PENGURUS Penjenamaan Kanan Nestle Products Sdn Bhd Ehsan Isa (dua dari kiri), Pengarah dan Pengasas BGA, Daniel Liew (dua dari kanan) bersama barista yang menjayakan Festival Kopi Genting di SkyAvenue Mall, Genting Highland FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

TIDAK sempurna hari pencinta kopi tanpa menikmati minuman berkenaan setiap hari malah menghidu aromanya saja sudah cukup untuk menambat selera.

Jadi, tidak hairanlah jika ada yang ketagih dengannya malah menjadikannya sebagai minuman pilihan untuk dinikmati terutama pada waktu pagi dan cuaca dingin.

Namun, tidak ramai tahu rahsia di sebalik keenakan kopi dan menyedari pentingnya informasi itu, Nestle bekerjasama dengan akademi kopi dan barista, Barista Guild Asia (BGA) dan Resort World Genting menganjurkan Festival Kopi Genting.

Acara julung kali itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mengambil bahagian sepanjang tiga hari festival bermula 19 Oktober lalu di SkyAvenue Mall, Genting Highland.

Pada majlis pelancarannya, Pengarah dan Pengasas BGA, Daniel Liew dan Duta Jenama Cafes Richard, Luc Jiguet diundang bagi mengendalikan sesi demonstrasi selain berkongsi informasi dan teknik pembuatan kopi kepada pengamal media yang hadir.


LUC menunjukkan demonstrasi pembuatan kopi kepada pengamal media yang hadir

Naib Presiden Kesetiaan dan Pengambilalihan Resort World Genting Clarence Tan berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menjadi tuan rumah bagi acara berkenaan malah gembira kerana menghimpunkan pencinta kopi di bawah satu bumbung.

Katanya, bagi mencapai objektif itu, pihaknya mengadakan bengkel percuma selain demonstrasi di bawah kendalian pakar bagi membolehkan pengunjung mempelajari teknik pembuatan kopi yang sebenar.


LUC menunjukkan demonstrasi pembuatan kopi kepada pengamal media yang hadir

“Festival ini membolehkan pengunjung mempelajari pelbagai teknik pembuatan dan seni kopi melalui beberapa sesi bengkel percuma iaitu Sensory Cupping, Seni Latte dan Seni Latte Babycino untuk kanak-kanak.

“Secara tidak langsung, mereka dapat melihat proses pembuatan dengan lebih dekat selain pengetahuan dan diharap ia memberi pengalaman berharga buat pengunjung yang hadir,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan Kanan Nestle Products Sdn Bhd Ehsan Isa berkata, festival berkenaan adalah platform untuk Nescafe menyokong industri pembuatan kopi di negara ini.

Katanya, acara itu juga diharap memberi galakan dan kesedaran kepada orang ramai untuk menghargai kopi dan seni pembuatannya.

“Penganjuran acara ini adalah peluang kami mendekatkan lagi pengunjung dengan kopi menerusi bengkel dan sesi demonstrasi yang diadakan.

“Di samping itu, penganjuran festival ini juga bukti sokongan kami terhadap industri pembuatan kopi yang semakin berkembang dan berpotensi untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:54 AM