendiri,” katanya yang pulang ke Temiang pada hujung minggu.

Dr Ezani memulakan kerjaya doktor gigi pada 2013, sebaik menamatkan pengajian dalam jurusan pergigian di Universiti Adelaide, Australia itu pun selepas dia meminta penangguhan selama setahun kerana ingin memberi tumpuan dalam program MasterChef.

“Mulanya saya terbaca iklan di Facebook namun atas desakan rakan yang tahu saya boleh memasak, saya menyertainya. Tidak sangka saya terpilih sehingga ke peringkat akhir dan diumumkan juara,” katanya mengimbas kenangan lalu.

Sebaik saja program ini tamat Dr Ezani terus ditawarkan bertugas di UPM sehingga sekarang. Sejak kecil dia memang bercita-cita menjadi doktor gigi. Latar belakang keluarga yang menekankan aspek pendidikan ditambah kejayaan kakak sebagai doktor perubatan memberi inspirasi kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai impiannya.

“Dulu saya selalu mengikut kakak ke klinik gigi kerana dia memakai pendakap gigi. Jadi saya mula jatuh cinta pada kerjaya ini apabila melihat kesungguhan doktor merawat gigi pesakit. Kerjaya ini juga sesuai untuk wanita kerana mengikut waktu pejabat, tidak seperti doktor perubatan yang memerlukan pengorbanan masa dan kental jiwanya,” ujarnya yang menetap bersama keluarga di Kajang, Selangor.

Ditanya cabaran bertugas sebagai pakar pergigian, ujar anak bongsu daripada dua beradik ini, apa juga yang dilakukan ada susah dan senangnya. Dalam bidang pergigian pula ia bukanlah cabaran besar kerana semuanya menjadi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Kebanyakan pesakit saya kakitangan dan pelajar UPM. Ada yang datang mendapatkan rawatan kemudian tidak menghabiskannya. Ada juga yang sakit baru bertemu doktor. Kesedaran mengenai kepentingan menjaga gigi masih kurang.

“Sebenarnya penjagaan gigi bermula dari rumah. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan terbaik. Mulakan memberus gigi sejak anak masih bayi. Biasakan anak memberus gigi sejak gigi pertama tumbuh. Kemudian apabila usia setahun bawa mereka bertemu doktor gigi. Lama-kelamaan ia menjadi rutin,” katanya.

Mengagumi personaliti Prof Dr Muhaya Mohamad yang tidak jemu memberikan inspirasi kepada orang lain untuk memperbaiki kehidupan mereka, bagi Dr Ezani dia sentiasa mengambil semangat dan aura daripada figura kesayangan ramai itu. Banyak nilai positif diterapkan kepada masyarakat menerusi ceramah atau laman sosialnya.

“Selain memberi nilai kepada orang lain Dr Muhaya juga cemerlang sebagai pakar mata. Memang saya sangat terinspirasi dengan kejayaan Dr Muhaya. Kita perlu mencontohi kekuatan dan semangat yang ada dalam diri wanita hebat ini,” ujarnya.


MEMPUNYAI kepakaran sebagai doktor pergigian dan juga memasak.

MINAT MEMASAK

Dalam dunia masakan, Dr Ezani mengakui sampai ke hari ini dia tidak pernah mengikuti mana-mana kelas kulinari kerana ia datang secara semula jadi.

“Sejak di sekolah rendah saya sudah didedahkan dengan perkakasan dapur. Saya tertarik setiap kali melihat ibu membuat kuih. Mulanya sekadar menolong lama-kelamaan saya boleh menghasilkannya sendiri.

“Menu masakan pertama ialah crumble epal yang resipinya saya ambil daripada buku. Namun ibu turut membantu menyiapkannya,” jelas Dr Ezani mengimbau kenangan lalu.

Minat memasak ini diteruskan ketika menuntut di Australia. Berkawan dengan masyarakat Australia membuka lebih peluang untuk Dr Ezani mendalami bidang masakan.

“Mulanya saya hanya membeli buku masakan kemudian ke pasar untuk mendapatkan bahan mentah. Di sana makanan sangat mahal. Jadi saya lebih banyak meneroka jenis masakan tempatan dan luar berbanding membeli di kedai,” katanya.

Ibu kepada Maryam Azalea Muhammad Azrai, 3, ini sangat beruntung kerana dalam kesibukan menguruskan keluarga dan restoran dia mendapat sokongan suami sepenuhnya.

“Dari segi menguruskan kerjaya dan keluarga, saya bersyukur kerana ibu bapa dan keluarga mentua sangat memahami. Mereka memberi sokongan untuk saya meneruskan minat sebagai cef.

“Suami pula banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan dalam penjagaan anak memandangkan dia bertugas sebagai pakar sakit puan. Ini menjadikan urusan menjaga anak lebih mudah dengan pertolongannya,” katanya yang turut menjadi duta beberapa produk.


DR EZANI merawat gigi pesakit setiap hari.

INGIN BUKA KLINIK SENDIRI

Mengakui sangat sibuk dengan tugas seharian sebagai doktor dan menguruskan restoran pada hujung minggu, wanita ini merancang ingin serius dalam bidang masakan dan kemudian membuka klinik sendiri.

“Tidak dinafikan saya pernah terfikir untuk serius dalam bidang masakan. Namun jauh di sudut hati, saya juga sayangkan kerjaya sebagai doktor gigi. Mana mungkin saya mampu mensia-siakan usaha saya selama enam tahun menuntut dalam bidang ini untuk bergelar pakar pergigian.

“Akhirnya saya sedar sama ada tugas sebagai doktor gigi mahupun bidang masakan, kedua-duanya sama penting dalam hidup saya. Oleh itu, saya perlu kekalkannya dan mencari masa untuk kedua-duanya,” jelas Dr Ezani.

Menurutnya, kepuasan memasak bukan sekadar dapat merasai tetapi apabila dapat meningkatkan kemahiran daripada peringkat bawah sehingga mahir kesemuanya.

Pada waktu terluang Dr Ezani gemar menghabiskan masa bersama suami dan anaknya. Seperti ibu berkerjaya yang lain, hujung minggu adalah saat paling ditunggu-tunggu.

“Saya tinggal dengan keluarga. Jadi, hujung minggu adalah waktu bersama mereka. Jika tidak pulang melihat restoran kami akan bercuti bersama. Malah ketika inilah saya berpeluang menyediakan hidangan yang menjadi kegemaran keluarga,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 7:01 AM