KANAK-kanak tantrum normal dalam tempoh tumbesarannya.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kebanyakan ibu bapa pasti akan berdepan episod ‘ngeri’ anak tantrum baik di rumah mahupun di khalayak ramai. Ia satu pengalaman biasa untuk ibu bapa dan dalam kalangan kanak-kanak.

Tantrum adalah kemarahan tempoh singkat atau tingkah laku yang tidak munasabah seperti menangis, menjerit dan memaparkan perlakuan tidak menyenangkan seperti menendang dan memukul.

Walaupun keadaan ini meresahkan ibu bapa, tetapi ia antara perkara normal ketika kanak-kanak membesar. Ini adalah sebahagian daripada proses kanak-kanak belajar menjadi lebih bebas dan mengawal kehidupan mereka.

Biasanya perlakuan yang sering membuat ibu bapa geram ini tercetus kerana anak berasa kecewa apabila keperluannya tak dipenuhi dan tidak tahu cara untuk menyatakan perasaan mereka. Tantrum sering berlaku apabila kanak-kanak letih, lapar, berasa tidak diendahkan, cemas atau bimbang.

Untuk menangani tantrum, ibu bapa perlu menyesuaikan diri dengan emosi anak mereka dan melakukan yang terbaik untuk mengelakkan situasi boleh mencetuskan perlakuan berkenaan.

Perkara itu diakui Ketua Pakar Perunding Pediatrik Am dan Perkembangan Kanak-kanak Dr S Rajini pada sesi dialog sempena kempen Nestle, NANKID The Science of Mother, baru-baru ini.

Katanya, disebabkan tantrum adalah normal dalam perkembangan kanak-kanak ketika membesar, ibu bapa mempunyai anak yang tidak tantrum pula menjadi kebimbangannya.

“Ini kerana kanak-kanak akan ‘tunjuk perangai’ apabila mereka benar-benar mahukan sesuatu tapi mereka tiada ‘bahasa’ untuk menyampaikan apa yang dikehendaki.

“Perlakuan tantrum ini juga sebagai satu cara kanak-kanak menunjukkan kepada ibu bapa bahawa mereka ‘wujud’ dan sebenarnya mahu menarik perhatian ibu bapa untuk mendengar apa yang dimahukannya.

“Berdepan tantrum adalah perkara normal dalam membesarkan anak. Ketika kanak-kanak semakin membesar, mereka akan mula mengawal diri dan belajar menghadapi kekecewaan,” katanya.


DR S Rajini (tiga dari kiri) dan panel lain pada sesi dialog kempen keibubapaan.

Cara tangani

Bergantung kepada situasi, setiap ibu bapa sebenarnya mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi tantrum anak. Berikut adalah langkah asas berdepan keadaan itu.

• Kekal tenang

Anak yang menjerit dan berteriak mungkin membuatkan ibu bapa berasa marah, kecewa dan malu, apatah lagi jika ia dilakukan di depan orang lain. Bagaimanapun anda harus kekal tenang dan jangan kecewa atau marah. Ingatkan diri anda ini berlaku kepada ibu bapa lain juga. Dalam keadaan tenang, anda boleh membuat keputusan yang rasional bagaimana untuk mengendalikan tantrum si kecil.

• Jangan layan

Abaikan tantrum anak dan teruskan saja apa yang anda sedang lakukan. Bagaimanapun, dalam diam awasi pergerakan anak bagi memastikan keselamatannya. Memang kadangkala sukar untuk ibu bapa mengabaikannya, terutama apabila orang lain melihat kejadian itu, tetapi penting untuk anak belajar dia tidak akan mendapat perhatian anda dengan ‘menangis dan mengamuk’.

• Konsisten

Apabila menerapkan peraturan, cuba konsisten sepanjang masa. Anak anda mungkin melemparkan tantrum untuk mendapatkan sesuatu yang anda larang. Jangan berikan. Menjadi tegas dengan keputusan anda akan mengajarnya bahawa sempadan dan peraturan adalah penting. Pastikan semua penjaga yang terbabit memahami perkara ini dan kekal konsisten.

• Fokus pada tingkah laku yang baik

Apabila anak mula tenang, anda boleh memberi perhatian kepadanya semula. Beri pujian kepadanya untuk tingkah laku positif yang paling kecil dan menguatkannya dengan pelukan hangat. Melalui cara ini, anda sebenarnya memberi ganjaran kepadanya kerana berkelakuan baik. Dia mungkin akan kekal tenang dan terus berkelakuan baik. Sentiasa meyakinkannya bahawa anda menyayanginya dan perbuatan (tantrum) itu tidak boleh dibiarkan.

• Strategi lain

Mengalihkan anak dari tempat kejadian untuk mengelakkannya berulang. Ini berguna jika dia bertindak kerana dia mahukan sesuatu yang berdekatan. Anda juga boleh cuba memberi pelukan untuk membuatkan anak berasa selamat dan menunjukkan bahawa anda peduli. Anda boleh cuba ketawa atau tersenyum (bukannya marah) kerana ia menunjukkan bahawa anda yang mengawal keadaan dan tidak akan menyerah kepada permintaannya.

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan, Nestle Nutrition Malaysia & Singapura Kenny Wong berkata, kempen NANKID The Science of Mother itu dianjurkan bagi meraikan kasih sayang, pengabdian, perhatian dan dedikasi seorang ibu melalui sains dan nutrisi bagi memastikan permulaan yang terbaik bagi seorang anak.

Katanya, semangat itu memberi inspirasi kepada pihaknya supaya terus berinovasi dan membangunkan pelbagai penyelesaian nutrisi bagi menyokong keperluan kanak-kanak yang sedang membesar.

“Melalui kempen itu, kami memenuhi janji melalui komitmen sepanjang hayat untuk meneruskan inovasi ke arah kecemerlangan. Kami juga memahami bahawa perjalanan seorang ibu sesuatu yang unik, justeru kempen itu ingin mengiktiraf dan membantu ibu di atas dedikasi dan pengorbanan mereka bagi memastikan permulaan yang terbaik buat anak-anak,” katanya.

Bersempena dialog itu, Kenny bersama Pengarah Eksekutif Komunikasi dan Pemasaran Nestle Malaysia & Singapura, Eugene Chan turut merasmikan kempen itu seterusnya melancarkan wajah baru Nestle NANKID OPTIPRO.


KENNY (kanan) dan Eugene merasmikan pek baru susu NANKID.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 1:41 PM